BILA FAKTA SEBUAH DRAMA JAUH MENYIMPANG

Sunday, February 28, 2010

Fasha Sandha dalam satu babak drama 'Bagaikan Sumayyah'


1.Saya berkesempatan menonton telemovie bertajuk BAGAIKAN SUMAYYAH di TV3 sempena Maulidul Rasul pada 27.Feb (Sabtu) baru-baru ini.
.
2. Lakonan Fasha Sandha dan Jue Aziz begitu berkesan dalam mengangkat ceritanya.
.
3. Cuma saya agak terkilan apabila mendapati fakta berkait dengan unsur dakwaan ke atas 'si perogol' yang di pegang oleh Datuk Rahim Razali dalam drama ini tidak tepat malah menyimpang jauh dari fakta sebenar.
.
4. Dalam beberapa babak telemovie tersebut ada dinyatakan pada dialoqnya 'si perogol' tidak boleh di dakwa kerana mangsa-mangsa rogol tidak mempunyai wang yang cukup untuk melantik peguam mendakwa si perogol di mahkamah.
.
5. Fakta dan dialoq ini salah kerana 'mendakwa' menggunakan peguam hanya berlaku dalam kes sivil antara 'plaintif' dan 'defendan'. Sebaliknya dalam kes jenayah yang 'mendakwa' adalah pihak polis atau Pendakwa Raya dari pejabat Peguam Negara hasil dari repot mangsa.
.
6. Menonton sebuah drama yang berpijak atas fakta atau platform yang silap dan tidak tepat adalah amat memualkan.
.
7. Banyak kali saya menonton drama yang menggunakan fakta dan prosidur yang bukan sahaja silap tapi juga salah dari segi undang-undang.
.
7. Para penulis skrip patut lebih berhati-hati jika mahu membuat cerita yang ada kaitannya dengan prosidur 'dakwa-dakwi' atau prosidur di mahkamah.

PEMIKIRAN IRJA' DALAM INDUSTRI HIBURAN DI MALAYSIA

Tuesday, February 23, 2010

1. Saya agak kesal dengan tindakan beberapa artis wanita kebelakangan ini yang awalnya bertudung dengan niat untuk menutup aurat samaada selepas berkahwin atau menunaikan haji/umrah tapi kemudiannya membuang tudung di lokasi atas alasan ianya adalah kehendak skrip dan pengarah.
.
2. Hatta ada segelintir pengarah yang berfahaman bahawa tidak mengapa membuka tudung bagi memenuhi tuntutan skrip asal diganti dengan rambut palsu.
.
3. Golongan ini patut diberi tahu dan diberi faham bahawa iman tidak boleh dipisahkan dari amal.
.
4. Tidak cukup dengan kita hanya mendakwa telah beriman selagi kita belum menutup aurat bagi seorang wanita muslim apatah lagi membukanya setelah mendakwa mahu beriman.
.
.
5. Memisahkan iman dari amal adalah datang dari pemikiran irja' yang berpegang kepada fahaman bahawa adalah cukup kita mengaku beriman sahaja tanpa perlu menunaikan sebarang tuntutan agama.
.
.

6. Ulama' Ahli Sunnah Wal Jamaah sepakat menolak pemikiran irja' ini.
.
7. Kenyataan sesetengah artis wanita yang membuka tudung di lokasi dengan dakwaan mereka takut tidak mendapat 'job' dari penerbit dan pengarah bukan alasan kukuh untuk mereka membuka aurat. Banyak contoh lain dikalangan artis yang istiqamah dalam bertudung dan menutup aurat tapi rezeki mereka melimpah ruah dan karier mereka juga terus berkembang. Antara yang sempat di sebut disini ialah Ziela Jalil, Aida Razwil dan Wardina.
.

.

8. Pengarah dan penerbit wajib menghormati para artis wanita yang bertudung dan menutup aurat bukan mengeksploitasi keadaan mereka.

9. Saya bercita-cita mahu mengadakan forum mengenai pemikiran ijra' dalam industri hiburan di Malaysia ini jika ada badan-badan NGO atau institusi seperti Finas atau JAKIM atau IPTA yang bersedia menganjurkannya.

10.Mungkin dalam forum ini nanti para penggiat seni boleh ditemukan dengan para ulama untuk bertukar ilmu dan kesedaran di kalangan para artis.

11. Beberapa orang pengarah telah pun menyatakan kesanggupan mereka untuk hadir dalam majlis bersifat ilmu seumpama itu. Kata mereka selama ini mereka 'tidak tahu apa yang mereka tidak tahu'. Maka majlis seperti itu boleh menjadi platform untuk memberitahu apa yang sepatutnya mereka tahu. Mereka perlukan panduan dan bimbingan.

