BERDUA LEBIH BAIK

Tuesday, July 7, 2009




1. Saya tiba di Masjidil Haram dari Madinah untuk menunaikan ibadah umrah diluar cuti penggal persekolahan di Malaysia (Jun). Jarang dapat di temui orang Malaysia pada waktu ini. Tapi di timur tengah dan Asia Barat termasuk di Iran dan Turki, cuti persekolahan musim panas mereka baru sahaja bermula (Julai). Kerana itu, yang kelihatan ramai mengerjakan ibadah tawaf di keliling Kaabah adalah warga arab, Iran dan Turki.

2. Cuaca pada waktu siang di Mekah ketika ini adalah antara 42C-45C berbeza dengan di Malaysia pada waktu yang sama antara 32C-34C. Saya yang tidak tahan dengan bahang panas hanya akan mengerjakan ibadah tawaf sunat pada waktu sebelum atau selepas subuh ataupun antara maghrib dan isyak. Waktu tengaharinya saya hanya akan berdiri di tangga Masjidil Haram yang menghadap ke Mekah dengan memakai cermin mata hitam. Saya suka memerhatikan sahaja kesungguhan bangsa Arab, Turki dan Iran bertawaf keliling Kaabah di tengah terik panahan cahaya matahari tepat di atas kepala.

3. Melihat mereka berbondong-bondong mengerjakan tawaf tanpa menghiraukan terik panas matahari pada kadar 42C ketika itu, teringat saya kepada sebuah buku bertajuk LEAP OF FAITH, MEMOIRS OF UNEXPECTED LIFE yang ditulis oleh Queen Alia isteri kepada Allahyarham King Hussein Of Jordan yang pernah saya baca beberapa tahun dahulu.



4. Buku itu telah saya temui ketika ke KINOKUNIYA sebuah kedai buku terkemuka di KLCC. Melihat cover bukunya yang memaparkan wajah Queen Alia yang cantik, anggun lagi elegant itu, hati saya terus terdetik, “She must have something to share with the world”. Saya membelinya kerana menyangka ianya pasti sebuah buku yang akan menceritakan kisah cinta dan perkahwinan Queen Alia dengan King Hussein.


5. Saya memang suka membaca buku-buku mengenai pergolakkan politik Asia Barat dan Timur Tengah. Kisah percintaaan dan perkahwinan Queen Alia dengan King Hussein Jordan adalah antara kisah yang sering saya ikuti perkembangannya. Sering saya bertanya-tanya kenapa dan bagaimana King Hussein yang diikhtiraf sebagai berketurunan Nabi itu boleh berkahwin dengan Queen Alia? Queen Alia adalah seorang wartawan yang berasal dari Amerika Syarikat dan ayahnya seorang jutawan aviation berketurunan Kristian berasal dari Palestin.Queen Alai memeluk Islam beberapa hari sebelum mengahwini King Hussein. Kerana inginkan jawapannya saya membeli buku yang setebal hampir 400 mukasurat itu.

6. Tanggapan awal saya silap. Ini bukan buku kisah cinta tapi lebih banyak menceritakan sejarah dan asal usul jatuh bangun pergolakan politik moden negara-negara Asia Barat dan Timur Tengah.

7. Kisah sikap ‘gedebe’ kumpulan PLO pimpinan Yasser Arafat, kisah bagaimana CIA dan Mossad mencatur politik Iran melalui Shah Iran, Kisah Saddam Hussein, kisah King Fahd Saudi, Kisah raja-raja di negara-negara Arab yang takut dan tunduk pada kuasa imperialisme Amerika, kisah Khomeini, kisah pembunuhan Anwar Sadat, kisah Ikhwanul Muslimin, kisah perang teluk, kisah hubungan baik King Hussein dengan Sultan Hasannah Bolkiah Brunei, kisah Israel, kisah sukarnya menyatu padukan bangsa arab, kisah orang Palestin dan Labenon, kisah kuasa minyak, kisah perang Arab-Israel, kisah Baitul Maqdis – semuanya diceritakan secara detail dan factual oleh Queen Alia. Pokoknya, bangsa Arab hanya boleh disatukan ketika mereka tawaf di Kaabah tapi di luar tanah haram mereka akan berkelahi dan bergaduh semula. Hati mereka sentiasa panas seperti mana panasnya cuaca di bumi mereka yang tandus dan dikelilingi padang pasir.

8. Membaca LEAP OF FAITH, THE MEMOIRS OF THE UNEXPECTED LIFE, seolah-olah kita telah membaca hampir kesemua atau ratusan buku-buku yang berkaitan dengan Asia Barat dan Timur Tengah.Saya telah membaca buku ini berulang kali untuk menghayati sejarah bangsa Arab pasca zaman moden.. Kesimpulannya, keluh saya. “Memang patutlah para nabi dan para Rasul, Allah pilih dari kalangan orang Arab dan munculkan dibumi Arab”

9. Queen Alia menceritakan semua kisah itu sambil diselit-selitkan kisah peribadinya mengenai saat perkenalan, percintaan, lamaran, perkahwinan dan pembinaan rumahntangganya dengan King Hussein. Ini menjadikan buku ini tidak jemu untuk dibaca.

10. Namun Queen Alia begitu bijak menyimpulkan kisah cintanya dengan King Hussein apabila di akhir bab dia menceritakan bagaimana sejak berkahwin dengan King Hussein setiap tahun dia akan dibawa suaminya ke Kaabah untuk menunaikan ibadah umrah. Tapi setelah suaminya meninggal dunia dia terpaksa pergi menunaikan ibadah umrah tanpa di temani suami. Ketika tawaf itulah dia dapat merasakan ‘kehilangan’ cinta suaminya dan keagungan cinta Allah bila mengadap Kaabah. Saya tersentuh membacanya.

11. Saya pernah mengerjakan umrah seorang diri pada 2006 yang lalu dan kini pada 2009 dengan izin Allah saya datang semula untuk menziarahi maqam Rasulullah S.A.W di Madinah dan menunaikan ibadah umrah di Kaabah. Saya dapat rasakan ‘kehilangan’ yang dimaksudkan oleh Queen Alia dalam bab akhirnya bukunya itu. Pada saya, ziarah maqam Rasulullah dan menunaikan ibadah umrah adalah BERDUA LEBIH BAIK. Boleh sama-sama membantu dalam muhasabah diri dan merencana iltizam baru dalam membina hidup mendatang yang lebih kuat berpegang pada syariat Islam dan mengikut atau mengamalkan Sunnah Nabi.

12. Perpustakaan Negara Malaysia di Kuala Lumpur pernah pada tahun 2005 menjemput saya berceramah dalam program “MY FAVOURITE BOOK” dan saya telah mengambil buku Queen Alia ini untuk dipersembahkan dalam program tersebut. Ramai yang hadir antaranya pelajar IPTA, pelajar sekolah menengah dan kakitangan Perpustakaan Negara sendiri. Di akhir program pemenang kuiz dari soalan yang saya buat berdasarkan isi kandungan buku itu, buku itu telah saya hadiahkan pada seorang pelajar undang-undang UIA NorAzla Abdul Wahab yang kini adalah seorang peguam di Seremban.

13. Moga Allah rezekikan saya untuk mengerjakan haji bersama isteri dalam masa yang terdekat ini.Amin.



Comments

No response to “BERDUA LEBIH BAIK”
Post a Comment | Post Comments (Atom)