UMRAH KALI KE DUA

Wednesday, June 17, 2009

Zabidi Mohamed menerima tropi kemenangan dari Senator Datuk Jins Shamsudin

Penerima tropi Penerbit/Pengarah Drama Terbaik (Erma Fatimah), Pelakun Drama Lelaki Terbaik (Razali Hussein) dalam drama MENCARI NUR KHADIJAH dan Eja sebagai Pelakun Drama Wanita Terbaik dalam drama MUJAHADAH.


1. Alhamdulillah saya direzekikan Allah dapat mengerjakan umrah kali kedua pada esok, 19hb Jun - 3 Julai 2009 ini. Cuma kali ini saya pergi bersama isteri.

2. Umrah pertama saya adalah pada April 2006 ketika mengikuti rombongan Layar Consult Sdn Bhd yang ketika itu membuat pengembaran CINTA MADINAH 2 dibawah arahan Jailani Yusuf. Drama saya yang diilhamkan oleh Aliah Sijari dan Haji Abu Hassan Murad, MENCARI NUR KHADIJAH juga melakukan pengembaran pada masa sama tapi dibawah pengarahan Erma Fatimah. Mungkin berkat bumi bertuah, drama MENCARI NUR KHADIJAH telah dinobatkan untuk menang beberapa kategori dalam ANUGERAH MEDIA ISLAM NATIONAL 2008 (AMIN). Drama tersebut telah memenangi kategori skrip terbaik, penerbit/pengarah terbaik dan Pelakun Drama Lelaki Terbaik.

3. Dalam anugerah yang sama pelakun Eja telah memenangi kategori Pelakun Drama Wanita terbaik dalam drama MUJAHADAH di mana saya juga adalah penulis skripnya. Moga umrah saya kali ini dianugerahkan dengan umrah mabrurrah. Amin.


CINTA SEMPURAN -V- SAIFULISLAM.COM

Ustaz Hazrizal Abdul Jamil




1. Saya telah membaca polimik CINTA SEMPURNA dalam Saifulislam.com. Agak menarik kerana ada pro dan kontra mengenai penglibatan Ustaz Hazrizal (UH) dalam pembikinan drama 20 episod di OASIS tersebut. Paling jelas yang pronya lebih ramai dari yang kontra.

2. Namun dari gaya bahasa pengunjung saifulislam.com yang agak kontra, saya dapat merasakan bahawa mereka adalah terdiri dari golongan yang ada fikrah dalam agama.

3. Apapun komen saya selepas ini, saya beranggapan dan bersangka baik, samaada yang pro atau yang kontra semuanya berpijak atas pertimbangan yang mereka prihatin dan sayangkan reputasi dan kredibiliti UH. Mereka tentunya mahu melihat UH bersih dari sebarang 'keterlanjuran' dan 'tersilap' dalam menggunakan medium dakwahnya. Saya rasa saya faham apa yang mereka rasakan sekarang. Semuanya mungkin berpunca kerana selama ini mereka telah banyak kali tertipu dengan golongan pengkarya (terutamanya dalam bidang drama dan filem) apabila ramai antara mereka sering mendakwa karya mereka adalah karya dakwah tapi hakikatnya yang terhasil lebih bersifat dakyah halus (songsang) yang mengajak manusia melupakan tuhan dan agamanya. Agama diberi definasi berdasarkan pengalaman hidup dan kejahilan para pengkarya itu sendiri dan bukan berdasarkan pada ilmu dan sumber hukum yang sahih. Sebagai contoh filem dakyah songsang pada pengamatan dan pentafsiran saya ialah , Sepet, Gubra, Akhirat, Maut dan terkini "Anu Dalam Botol'.

4. Pengunjung saifulislam.com tidak mahu UH menjadi seperti apa yang telah berlaku pada Akill Hayy kini (maaf terpaksa menyebut namanya). Saya seperti mereka juga mahu melihat UH menjadi seorang pendakwah yang bersih dan dipandang hormat oleh masyarakat. Kita perlukan orang seperti UH untuk terus membimbing dan memberi tunjuk ajar pada kita.

5. Apa yang mahu saya nyatakan disini ialah golongan yang mempunyai fikrah (yang kontra pendapatnya) seharusnya berlaku adil dalam membuat penilaian dan menghukum UH. CINTA SEMPURNA masih dalam pengembaran dan masih belum ditayangkan lagi di OASIS. Menghukum UH di peringkat ini belum boleh dilakukan malah terlalu awal. Sedangkan Hassan Al Banna sendiri pun pernah masuk ke kelab malam untuk berdakwah. Dan saya rasakan penglibatan tidak langsung UH dalam CS tidaklah salah dan saya yakin besar ganjarannya di sisi Allah. Apatah lagi CS melibatkan OASIS yang memperjuangkan genre islami dalam program mereka.


6. Dalam buku tulisan saya -MAUNAH "THE NAKED TRUTH"- ada saya selitkan satu riwayat hidup Imam Syafie. Dalam riwayat tersebut ada diceritakan bagaimana pernah Imam Syafie di uji oleh anak-anak muridnya. Satu hari ketika melihat Imam Syafie sedang menunggang seekor unta, anak-anak muridnya bertanya, "Tuan, berapakah kaki yang dimiliki unta yang tuan tunggang itu?" Imam Syafie memberhentikan untanya untuk turun mengira jumlah kaki untanya. Dia memegang sambil membilang satu persatu kaki untanya. "Empat kaki" jawab Imam Syafie rengkas. Anak-anak muridnya bertanya lagi, "Kan semua unta berkaki empat? Kenapa tuan bersusah payah turun untuk memegang dan mengira semua kaki unta tersebut?". Jawab Imam Syafie, "Ya memang semua unta berkaki empat, tapi manalah tahu kalau-kalau yang aku naik ini Allah jadikan kakinya lebih dari empat?" Apa ikhtibar yang boleh kita ambil dari cerita ini?. Ya, sebelum menjatuhkan hukum kita kena teliti, hati-hati dan mengambilkira semua faktor berkaitan sebelum 'putus' dalam menjatuhkan hukuman. Tidak boleh somborono atau mengikut rentak emosi semata-mata.