12. Semoga ada yang boleh membantu saya dalam usaha ini.

DRAMA SEMPENA MAULIDUL RASUL

Antara pelakun utama drama IHSAN, Kartina Aziz, Zafrul, Zamarul dan Abu Bakar Juah

Pengumuman

Drama saya IHSAN akan diulang tayang sempena MAULIDUL RASUL ini pada 26.Feb 2010 jam 1.30 petang di TV3.

PENUBUHAN GABUNGAN PENULIS SKRIP 21 FEB 2010

Sunday, February 21, 2010

Bergambar selepas pertemuan. 38 peserta telah hadir.

1. Saya telah diamanahkan oleh para penulis skrip yang hadir pada pertemuan di Wisma Bernama untuk merangka draf perjanjian antara penulis skrip dan penerbit atau station tv. Sebagai seorang bekas peguam, saya menerima amanah tersebut atas dasar pembelaan ke atas nasib para penulis skrip.

2. Draf ini nanti akan dibentangkan pada Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM) untuk dapat sokongan dan persetujuan mereka agar satu standard agreement dapat diujudkan bagi kegunaan industri.

3. Adalah dimaklumkan di sini pengujudan Gabungan Penulis Skrip Malaysia ini bukan untuk mengambil alih perana SWAM tetapi satu usaha secara ad-hoc untuk membantu SWAM dalam bentuk idea dan tindakan bersama yang diharap dapat memertabat dan memperkasa bidang penulisan skrip tanah air.Pada saya SWAM sehingga hari ini masih tetap relevan kepada industri.

4. Seperti kata penulis skrip tersohor Sdr Mazelan Manan yang turut hadir dalam majlis tersebut, kejayaan penerbit drama atau filem dalam memperolehi dana atau slot di tv adalah bergantung sepenuhnya pada kredibiliti proposal dari penulis skrip. Maka saya berpendapat penulisan skrip perlu di 'institusikan' agar peranan penulis skrip tidak di pinggirkan.

5. Tahniah dan syabas pada Faznita Mohd Noor dan Maizura Mohd Ideris yang telah mencetus dan menganjurkan majlis tersebut.


PERTUKARAN VENUE PERJUMPAAN PENULIS SKRIP

Tuesday, February 16, 2010

WISMA BERNAMA DI BELAKANG PERPUSTAKAAN NEGARA

PENGUMUMAN
.
PERJUMPAAN PARA PENULIS SKRIP PADA 21 FEB 2010 YANG PADA ASALNYA DI TETAPKAN DI AUDITORIUM MINI P.RAMLEE DI FINAS TELAH DI TUKAR KE TINGKAT 12, WISMA BERNAMA, JALAN TUN RAZAK KUALA LUMPUR. MASA PERTEMUAN ADALAH SAMA IAITU PADA JAM 3.00 PETANG.
.
HARAP PARA PENULIS SKRIP DAPAT MELUANGKAN MASA UNTUK PERTEMUAN TERSEBUT.

KEPUTUSAN PITCHING RTM

Tuesday, February 9, 2010

1. Ikut perancangan asal RTM, keputusan pitching sepatutnya dikeluarkan pada bulan Oktober 2009 lagi. Tapi setelah 5 bulan menunggu (pitching bermula pada Ogos 2009) akhirnya hanya pada 3 minggu lepas keputusannya diumumkan.
.
2. Sebelum keputusan itu diumumkan lagi sudah terdengar desas desus menyatakan RTM menghadapi masalah kelulusan dana dari Perbendeharaan di Kementerian Kewangan (MOF).Tanpa kelulusan dari MOF, RTM tidak berani mengumumkan keputusan lebih awal.
.
3. Desas desus itu ternyata benar apabila KSU sendiri ketika taklimat penubuhan 'Dana Kebajikan Penggiat Seni' baru-baru ini mengaku RTM hanya diluluskan sejumlah RM50 juta sahaja dari sejumlah RM140 juta yang di pohon dari MOF bagi mengisi slot rancangan tvnya termasuk drama bagi tempoh sepanjang 2010.
.
4. Atas dasar itu hanya slot tv untuk tempoh tayangan pada Jan-Jun sahaja yang dapat di umumkan baru-baru ini. Peringkat kedua keputusan pitching bagi slot July-Dis 2010 akan dibuat selepas ini. Itu pun masih tertakluk kepada sejauh mana permohonan RTM untuk mendapat baki dananya diluluskan oleh MOF atau tidak.
.
5. Masalah kewangan ini bukan hanya berlaku di RTM tapi juga pada keseluruhan Jabatan-Jabatan Kerajaan yang lain. Malah Astro dan Media Prima khabarnya juga menghadapi masalah yang sama. Buktinya hampir semua station tv kini lebih banyak mengulang tayang drama-drama lama mereka.
.
6. Hakikat yang terpaksa kita semua telan dan terima.
.
7. Dalam keputusan pitching baru-baru ini hanya 2 dari 22 proposal saya telah di luluskan. Satu untuk drama komedi 13 episod bertajuk 'Sood, Chee Yong & Rakan-rakan' bakal diterbitkan oleh NHF Production Sdn Bhd dan satu lagi sebuah telemovie bertajuk 'Prima Facie' bakal diterbitkan oleh MNN Entertainment Sdn Bhd. Kedua-duanya adalah drama kisah peguam dan mahkamah.
.
8. Walau apapun saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya 2 proposal saya telah di luluskan kerana saya mendapat tahu ramai penulis skrip lain yang menghantar proposal tidak bernasib baik seperti saya.
.
9. Saya masih mengharap dan berdoa agar pada keputusan pitching kedua nanti, rezeki masih menyebelahi saya.
.
10. Tahun 2010 mungkin tahun yang suram bagi penggiat industri.

