Showing posts with label drama dakwah. Show all posts
Showing posts with label drama dakwah. Show all posts

AKU BUKAN RABIATUL

Thursday, August 19, 2010


Gambar Hiasan

1. Karya telemovie saya AKU BUKAN RABIATUL untuk Astro Prima kini sedang menjalani pengambaran di sekitar Chow Keat Road, Kuala Lumpur sejak semalam (10 Ramadhan).
.
2. Di arahkan oleh Award Winning Director Jurey Rosli yang juga merupakan Presiden Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM).
.
3. Sinopsis - kisah seorang ibu ayam lanjut usia yang tidak yakin Allah akan mengampunkan dosa-dosanya. Namun kerana menyelamatkan seekor anak kucing yang kelaparan dia akhirnya secara tidak sengaja telah bertemu dengan anak angkat yang pernah disusukannya 25 tahun dahulu. Anak susuannya itu kini adalah seorang doktor vateriner. Namun kehadiran seorang gila yang suka membaca kitab agama telah menyedarkan ibu ayam ini betapa Allah itu bersifat Maha Pengampun dan Penyayang.
.
4. Drama ini sebenarnya diilhamkan dari sepotong hadis nabi :
.
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).
.
5. Antara pelakun yang terlibat dalam drama ini ialah Nur Fathiya, Ros Iskandar, Wan Maimunah, Intan Azura, Iqram Dinsly dan Zoey Rahman.
.

6. Drama ini akan ditayangkan di Astro Prima pada Dis 2010 nanti.
.

ANUGERAH KHAS JURI - AMIN KE 3

Sunday, October 11, 2009

Bersama sdr Rosli yang mewakili TAS untuk mengambil trophi sempena AMIN ke3
.
1. Dalam posting sebelum ini saya telah meramalkan karya saya KALIGRAFI CINTA akan menang banyak kategori drama yang dipertandingkan dan bukannya drama IHSAN yang juga merupakan karya saya. Namun sebaliknya IHSAN telah banyak memenangi beberapa kategori drama yang dipertandingkan. Antaranya Penerbit/Drama Terbaik, Skrip Terbaik, Pelakun Wanita Terbaik dan Pengarah Terbaik.
.
2. Namun saya agak terkejut apabila KALIGRAFI CINTA telah diberikan Anugerah Khas Juri. Mungkin kerana faktor 'uniqueness and something out of the box' yang dicari oleh para panel juri, KALIGRAFI CINTA dipilih untuk diberikan penghargaan dengan Anugerah Khas Juri tersebut.
.
3. Kisah sebuah kampung dimana jenerasi mudanya sudah tidak pandai menulis jawi dalam KALIGRAFI CINTA mempunyai kritik sosial yang tajam dan mempunyai mesej dakwah dan tarbiah yang cukup jelas serta mudah difaham khalayak penonton.
.
4. Ini kali pertama Anugerah Khas Juri diperkenalkan dalam Anugerah AMIN sejak tiga tahun penganjurannya.
.
5. Saya bersyukur kehadrat Allah swt atas anugerah tersebut. Terima kasih juga saya ucapkan pada Television Airtime Services (TAS) kerana sudi menerima konsep cerita ini dan menerbitkannya. Kepada wargakerja di TAS, sdr Razak, sdr Rosli dan cik Musdalifah juga saya mengucapkan terima kasih kerana sentiasa menyokong karya-karya saya. Cuma saya agak terkilan bila boss TAS, En Tahir Othman tidak dapat hadir untuk menerima trophi anugerah tersebut kerana sedang berada di Cannes. Trophi tersebut telah diambil dengan diwakilkan kepada Sdr Rosli.

6. Pernah seorang penerbit sebelum ini yang saya tawarkan untuk menerbitkan drama ini (sebelum diberikan pada TAS) menolaknya atas alasan tidak punya sebarang nilai komersial dan tidak menguntungkan syarikatnya untuk diterbitkan. Mungkin bukan rezeki penerbit tersebut untuk menerima anugerah ini.

Pejabat TAS di Glenmarie, Shah Alam.

FAKTOR 'NASIB' DALAM PENGHASILAN SEBUAH DRAMA

Sunday, August 30, 2009

1. Pengarah yang mengubah jalan cerita dan merombak skrip sesuka hati tanpa merujuk terlebih dahulu kepada penulis skrip adalah satu mimpi ngeri kepada kebanyakkan penulis skrip. Apatah lagi apabila apa yang dihajati dari skrip tidak diangkat sepertimana yang diharapkan.
.

2. Bukan senang untuk mencari idea atau ilham dalam melahirkan sebuah skrip yang baik.
.

3. Lebih teruk lagi ada pengarah yang merombak skrip tanpa memberitahu penerbitnya. Penerbit hanya mendapat tahu setelah melihat finish productnya sahaja.
.