7. Membanding-bandingkan Ayat-Ayat Cinta (AAC) dan Cinta Sempurna (CS) juga tidak tepat dan tidak adil. Pertama -AAC menggunakan medium bigscreen dan CS menggunakan medium small-screen(TV). Kedua - walaupun AAC dan CS menggunakan genre yang sama iaitu genre drama, tetapi masing-masing mempunyai latar cerita yang berbeza. AAC menggunakan latar pelajar bidang agama yang belajar di Mesir dan diselitkan dengan elemen cinta. melibatkan pelajar muslimah berpurdah. Maka dari fizikalnya nampak jelaslah elemen dakwahnya. Tetapi CS menggunakan latar sebuah keluarga moden di Kuala Lumpur yang mengagungkan budaya inggeris dengan di selitkan elemen cinta dalam garapan penceritaannya. Tentulah tidak nampak 'dakwahnya' apatah lagi para pelakun utamanya tidak bertudung. Latar yang tak sama dan berbeza dengan AAC.

8. Saya sebagai penulis skrip yang memperjuangkan genre dakwah dan tarbiah ini, sudah tentunya saya mahu explore dan mempelbagaikan pelbagai latar ini. AAC memang cerita yang bagus dan harus di puji. Tapi kita kena terima hakikat bahawa tidak semua orang suka dengan latar yang melibatkan story-line sekitar pelajar agama sahaja. CS adalah sebuah kisah benar yang saya kembangkan dan fictionkan agar kisah tauladan dari pengalaman UH ini boleh dijadikan bahan dakwah untuk tontotan dan ikhtibar semua yang menontonya. InsyAllah.

9. Dalam ilmu perfileman kita perlu faham apa yang dikatakan genre. Terdapat pelbagai jenis genre yang antaranya ialah : biograpphy, comedy, children's, crime, disaster, drama, fantasy, horror, musical, sci-fi, short, sport, thriller, war, western dan mystery.

10 Dalam setiap genre pula para penulis skripnya akan memilih latar yang menjadi minat dan subject matter mereka. Namun sebagai nilai universalnya kebanyakkan penulis skrip akan memasukkan eleman kasih sayang dan cinta dalam latar yang mereka pilih.

11. CS pada saya adalah kisah seorang pendakwah yang mahu cuba mendekati dan merubah cara berfikir dan aqidah seorang remaja. Samaada ianya drama dakwah atau tidak, kena tunggu dan lihat drama ini hingga habis dulu. Melabelkan CS sama dengan filem maksiat lain hanya semata-mata kerana pelakunnya tidak menutup aurat bukanlah satu ukuran yang tepa

12. Filem WAYANG karya dan arahan Dr Hatta Azzad Khan terbitan UiTM membicarakan tema mengenai golongan agama yang suka menghukum tanpa usul periksa. Hukuman yang dibuat secara terburu dan mengikut emosi ini akhirnya membawa kepada kecelaruan dan perpecahan masyarakat setempat. Filem ini wajar di tonton. oleh semua.

12. InsyAllah saya sedang dalam proses menulis tentang apa yang dikatakan roh dakwah dalam sebuah karya filem/drama.

HIKAYAT SEORANG ZULAIKHA

Tuesday, June 16, 2009


1. Semalam saya sempat menghadiri sessi presentation untuk proposal telemovie saya bertajuk HIKAYAT SEORANG ZULAIKHA (HSZ) yang bakal diterbitkan untuk RTM2 oleh Puan Nora Hendon dari NHF PRODUCTIONS SDN BHD di bawah arahan pengarah Din Glamour.

2. Proposal telemovie tersebut sebenarnya telah hampir setahun lebih saya hantar ke RTM. Baru minggu lepas saya diberitahu Puan Nora Hendon, RTM sudah pun mengeluarkan surat niat untuk kelulusan penerbitan drama tersebut.

3. Story line HSK lebih kurang sama macam telemovie saya bertajuk IHSAN di TV3 terbitan Layar Consult Sdn Bhd yang telah di short-listed antara 5 drama finalis terbaik Anugerah Skrin pada 2008 yang lalu. Menurut maklumat dari TV3, dari survey rating yang dijalankan oleh AC Nielsen, drama IHSAN yang diarahkan oleh Muralli Abdullah ini, telah mendapat rating 3.5 juta penonton ketika mula-mula disiarkan. Dan ketika diulang tayang pada bulan Ramadhan tahun yang sama, ianya telah mendapat rating sebanyak 2.9 juta penonton. Alhamdulillah response yang saya terima dari kalangan kenalan dan rakan taulan sangat memberansangkan. Penonton melayu suka pada cerita-cerita 'berjiwa melayu' yang berkait rapat dengan persoalan ketaaatan dan kasih sayang anak pada kedua orang tua mereka.



4. Zamarul Hisham yang berlakun sebagai 'Nordin', watak utama dalam drama tersebut telah di nobatkan sebagai Pelakun Lelaki Terbaik Anugerah Skrin TV3, 2008. Alhamdulillah. Tahniah buat Zamarul Hisham.