IKAN EMAS FATIHAH

Monday, February 8, 2010


1. Saya telah menyiapkan sebuah skrip telemovie bertajuk IKAN EMAS FATIHAH sejak setahun yang lalu.
.
2. Time Air Services Sdn Bhd (TAS) yang berminat dengan konsep dan story line drama tersebut telah membawa kertas cadangan drama ini ke Astro Oasis baru-baru ini, Oasis yang tertarik dengan originality dan keunikan jalan ceritanya spontan meluluskan tele tersebut untuk tayangan di Oasis.
.
3. Saya menetapkan syarat pada TAS, agar Saipul Bahari Othman menjadi Pengarah kepada tele tersebut.
.
4. Ramai kenalan yang pernah membaca kertas cadangan drama tersebut menyatakan 'ikan emas' yang menjadi elemen dan karakter dalam tele tersebut mengingatkan mereka pada sebuah filem Iran 'The White Balloon' yang telah menang beberapa anugerah diperingkat antarabangsa.
.

.
5. Saya pernah menonton filem tersebut. Tapi IKAN EMAS FATIHAH walaupun menggunakan ikan emas sebagai karektor tapi jalan ceritanya tidak sama langsung dengan The White Balloon.
.
6. Sinopsis Ikan Emas Fatihah - Balang ikan emas Fatihah (8 tahun) telah terjatuh dalam longkang di hadapan rumahnya. Fatihah mengejar ikan emas itu hingga ke sebuah parit yang kemudiannya membawanya ke sebuah terowong yang menghala ke sebuah anak sungai. Fatihah masuk ke terowong itu dengan harapan untuk bertemu dengan ikan emasnya. Di hujung terowong dia bertemu dengan Tajul pelajar tingkatan 4 yang suka ponteng sekolah dan Soid seorang penganggur dan penagih dadah. Konflik antara mereka bertiga berlaku di sebuah bangsal di tepi hujung terowong tersebut apabila Fatihah memaksa Tajul dan Soid mencari ikan emasnya yang hilang.
.

Satu babak dalam The White BAlloon.
.
7. Saya pernah memberi pengarah tersohor tanahair U Wei Shaari membaca skrip ini. Dia begitu menyukai subject ikan emas yang saya gunakan dan telah mencadangkan pada saya beberapa idea memperbaiki beberapa kelemahan yang terdapat dalam skrip tersebut.
.U Wei Shari
.
8. Kalau tidak ada aral melintang Ikan Emas Fatihah akan memulakan pengembaraan samaada February ini atau April akan datang.
.
9. Saya suka dengan cerita kanak-kanak yang mengangkat nilai human interest dalam story linenya.

PERTEMUAN PARA PENULIS SKRIP 21 FEB 2010

1. 21.Feb 2010 jam 3.00 petang bertempat di Auditorium Mini P. Ramlee Finas satu pertemuan antara warga penulis skrip akan diadakan.
.
2. Pertemuan yang diusahakan oleh beberapa penulis skrip ini adalah bagi membincangkan nasib serta masa depan profession penulisan skrip yang sekarang ini sedang dirundung malang.
.
3. Saya menyokong usaha ini yang diharap dapat mempertemukan semua penulis skrip samada yang berdaftar atau tidak dengan SWAM.
.
4. Presiden SWAM, En Ismail Ahmad sendiri menyetujui pertemuan ini dengan mengharap idea-idea baru dan bernas dapat di kemukakan bagi 'memperkasa' dan memertabatkan' profession penulisan skrip ini.
.
5. Saya mengharapkan pertemuan ini bukan satu pertemuan untuk mencari slah silap siapa atau kenapa tak buat itu dan kenapa tak buat ini. Tapi mencari 'apa' yang patut dilakukan pada masa mendatang agar nasib para penulis skrip lebih terbela dan terhindar dari 'kerakusan' para penerbit samada drama atau filem.
.
6. Saya sendiri akan hadir untuk melontarkan satu dua idea bagi 'memperkasa' dan 'memartabat' profession penulisan skrip tanahair.
.
7. Setakat ini saya dimaklumkan terdapat 51 penlis skrip telah menyatakan kesediaan untuk hadir. Saya menyeru agar semua penulis skrip dapat hadir untuk sama-sama memberi cadangan bagi kepentingan bersama