1. Saya telah terbeli satu vcd filem Iran bertajuk LEILA dari seorang penjual vcd ketika makan malam di Nasi Lemak International Kampung Bharu pada tahun 2000. LEILA ketika itu adalah filem Iran yang ketiga saya tonton selepas CHILDREN OF HEAVEN dan THE FIVE SEASONS.
2. Tema dan story line LEILA arahan Dariush Mehrjui agak biasa-biasa sahaja. Sama seperti story line drama-drama melayu yang biasa kita tonton di tv. Tapi ada satu perkara yang menarik yang saya dapat dan pelajari dari filem Iran ini.
3. Sinopsis - Kisah seorang isteri muda, Leila diminta ibu mertuanya membenarkan suaminya Ali berkahwin lagi apabila Leila gagal melahirkan zuriat walaupun telah beberapa tahun berkahwin. Leila menolak pada awalnya tetapi kerana kebijaksanaan ibu mertuanya memujuk dan merayu secara lembut dan berhikmah, Leila akhirnya 'terpaksa' bersetuju. Ali suaminya juga walaupun menolak awalnya tapi bersetuju untuk berkahwin lagi dengan syarat Leila sendiri bersetuju dengan calon pilihan ibunya. Ali akhirnya berkahwin setelah beberapa pilihan ibunya ditolak oleh Leila. Sudah menjadi adat dan budaya di Iran, suami biasanya akan membawa balik isteri kerumahnya. Pada malam Ali membawa isteri keduanya balik ke rumah, Leila lari balik ke rumah keluarganya. Selepas isteri kedua Ali melahirkan anak, isteri keduanya yang faham akan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh Leila telah menyerahkan anaknya pada Leila dan selepas itu lari meninggalkan Ali. Sudah menjadi signature kepada banyak filem Iran akhiran ceritanya dibiarkan tergantung agar penonton berfikir sendiri apa berlaku selepas itu antara Leila dan isteri kedua Ali.
4. Apa yang menarik pada cerita LEILA ini ialah bagaimana syariat pelakunnya dijaga dan ditegakkan sesuai dengan syarat ketat diberikan para ulamak Iran pada golongan pengkarya mereka. Umum sudah sedia maklum di Iran babak lucah, berpegang tangan dan berpeluk antara pelakun bukan muhrim memang diharam dan dilarang keras oleh para ulamak dan kerajaannya. Ini sesuai dan tepat dengan apa yang dituntut oleh syariat Islam sendiri.
5. Paling menarik perhatian saya dalam LEILA adalah dalam satu babak dipaparkan bagaimana LEILA berbaju tidur dan digambarkan sudah menanggalkan tudungnya ketika berbual dengan Ali dalam bilik tidur. Leila menangis semasa berbincang tentang perkahwinan suaminya. Cuma cara Leila dipaparkan secara visual tidak bertudung agak unik dan kreatif. Wajah Leila yang tidak bertudung disembunyikan disebalik bayang-bayang gelap almari pakaian yang terdapat di bilik tersebut. Hanya suara dan tangisan (voice over - V.O) Leila sahaja yang kedengaran. Ali ketika itu hanya duduk di hujung katil mengadap cermin meja di tepi dinding bilik.
6. Walaupun agak tidak natural dan tidak realistik untuk memaparkan babak isteri berbual dengan suami dalam bilik tidur dalam keadaan bertudung, namun pengarahnya secara kreatif telah menyembunyikan aurat (tidak bertudung) Leila tersembunyi di balik bayang-bayang almari bilik boleh diterima. Saya anggap ini amat kreatif pada pengarahnya yang terpaksa akur dan patuh pada pantang larang syariat. Jelas kekangan dan pantang larang syariat tidak mematikan kreativiti seorang pengkarya atau pengarah (Dariush Mehrjui). Leila berjaya mengangkat emosi seorang perempuan dalam naskahnya.
Akan bersambung.....
Comments
No response to “SYARIAT DIUTAMAKAN, KREATIVITI DI RAIKAN”
Post a Comment | Post Comments (Atom)
Post a Comment