5. Walaupun HSZ punya genre dan latar yang hampir serupa dengan IHSAN, saya cuba larikan HSZ dari IHSAN dengan memberi sedikit kelainan pada garapan story-linenya. HSZ lebih memberi fokus pada transformasi seorang ibu tua bernama Zulaikha yang dipinggirkan anak sendiri, namun kemudiannya atas bantuan dan nasihat seorang ahli perniagaan telah menjadi seorang tokoh korporat. Zulaikha kemudiannya bangun bangkit untuk menghukum anaknya sendiri bagi tujuan menginsafkan anaknya yang durhaka dan lupa daratan.

6. HSZ dijangka memulakan pengembaran pada awal July ini.

7. Antara barisan pelakun yang telah disenaraikan pendek (tertakluk pada jadual mereka) untuk membintangi drama ini adalah pelakun vateren Asmahani Hussein sebagai Zulaikha, Khatijah Tan, Que Haidar, Fizz Fairuz dan Zack X Factor, Irma Hasnie, Intan Ladyana, Zizie Ezzette, Farah Putri, Sazzy Falak, Fazura, Dato' Rahim Razali, Dato' Jalaludin Hassan dan Wan Hanafi Su.

8. Saya mengharapkan HIKAYAT SEORANG ZULAIKHA ini mampu memberi kesan emosi dan tarbiah kepada hati penonton sepertimana yang telah dapat dilakukan dalam IHSAN. Doakansaya

SPOT CHECK EP DI LOKASI CINTA SEMPURNA

Saturday, June 13, 2009

1. Setiap pembikinan drama selalunya akan menghadapi masalah luar jangkaan yang kadangkala berpunca dari masalah teknikal, equipment, pertembungan jadual artis, cuaca dsbnya.

2. Maka itu ASTRO selalu menghantar para Executive Producer (EP) mereka untuk memantau perkembangan setiap production. Peranan EP ini adalah untuk menegur dan membantu pihak producer dan team produksi agar segala pengembaran berlaku mengikut jadual atau schedule yang telah di tentukan oleh channel.

3. Pada 11 jun 2009 (khamis) baru -baru ini, akibat hujan ribut dan cuaca berjerebu yang tidak dijangka di lokasi depan Lot 10, Bukit Bintang, saya sebagai penulis skrip dan Script Editor Astro bersama dengan En Jamal Ismail (EP Astro) telah mengambil kesempatan dari hujan ribut itu untuk mengadakan mesyuarat bersama En Sahid (Producer), Saipul Othman (Director), Haiza (Asst Director), Liza (Production Manager) dan Jay Jay (Line Producer) di cafe hotel Fortuna yang terletak berdekatan.

4. Kehadiran En Jamal banyak membantu melicinkan lagi proses pembikinan drama CINTA SEMPURNA. En Jamal bukan sahaja datang membuat spot check tapi juga turut memberi kata-kata peransang dan motivasi kepada team produksi.

5. Sebagai seorang pengkarya yang telah hampir 30 tahun berkecimpung sebagai penulis skrip, penerbit dan pengarah drama di Singapura, pengalaman, tunjuk ajar dan kepakarannya banyak diguna pakai oleh team produksi Cinta Sempurna ini.

6. Alhamdulillah, setakat ini pengembaran Cinta Sempurna masih berjalan mengikut schedule yang telah di tetapkan walaupun pada anggaran kasarnya telah 20%-30% terlewat akibat masalah jerebu dan hujan yang tidak dijangka dan diluar kawalan manusia.



BAYARAN KEPADA PENULIS SKRIP


1. Selalu orang bertanya pada saya berapa bayaran yang diterima oleh seorang penulis skrip jika karya mereka di beli oleh penerbit dan disiarkan di tv.


2. Agar sukar menjawabnya secara tepat kerana setiap station tv (RTM, ASTRO, MEDIA PRIMA) mempunyai skala bayaran yang berbeza pada para penerbit. Perbezaan ini juga memberi kesan kepada bayaran penerbit tv pada penulis skripnya. Ini kerana bayaran skrip dibayar oleh penerbit pada penulis skrip dan bukannya dari station tv terus kepada penulis skrip.

3. Sebagai contoh untuk drama episod setengah jam, ASTRO dan MEDIA PRIMA membayar hanya sekitar RM15,000 per episod. Ini berbeza dengan RTM yang membayar drama episod setengah jam antara RM22,000 ke RM25,000. Sebab itulah para penerbit tv lebih suka menerbitkan drama mereka di RTM kerana profit margine mereka lebih tinggi. Apatah lagi RTM is a very good pay master jika di bandingkan dengan station tv lain di Malaysia.


4. Untuk sebuah telemovie (90 minit) pula, RTM membayar antara RM100,000 ke RM112,000. Ini berbeza dengan Astro dan Media Prima yang membayar harga sebuah telemovie hanya antara RM80,000-RM85,000 sahaja. Kos untuk pembikinan sebuah telemovie yang baik, dengan pelakun kelas A, biasanya adalah dalam anggaran RM75,000 ke RM80,000. Jika pihak penerbit menjual drama mereka pada RTM tentulah profit margin mereka adalah antara RM30,000 hingga RM42,000. Ini cukup lumayan apatah lagi jika para penerbit di RTM dapat menjual antara 4-8 telemovie setahun kepada RTM. Ini belum lagi masuk drama episod (13 episod, 26 episod, 40 episod dan rancanagan berbentuk majalah yang selalunya dibuat dalam 13 epiosd semusim).


