TEGURAN DATIN FATINI YAAKUB TERHADAP ERMA FATIMA

Sunday, December 20, 2009


1. Teguran dan kekesalan Datin Fatini Yaakub sepertimana disiarkan dalam akhbar BERITA MINGGU hari ini 20 Dis pada Erma Fatima terhadap penghasilan teater NATRAH patut diambil ikhtibar oleh semua pihak.
.
2. Saya menyokong penuh tulisan Datin Fatini Yaakub itu namun tidak adil pula bagi saya memberi komen ke atas Erma Fatima dan naskah NATRAH di pentas teaternya kerana saya sendiri tidak berkesempatan menonton Natrah walaupun pada awalnya saya bercadang berbuat begitu.


3. Bagi mengelak perkara yang sama berulang saya mencadangkan para pengkarya yang mahu mengangkat sesebuah naskah sejarah samaada dalam filem, teater atau drama, yang ada kaitan dengan islam dan penganutnya lebih-lebih lagi jika ianya berdasarkan dari sebuah kisah benar patut atau 'wajib' mempunyai pakar rujuk baik dalam bidang sejarah mahupun dalam bidang agama.


4. Erma Fatima tentu mempunyai pegangan hidup dan nilai yang berakar umbi dari pengalaman hidup, persekitaran rakan taulan dan latar belakang pendidikannya. Dia tentunya melihat sesuatu naskah sejarah dari sudut atau sisi yang sesuai dengan nilai yang dipegang dan diyakininya. Nilai ini belum tentu tepat dengan nilai agama yang difahaminya. Sebab itu kita perlukan pakar rujuk sebagai medium check & balance kepada persoalan nilai ini. Mementaskan sebuah naskah unsur keagamaan seperti Natrah ini tidak boleh dibuat secara semborono atau trial & error. Jika tidak Natrah mungkin dilihat sesetengah pihak bukan 'dakwah' tapi 'dakyah' yang memenangkan Kristianiti ke atas Natrah. Natrah seharusnya menaikkan moral dan semangat umat melayu untuk mempertahankan islam mereka bukannya membuat penonton tertanya-tanya apa yang sebenarnya dilihat oleh Erma Fatima dalam naskah Natrah ini.
.
5. Sebahagian petikan daripada teguran Datin Fatini Yaakub tersebut adalah seperti berikut :
  • Fakta sebenarnya, kita tidak kalah dalam Natrah! Kita tentang dengan berani kebiadapan penjajah pada masa itu, walaupun hanya dengan galah dan kayu. Kita berjaya melumpuhkan jentera pentadbiran Inggeris - sebuah kuasa besar penjajah zaman itu hingga terpaksa diisytiharkan darurat selama tiga hari tiga malam. Keberanian kita mengejutkan seluruh dunia! Mesej kemenangan moral ini berjaya kita hantar ke seluruh dunia dan memberikan kesan kejutan yang sungguh hebat. Sesungguhnya demikianlah hebatnya Islam – sebuah agama yang sangat menghargai dan memelihara akidah umatnya walaupun dia hanya seorang gadis kecil berusia 13 tahun.
  • Dalam penelitian saya, harga diri bangsa dan nilai cinta bangsa Melayu terhadap agamanya lebih hebat daripada kisah cinta dua individu Natrah-Mansor yang tidak kesampaian. Pada hakikatnya Allah mentakdirkan Che Aminah membuat kesilapan menikahkan mereka di Singapura sehingga akhirnya mereka bertiga terpaksa berkorban rasa.
  • Jadi pada saya, yang memegang amanah kisah sebenar Natrah, saya berharap dalam genre manapun ia hendak dipersembahkan – sama ada teater, drama bersiri televisyen atau filem, biarlah berdiri atas kisah sebenar dan semangat yang sebenar pejuang-pejuang ini. Angkatlah semangat besar ini dengan bijaksana kerana orang Melayu tidak kekurangan bahan kreatif yang boleh membangkitkan semangat membela agama dan sayangkan bangsa.
  • Untuk karya kreatif Natrah bagi saya, ada perkara yang boleh didramatikkan dan ada perkara yang tidak boleh didramatikkan. Banyak sudut boleh dipilih, banyak mesej boleh diberi, namun sekiranya kita sayangkan agama dan bangsa kita, berilah kesempatan kepada khalayak penonton mendapat pengertian ini, kerana inilah hak roh mereka yang berjuang demi agama di dalam Natrah yang kebanyakannya sudah meninggalkan kita.
  • Jadi dalam membicarakan teater hasil garapan Erma tempoh hari, saya memohon maaf kerana tidak merasakan roh semangat perjuangan Islam yang saya rakamkan di atas, sepanjang teater itu berlangsung. Saya agak kecewa kerana barangkali menaruh harapan yang tinggi terhadap Erma. Namun saya tidak salahkan Erma, kerana kisah sebenar Natrah memang memerlukan masa untuk memahaminya dan menghadamkannya sehingga berjaya menampilkan roh Islam itu. Ini satu cabaran untuk Erma dan karyawan lain juga.
  • Sekiranya Erma atau karyawan manapun jua, jujur dan mahu berusaha menghormati semangat pejuang itu, saya percaya karya kita akan dihormati dan tidak akan ada nada suara mengkritik kita atau menyakitkan hati kita. Kejujuran dalam Islam, adalah kata kunci karya kita.
  • Rasa jujur ini akan merentas langit dan bumi. Penilaian sebenarnya karya kita datang dari langit, dari pemilik agama ini, yang kemudiannya Dialah yang menghantar rasa jujur itu kembali ke bumi dan akhirnya dirasai oleh khalayak penonton. Inilah yang sebenarnya magis karya kita. Percayalah ...
  • Jadi untuk sesiapa saja yang berminat untuk membentangkan Natrah dalam genre lain selepas ini sama ada drama televisyen, filem atau mementaskan kembali teater Natrah itu, berhati-hatilah. Janganlah kita terdorong untuk mengaut keuntungan dan mencari nama sehingga menenggelamkan semangat sebenar khazanah perjuangan orang Melayu yang tidak ternilai harganya di dalam Natrah.

Comments

One response to “TEGURAN DATIN FATINI YAAKUB TERHADAP ERMA FATIMA”
Post a Comment | Post Comments (Atom)

dongeng_rakyat said...

Datin Fatini Yacob berhak ke atas ulasannya. Pun begitu inilah masalah melayu muslim. Kita berusaha mencari kemenangan dalam kekalahan. Dan kemenangan itu kita beri nama kemenangan moral. Bukan keinginan saya untuk menidakkan perjuangan mereka tapi kita kena berani menerima kekalahan. Kekalahan memperbaiki strategi untuk menang. Oleh kerana kita anggap ianya satu kemenangan moral kita berdiam diri selepas itu sehingga bukan saja Natrah berjaya diangkut pulang oleh penjajah Belanda tetapi Singapura kekal di tangan penjajah Inggeris dan seterusnya orang melayu kehilangan Singapura sehingga kini. Kemenangan moral yang diwar-warkan itu sebenarnya tidak ada fungsi penyemarak perjuangan. Andai kata kita berani mengaku kita kalah kita akan bangun semula untuk menang seperti yang dilakukan bangsa-bangsa hebat dunia, contoh Jepun, Yahudi, Korea, Barat dan sebagainya.

December 23, 2009 at 6:24 AM