5. Saya pernah terjumpa dengan seorang producer semasa sessi pitching di RTM baru-baru ini yang mendakwa satu proposal telenya telah pun di terima oleh sebuah station tv di luar RTM. Tapi dia bawa proposal yang sama ke sessi pitching di RTM kerana katanya kalau proposalnya itu di terima RTM bayarannya lebih lumayan.


6. Namun sebagai panduan, lapuran akhbar METRO hari ini (13.Jun 2009) ada menyebut pihak SWAM (SCREENWRITERS ASSOCIATION OF MALAYSIA) telah mempunyai skala yang patut di bayar oleh para penerbit pada penulis skrip iaitu :

a. Untuk telemovie (90minit) bayaran adalah sebanyak RM5000/

b. Untuk program 1 jam bayaran adalah sebanyak RM2500/

c. Untuk program setengah jam bayaran adalah sebanyak RM1000/

d. Untuk program 15 minit bayaran adalah sebanyak RM500/


7. Saya menyokong penuh usaha SWAM menentukan skala bayaran untuk penulis skrip ini dan berharap sangat agar semua pihak dalam industri terutamanya para penerbit dapat mematuhi skala yang telah di tetapkan ini.


8. Para penerbit tidak akan rugi mengikut skala ini kerana bayaran yang di terima oleh mereka terutamanya dari RTM adalah cukup tinggi dan lumayan.


9. Namun saya percaya jika para penerbit boleh dikategorikan oleh RTM sebagai A atau B atau C mengikut saiz syarikat, kemampuan kewangan, track record terdahulu yang baik, award yang telah di menangi dan keupayaan menepati tx station tv, MAKA para penulis skrip juga perlu di kategorikan ikut kelas A, B dan C ikut kelayakan dan kemampuan masing-masing. Tak adil jika yang lama dan berpengalaman juga menerima skala yang sama dengan penulis skrip yang masih baru.


10. Hakikatnya tak semua para penerbit drama akan mengikuti skala SWAM itu. Apatah lagi tidak ada undang-undang atau rules and regulations yang boleh memaksa mereka mengikut skala itu. Semua mereka mempunyai alasan mereka masing-masing untuk tidak mematuhinya. Dan para penulis skrip juga tidak punya banyak pilihan.


11. Oleh itu eloklah SWAM, Persatuan Penerbit TV (PPTV) dan RTM bertemu dan berbincang untuk menyelaraskan perkara ini demi kebaikan masa depan industri. Karya yang baik selalunya datang dari skrip yang baik. Skrip yang baik juga datang dari penulis skrip yang terbela kehidupan keluarga mereka.


12. Saya hanya menyebut RTM di sini kerana saya percaya RTM punyai mechanisme dan kewangan yang lebih baik untuk membela nasib para penulis skrip di Malaysia.


13. Dalam dunia realitinya para penulis skrip dibayar jauh lebih murah dari skala yang di cadangkan oleh SWAM. Apa pun terima kasih pada SWAM kerana telah berusaha menyediakan skala ini sebagai garis panduan kepada semua penulis skrip dan para penerbit. Sekurang-kurangnya para penulis skrip sudah ada panduan atau benchmark untuk meletakkan harga karya dan skrip mereka pada para penerbit.


14. Para penerbit hakikatnya tak rugi. Apatah lagi jika mereka berjaya mendapat skrip yang baik dari penukis skrip yang kreatif, berpengalaman dan pandai menjaga costing dalam membuat skrip.

MADAI MENANTI - DRAMA 13 EPISOD (I JAM)

Thursday, June 11, 2009



1. Ikut jadual drama bersiri MADAI MENANTI dimana skripnya ditulis oleh saya akan selesai dalam minggu ini. Pengembaran telah bermula sejak 28 April 2009 lagi yang diketuai oleh pengarah Malek Rahman. Pengarah dan keseluruhan crewnya adalah dari Kuala Lumpur.

2. Drama yang keseluruhan pengambaran di buat di Lahad Datu dan Kunaq, Sabah ini telah diliham penerbitnya sendiri En Norsahar dari Immortalle Creative Sdn Bhd. Skrip sepatutnya di tulis oleh penulis lain yang berasal dari Sabah yang menetap di Kuala Lumpur. Tapi kerana penulis tersebut menarik diri pada saat-saat akhir, maka En Norsahar telah menawarkan pada saya untuk menjadi penggantinya.


3. Sepanjang 10 tahun penglibatan saya dalam dunia penulisan skrip, drama bersiri MADAI MENANTI inilah yang paling sulit untuk ditulis. Satu cabaran buat saya. juga.


4. Ini kerana, story-linenya berputar sekitar perbalahan dua keluarga suku kaum Idahan dan Bajau yang berebut hak ke atas sarang burung layang-layang bernilai tinggi yang terdapat di Gua Madai di Lahad Datu. Disamping itu di selitkan juga elemen cinta tiga segi antara masyarakat Bajau, Idahan, Suluh dan Melayu Brunei.

5. Saya terpaksa terbang ke Tawau dan kemudian menghabiskam masa saya selama empat hari dan empat malam bergaul dengan masyarakat idahan di sana untuk mengkaji cara berfikir mereka, menyelami emosi mereka, memahami budaya mereka dan juga memahami adat resam mereka. Saya juga berkesempatan menemui Ketua Adat Masyarakat Idahan, Ketua Kampung masyarakat idahan, pegawai-pegawai di pejabat tanah dan sempat juga berjumpa dengan wakil rakyat (ADUN) di Lahad Datu yang juga merupakan keturunan Idahan.


6. Paling sulit dan memeningkan kepala dalam menulis skrip MADAI MENANTI ialah apabila nama-nama masyarakat Idahan, Suluh, melayu Brunei dan Bajau amat pelik bunyi sebutannya. Saya menjadi keliru akhirnya bila membuat skrip. Nama-nama yang digunakan amat berbeza dengan nama-nama masyarakat melayu yang biasa kita dengar dan gunakan di semenanjung. Kerana itu saya terpaksa mengambil masa hampir dua bulan untuk menyiapkan skrip drama ini.


7. Cuma agak memeranjatkan saya ketika membuat kajian tentang masyarakat Idahan ini ialah apabila saya mendapat tahu mereka adalah suku kaum yang pertama menerima Islam di Sabah yakni pada sekitar tahun 1401. Fakta ini telah disahkan oleh sebuah kitab tulisan jawi berbahasa idahan yang kini tersimpan di muzium Sabah. Salinan kitab itu kini ada tersimpan juga di muzium Pusat Islam di Kuala Lumpur. Dalam ertikata lain mereka menerima islam lebih awal dari zaman kesultanan Melaka lagi.


8. Gua Idahan mempunyai khazanah alam yang agak unik dan bernilai tinggi anugerah Allah pada kaum idahan. Sarang burung layang-layang yang dimiliki oleh gua ini dianggap paling mahal harganya di Asia Tenggara. Sekilo sarang burung layang-layang berharga antara RM2000-RM2800. Namun sarang burung ini hanya boleh di kutip pada bulan April. Ogos dan November sahaja. Hasil gua ini dikawal dan dikutip hasil cukainya oleh Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah. Hanya suku kaum Idahan sahaja yang dibenarkan mengutip hasil sarang burung ini. Pada setiap musim mereka boleh mendapat hasil antara RM100,000.00 hingga RM200,000.00.


9. Hasil sarang burung layang-layang ini dijual pada peniaga cina yang kemudiannya akan memprosesnya untuk dijadikan ubat dan kemudian di eksport ke Taiwan, China dan Hong Kong.


10. MADAI MENANTI untuk tayangan RTM ini hanya melibatkan pelakun anak tempatan Sabah sahaja. Itu kehendak dan syarat RTM. Masalahnya, Sabah tidak mempunyai ramai pelakun. Penerbit tidak ada pilihan lain selain terpaksa mengambil risiko dengan mengambil banyak pelakun yang tidak pernah berlakun sebelum ini.
11. Elemen dakwah dan tarbiah banyak saya masukkan dalam drama ini. Moga Allah memudahkan penerbitan drama ini. Amin.








AL FATIHAH



1. Saya dan arwah Syukri Hashim tidaklah rapat. Tapi kami sempat berkenalan semasa saya mengikuti rombongan Layar Consult Sdn Bhd membuat pengembaran drama bersiri CINTA MADINAH 2 dan dalam kesempatan itu berpeluang mengerjakan umrah pada April 2006 dahulu. Pengembaran yang di lakukan di Mekah, Taif dan Madinah itu turut disertai oleh barisan pelakun lain seperti Erma Fatimah, Razali Hussein, Zul Yahya, Datuk Sarimah dan Kak Hamidah Yaakub.

2. Kali terakhir saya bertemu arwah adalah pada jamuan hariraya A.Aida Productions pada 2007. Tidak pernah saya berkesempatan menjemput arwah berlakun dalam mana-mana drama saya. Jadual lakunannya sentiasa padat. Tapi arwah pernah menyebut pada saya betapa dia mahu menghabiskan sisa hidupnya dengan berlakun dalam drama-drama bercorak keagamaan seperti Cinta Madinah.
3. Cinta Madinah kini telah dialih bahasa ke dalam bahasa Arab dan sedang ditayangkan di station tv IQRA di Arab Saudi.

4. Arwah yang sempat saya kenali adalah seorang yang cukup mesra, peramah dan suka menghiburkan hati orang di sekelilingnya. Seorang pelakun yang perlu di contohi kerana sikap profesionalisme dalam kerjaya yang diceburinya sejak 1975. Tidak banyak mendatangkan masalah ketika di lokasi. Begitu penyayang kepada keluarganya.

5. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah.

RTM, KEADILAN & KESAMARATAAN

Sunday, June 7, 2009


1. Ayat-ayat seperti "Akan mengkaji pengagihan slot","Akan lebih telus" dan "Akan dapat slot sama rata" telah diucap oleh Menteri baru di RTM Datuk Seri Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan ketika pertemuan dengan Persatuan Penerbit TV Malaysia (PPTV) baru-baru ini. Agak klishe bunyinya kerana ayat-ayat yang sama kerap diulang ucap oleh setiap menteri Penerangan terdahulu apabila mereka mengambil alih jawatan dari menteri sebelumnya. Ini berlaku sejak zaman Datuk Mohammad Rahmat menjadi menteri penerangan lagi. Saya letih mendengar dialoq dari skrip yang sama.


2. hakikatnya sistem pembahagian slot drama di RTM tak banyak berubah. Buktinya para penerbit drama tv dan para pengkarya di belakang mereka masih kedengaran tidak berpuas hati apabila new players tiba-tiba muncul dan mendapat slot/hours lebih banyak dari yang diperolehi para penerbit yang telah lama berada dalam industri. Sukar dibuktikan kesahihan kelohan para penerbit ini tapi hakikatnya keluhan dan rasa tidak puas hati mereka itu masih menjadi isu dalam akhbar hingga kini.


3. kerana itu saya mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap janji Datuk Seri Rais Yatim untuk membuat kajian agihan slot drama tv pada para penerbit di RTM. Tidak begitu mengharap tapi tetap berdoa agar sesuatu dapat dilakukan dan dibuktikan dari janji tersebut. Sebagai menteri yang baru memegang jawatan, Datuk Seri Rais Yatim harus diberi ruang dan peluang untuk membaiki keadaan.


4. pernah seorang wartawan hiburan menulis dalam satu artikelnya "RTM bukan tidak berubah tapi tak mahu berubah". Malah seorang lagi wartawan hiburan dalam artiklenya juga ada menulis "Hanya Tuhan sahaja yang boleh mengubah RTM". Sampai begitu sekali.


5. pada saya selagi RTM tidak tidak tahu apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'keadilan & kesamarataan', selagi itulah keluhan dari penerbit drama tv dan pengkarya di belakang mereka tidak akan ada penghujungnya.


6. menurut konsep keadilan ideologi barat, yang dikatakan adil dan samarata itu ialah apabila semua pihak dapat hak dan pemberian yang sama. Itu adil bagi pandangan barat. Dan ini yang sedang diamalkan oleh RTM. Tapi dalam islam yang dikatakan keadilan dan samarata itu bukanlah mendapat hak atau pemberian yang samarata. Menurut islam yang dikatakan adil dan samarata itu ialah apabila kita dapat 'meletakkan sesuatu kena pada tempatnya'.


7. yang berlaku sejak dulu di RTM dan masih berlaku hingga sekarang dalam sistem pemberian tender dan pitching, kerana kononnya untuk berlaku adil dan telus pada para penerbit, RTM telah memberi memberi award projek menerbitkan drama hampir kepada semua penerbit secara samarata. Maknanya setiap penerbit diberi sekurang-kurangnya satu tele untuk diterbitkan. Maka penerbit yang baru setahun jagung pun akan diberi peluang menerbitkan sekurang-kurangnya satu tele sama dengan penerbit yang telah berpengalaman.


8. ini walaupun nampak macam adil dan sama rata tapi hakikatnya tidak adil pada penerbit yang telah lama bergelanggang dan established dalam industri. Penerbit lama kebanyakkannya mempunyai overhead operasi syarikat yang tinggi kerana mempunyai staff dan assets seperti production equipments, sewa pejabat, pembayaran loan setiap bulan ke bank bagi assets yang mereka miliki, gaji pekerja dsbnya. Kalau syarikat berpengalaman dan yang established juga mendapat satu tele sahaja untuk diterbitkan di RTM, tentulah syarikat mereka akan 'bungkus' akhirnya. Para pekerja dan anak bini mereka yang bergantung hidup dengan syarikat tersebut juga sudah tentu akan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.


9. syarikat yang baru setahun jagung tidak akan menerima apa-apa kesan walau hanya menerima satu tele setahun untuk dihasilkan.Ini kerana mereka akan menjadikan satu tele yang mereka dapat itu sebagai satu trade record untuk dapatkan lagi projek atau tender daripada RTM dimasa akan datang.


10. oleh itu saya mencadangkan agar Datuk Seri Rais dan RTM dapat mengambil pendekatan konsep keadilan dalam islam sebagai satu panduan dalam pemberian slot/hours kepada para penerbit drama tv di RTM. Setiap penerbit mesti dinilai berdasarkan pengalaman, pencapaian, quality product yang telah atau pernah dihasilkan, anugerah yang pernah mereka terima, profesionalisme, fokus dan kesungguhan mereka dalam membangunkan industri. Mereka ini mesti disokong dengan cara diberi lebih slot/hours agar mereka dan pekerja mereka boleh terus survive untuk menyumbang kepada ekonomi negara. Berpada-padalah dalam memberi award pada 'The new players.' Jangan sampai nanti orang berkata the new players dapat slot yang banyak kerana meraka ada hubungan dengan parti pemerintah. Tak salah mereka diberi peluang tapi seperti kata saya tadi, berpada-padalah.


11. para penggiat industri memberi harapan yang tinggi pada Datuk Seri Rais Yatim.



WATAK "DR NAJIHAH" DALAM CINTA SEMPURNA

Saturday, June 6, 2009


1. ketika menulis skrip Cinta Sempurna, saya membayangkan watak Dr.Najihah dibawa oleh pelakun Siti Fazurina. Ini kerana, Siti Fazurina pernah terlibat memegang watak pelakun pembantu utama dalam satu drama saya E-MAIL DARI ANKARA. Drama terbitan NHF Production Sdn Bhd tersebut telah dibuat dengan kerjasama Kedutaan Turki dan British Council di Kuala Lumpur. Drama yang menggunakan 30% bahasa Turki dan melibat beberapa orang pelakun dari Turki itu walaupun telah disiapkan penerbitannya pada Julai 2008 lagi ,tapi RTM telah memilih dan menyimpannya untuk ditayangkan sempena aidilfitri 2009 yang akan datang ini.
2. nama 'Najihah' itu saya pilih kerana ianya adalah nama anak saya Nur Najihah (14th) yang begitu berminat dan bercita-cita untuk menjadi seorang doktor satu hari nanti. Alhamdulillah pelajarannya sejak sekolah rendah very consistent dan saya percaya dia akan mencapai apa yang dicita-citakannya.


3. Namun Siti Fazurina tidak dapat melibatkan diri dalam Cinta Sempurna akibat jadual lakunannya yang begitu ketat. Pihak producer Cinta Sempurna akhirnya telah memilih pelakun remaja yang sedang meningkat naik, Faezah Elai bagi memegang watak Dr.Najihah.
4. Setelah berbual dengan Faezah Elai hari ini di lokasi, saya percaya perwataknya sendiri yang lemah lembut dan cantik, memang sesuai untuk membawa watak Dr.Najihah itu. Dia juga saya lihat punya karisma untuk memegang watak seorang 'doktor'.





PRESS CONFERRENCE - CINTA SEMPURNA

Wednesday, June 3, 2009


1. 2 jun 2009 baru ini bertempat di banglo mewah di lereng bukit Kg Sungai Pencala milik Datuk Abul Hassan, satu Press Conferrence telah diadakan sempena dengan pelancaran drama 20 episod OASIS - Cinta Sempurna. Orang kuat OASIS Hj Izelan hadir sama memberikan ucapan.


2. Yuna adalah antara yang hadir kerana terlibat secara chemo dalam satu babak dalam drama tersebut. Menyedari Yuna adalah ikon remaja masa kini saya telah mencadangkan kepada OASIS dan producernya En Sahid agar melibatkan Yuna dalam drama ini.


















PATRIOTISME TANPA 'INDOCTRINATION'



1. Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM) dalam Mesyuarat Agung Keduanya baru-baru ini telah menyerahkan kepada Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim (Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) satu dokumen mengandungi Doktrin Telivisyen National (DTN).

2. Doktrin Televisyen Nasional (DTN) yang diserahkan oleh Presiden PTVM, Sdr Jurey Latif adalah bertujuan memberi cadangan serta garis panduan ke arah pembentukan masyarakat yang positif menerusi konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


3. Doktrin itu menggariskan lima perkara iaitu membudayakan pemikiran masyarakat menerusi kandungan program dinamik, informasi dan positif untuk memartabatkan bahasa kebangsaan; membina jati diri masyarakat untuk berdepan pengaruh globalisasi menerusi prinsip ketuhanan, keagamaan dan pembangunan modal insan; berganding bahu merealisasikan negara ke arah kemajuan; menyemai nilai patriotisme dan membina kesetian masyarakat yang mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

4. Saya menyokong penuh usaha PTVM ini. Namun bila menyentuh soal patriotisme, saya mula bertanya pada diri sendiri "Apakah yang dimaksudkan oleh para pengkarya dengan cerita berunsur Patriotisme itu?".

5. Pada saya nilai patriotisme tidak semestinya hanya perlu dikaitkan pada isu Kemerdekaan atau kisah-kisah penaklukan tentera Jepun dan kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) sahaja seperti dalam filem EMBUN dan PALOH.


6. Perlu diingatkan di sini bahawa separuh daripada rakyat Malaysia yang ujud hari ini adalah dari generasi Pasca 13 Mei 1969. Generasi pasca 13 Mei ini ini kurang tertarik atau tersentuh dengan indoctrianation keterlaluan terhadap isu -isu patriotisme yang dikaitkan dengan kekejaman tentera Jepun dan gerila PKM. Lebih memual dan memuakkan lagi ialah apabila drama tv sempena Bulan Kemerdekaan setiap tahun hanya menyentuh isu sambutan 31 Ogos dan bendera Malaysia sahaja. Bukan salah, tapi kalau story-linenya agak clishe sentiasa, masyarakat akan jemu akhirnya. Perlu ada kepelbagaian genre dalam mengangkat cerita yang ada nilai patriotisme ini.

7. Saya cukup mengkagumi karya-karya Martias Ali (Award Winning Scriptwriter) yang telah diangkat oleh pengarahnya Jurey Latif (Award Winning Director) dalam dua drama mereka iaitu Anak Penarik Beca (Pemenang Drama dan Skrip terbaik Anugerah Seri Angkasa) dan Rambut. Walaupun menyentuh secara tidak langsung era dharurat ketika kekejaman PKM tapi drama tersebut telah digarap dan diangkat sebegitu baik sekali. Saya percaya garapan yang tidak terlalu berbentuk indoctrination sebegini amat disukai oleh generasi Pasca 13 mei.


8. Saya pernah menonton sebuah filem patriotisme Korea Selatan "The President's Barber" (2004). Walaupun bergenre komedi tapi saya cukup kagum dengan kreativiti pengkarya di Korea Selatan menanamkan nilai patriotisme dikalangan khalayak penonton mereka.

9. Sinopsis - The President's Barber mengisahkan bagaimana pasukan Special Branch (SB) Korea Selatan terpaksa mencari pengganti tukang gunting rambut istana President Korea Selatan yang mati mengejut. Pihak SB telah merisik dan menilai ribuan tukang gunting rambut di seluruh Korea Selatan untuk dilantik menjadi tukang gunting rambut President. yang baru. Mereka akhirnya menemui seorang tukang gunting rambut yang pendiam dan lurus bendul di satu ceruk kampung berhampiran sempadan semenanjung Korea. Tukang gunting rambut ini secara paksa telah dibawa ke istana President untuk menggunting rambut president Korea Selatan yang botak. Ketika menggunting rambut President, dia dikawal oleh beberapa orang SB dan tentera yang bermuka garang dan berbadan sasa. Sekembalinya tukang gunting rambut itu ke rumahnya, dia telah demam seminggu. Namun dia diarahkan oleh SB agar tidak menceritakan kepada sesiapapun walau pada isteri dan anaknya mengenai tugasan barunya sebagai tukang gunting rambut President. Dia dikehendaki datang sebulan sekali ke istana president untuk tugasan itu.

- Satu hari dia dibawa oleh President Korea Selatan melawat White House bertemu President Amerika Syarikat George Bosh. Pertemuan dua Rresident itu telah disiarkan secara langsung di TV Korea Selatan. Tukang gunting rambut secara tidak sengaja telah ter'enter-frame' depan kamera tv, dimana wajahnya dapat dilihat dikaca tv seluruh Korea Selatan. Sejak dari itu seluruh Korea Selatan mengetahui dia sebenarnya adalah tukang gunting rambut President.

- Sejak itu kedai gunting rambutnya dikampung dikunjungi oleh ribuan orang yang terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan khidmat gunting rambutnya. Antara yang beratur untuk gunting rambut itu adalah ahli-ahli politik yang mahu nama mereka di calunkan sebagai Menteri untuk pilihanraya yang akan datang. Mereka mahu tukang gunting rambut mencadangkan nama mereka kepada President. Ada juga kalangan korporat yang datang gunting rambut untuk menyerahkan dokumen tender untuk kelulusan president. Mereka mahu tukang gunting rambut itu menyerahkan dokumen mereka kepada president. Tapi tukang gunting rambut itu tidak pernah melayan permintaan mereka. Dia hanya 'buat bodoh' menggunting rambut mereka sahaja.

-Satu hari anaknya yang berumur 12 tahun telah ditangkap dan dituduh mebjadi informer kepada perisik Korea Utara. SB telah menangkap anak tukang gunting rambut itu dan menyumbatnya ke dalam penjara. Isteri tukang gunting merayu suaminya meminta tolong president membebas dan melepaskan anak mereka tetapi tukang gunting rambut enggan mengambil peluang dan kesempatannya bertemu President untuk meminta tolong dari president.

- Di sinilah nilai patriotisme yang ditanam dalam story-line cerita ini. Si tukang gunting lebih mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan peribadi.

10. Pengkarya di Malaysia harus lebih kreatif dan intelligent dalam menghasilkan cerita berbentuk patriostisme. Masyarakat sudah muak dengan story-line kemerdekaan dan sambutan 31 Ogos, kisah kekejaman tentera Jepun dan kekejaman PKM semata.

11. PTVM harus juga membantu dan mengenal pasti story-line cerita-cerita yang punyai nilai patriotisme. Saya sedia membantu.

12. Akhir kata kepada Presiden PTVM, Sdr Jurey Latif, dan semua ahli PTVM teruskan perjuangan anda. Moga dapat ganjaran di sisi Allah di akhirat kelak.




























PONDAN

Tuesday, June 2, 2009

1.Teguran beberapa golongan agama berautoriti termasuk oleh Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria mengenai keghairahan golongan pengkarya drama dan theatre melakunkan watak pondan patut diberikan perhatian serius.

2. Menurut Datuk Harussani Zakaria, dari sudut hukum syarak adalah haram melakunkan watak pondan walaupun sekadar atau niat untuk berlakun sahaja.

3. Datuk Jalaludin Hassan yang turut terlibat dalam satu watak pondan dalam theatre 'Patung Kertas' yang telah dipentaskan baru-baru ini, susulan dari kenyataan Mufti Perak itu telah membuat kenyataan akhbar dengan menyebut "Saya tidak punya cukup ilmu". Satu pengakuan yang jujur dan patut dicontohi oleh para pelakun lain.



4. Sekurang-kurangnya golongan agama berautoriti telah bersuara dan memberikan pandangan mereka. Saya amat berharap golongan agama berautoriti ini akan terus bersuara dari semasa ke semasa, sebagai satu teguran pada golongan pengkarya yang kebanyakkannya mengambil sikap "Kita berkarya dan biarkan penonton menentukan nilai moralnya"


5.Pada saya golongan pengkaryalah yang sepatutnya menentukan nilai moral yang patut dihidangkan kepada penonton.

6. Bercakap tentang nilai moral dalam sebuah karya saya teringat kepada satu movie "Mrs Doubtfire" lakunan Robin Williams yang pernah saya tonton satu ketika dahulu. Ianya mengisahkan seorang ayah bersifat kebudak-budakkan yang menganggur telah dihalau oleh isterinya setelah dia mengambil tindakan mahkamah untuk menuntut cerai . Si isteri juga telah meminta suaminya keluar dari rumah sementara menunggu keputusan mahkamah. Si isteri yang bekerja telah membuat iklan dalam akhbar untuk mencari pembantu rumah untuk menjaga anak-anaknya. Si suami terbaca iklan itu dan dia kemudian menyamar sebagai wanita tua bernama Mrs Doubtfire untuk menawarkan diri bekerja sebagai pembantu rumah di rumahnya sendiri. Si isteri tidak menyedari Mrs Doubtfire itu sebenar adalah suaminya. Begitu juga dengan anak-anak yang pada awalnya tidak menyedari pembantu rumah itu adalah ayah mereka yang sebenar. Rahsia Mrs Doubtfire akhirnya terbongkar apabila anak bongsunya yang berumur 6 tahun terlihat Mrs Doubtfire kencing berdiri dalam bilik air. Ceritanya amat lucu tapi endingnya cukup menyayat hati. Mesejnya mudah - seorang ayah tidak dapat dipisahkan dari kasih sayang keluarganya.

7. Story-line Mrs Doubtfire tidak menghina kaum wanita bila si ayah terpaksa berlakun sebagai pembantu rumah wanita semata-mata kerana tujuannya untuk terus mahu memberi kasih sayang pada anak-anaknya. Tapi 'Patung Kertas' jelas menghina golongan pondan. Menghina makhluk ciptaan tuhan.Maka sebab itu syarak mengharamkannya.

8. Saya mahu golongan agama terus bersuara dan golongan artis mencontohi sikap seperti yang diambil Datuk Jalaludin Hassan dalam menghormati pandangan Mufti.

9.Memiliki bakat kreatif dalam berkarya bukan bermakna kita juga boleh sewenang-wenangnya berkarya untuk melanggar atau memperlekehkan hukum-hakam.