4. Saya telah beberapa kali mengalami mimpi ngeri ini.
.
5. Drama saya ENGKAU LAKSANA BULAN (RTM) endingnya mengikut skrip ialah babak penyampaian hadiah penghargaan Komandan Maktab Tentera Di Raja kepada Kompeni Bravo kerana berjaya mengutip dana bagi membantu seorang pesakit jantung berlubang. Tapi pengarahnya telah merombak skrip menjadikan endingnya kepada penyampaian hadiah kepada kompeni Bravo kerana memenangi pertandingan berkawat. Saya dan penerbitnya ketika itu begitu terkejut kerana dalam skrip asal tidak ada langsung menyebut tentang pertandingan kawat. Penerbitnya telah menamatkan perkhidmatan pengarah tersebut serta merta tanpa membayar baki bagi khidmatnya. Penerbit telah menggantikannya dengan pengarah lain. 26 babak dalam drama tersebut (1/3 dari keseluruhan drama) terpaksa di re-shot semula dan penerbitnya terpaksa mengeluarkan hampirRM13,000 lagi untuk tujuan tersebut.
.
6. Kerana sikap professional penerbit, ENGKAU LAKSANA BULAN akhirnya telah dicalunkan untuk ANUGERAH SKRIN TV3 2007 mewakili TV2 walaupun tidak memenangi sebarang anugerah kemudiannya.
.
7. Drama saya RESTU MU IBU (RTM) bertemakan kemerdekaan yang telah di terbitkan pada 2007 juga menghadapi masalah yang sama. Drama tersebut mengikut skrip asal adalah sebuah genre drama. Tapi pengarahnya yang juga seorang pelawak veteren terkenal tanahair telah merombak skrip saya menjadikannya sebuah genre semi komedi. Saya cukup kecewa bila menontonnya di kaca tv apabila terdapatnya watak seorang yang mengaku 'YB' dan watak seorang gila di kampung berjalan ke hulu ke hilir berpakaian kemas bertali leher di tengah panas matahari sambil membawa Jalur Gemilang diujudkan dalam drama tersebut. Kedua-dua watak itu sebenarnya tidak ada dalam skrip asal saya.
.
8. Namun saya agak pelik bila diberitahu penerbitnya baru-baru ini drama RESTU MU IBU ini adalah antara drama-drama RTM yang telah berjaya dijual dipasaran antarabangsa. Penerbitnya telah dibayar saguhati oleh RTM kerana kejayaan itu.
.
9. Drama saya PUTERI(RTM) yang mengisahkan hubungan kasih sayang antara seorang kanak-kanak dengan seekor anak gajah di Pusat Konservasi Gajah di Kuala Gandah Pahang juga mengalami keadaan yang sama. Pengarahnya yang merupakan orang lama dalam industri, bekas kakitangan RTM dan kini mengajar perfileman di sebuah kolej swasta terkemuka, juga telah merombak skrip asal saya. Penerbit pada asalnya tidak setuju dengan cadangannya untuk merombak skrip saya tersebut. Tetapi katanya apabila pengarah tersebut mendakwa dia orang lama dan pensyarah dalam bidang skrip di kolejnya maka penerbit akhirnya terpaksa tunduk dengan desakannya itu. Drama tersebut kalau tidak silap saya telah memulakan pengembaraan pada sekitar Jan/Feb 2008 lagi untuk ditayangan sempena cuti semester pertama persekolahan 2008. Tetapi sehingga kini drama tersebut masih belum disiarkan oleh RTM. Saya kemudiannya mendapat tahu pihak RTM telah reject finish product drama tersebut dan penerbit terpaksa mengarahkan pengarah tersebut untuk re shot semula beberapa babak dalam drama tersebut. Penerbitnya rasa kecewa dan kesal kerana telah tunduk kepada desakan pengarah sebelum ini. Berita terakhir saya diberitahu oleh penerbit, drama PUTERI tersebut akan ditayangkan pada hujung tahun ini.
.
10. Yang terbaru drama saya MURABBI(Astro Prima) juga mengalami perkara yang sama. Keputusan Pengarahnya memberi watak-watak utama kepada terlalu ramai pelakun-pelakun baru telah menjadikan cerita itu hambar dan membosankan. Padahal saya telah pun mencadangkan agar pelakun berpengalaman dan mature diambil untuk terlibat dalam drama tersebut. Pelakun-pelakun baru itu hakikatnya bukan berlakun dalam erti kata sebenar tapi lebih banyak menghafal skrip. Ini menjadikan watak mereka tidak natural dan tidak real. Nama-nama seperti Amy Salmiah, Sharifah Aleysha, Sharmaine Shiree dan Siti Fauziah bukan sahaja tidak pernah kita dengar malah ada antara mereka yang tidak pernah berlakun pun. Hujah pengarah, dia mengambil terlalu ramai pelakun baru memegang watak utama berlakun kerana dia mahu memperkenalkan barisan pelakun-pelakun baru. Saya terima hujah itu tapi tidak kepada pemegang watak-watak utama yang menjadi anchor kepada keseluruhan drama tersebut. Saya selitkan gambar-gambar shooting Murabbi di bawah ini.
.
11. Menghasilkan naskah yang baik kadangkala bergantung juga kepada faktor 'nasib'. Sebab itu pada saya untuk melahirkan karya drama yang baik faktor team work dan rasa hormat menghormati sesama golongan pengkarya amat penting agar elemen 'nasib' tidak jadi ukuran kepada kejayaan sesebuah drama.

TELEMOVIE QALBU(OASIS)

Saturday, August 22, 2009

1. Selalu saya mengharap agar setiap kali ramadhan, saya dapat bercuti dari menulis skrip. Tapi biasanya saya gagal. Masa ramadhanlah selalunya saya sibuk.
-
2. Ramadhan kali ini saya terpaksa menyiapkan dua skrip drama 13 episod dan sebuah drama telemovie. Disamping itu saya juga terpaksa menghadiri lebih dari 16 sessi pitching di RTM.
-
3. Ramadhan kali ini juga dua telemovie saya memulakan pengembaraannya iaitu QALBU (OASIS) yang telah pun memulakan pengembaraannya di sekitar Kuala Lumpur pada semalam (22 Ogos bersamaan 1 Ramadhan) dibawah arahan Muralli Abdullah dan KABUS DI BALIK BAYU (RTM) yang dijangka akan memulakan pengembaraan di Sandakan dan Kundasang Sabah pada pertengahan ramadhan nanti juga di bawah pengarahan Muralli Abdullah.
-
4. QALBU adalah sebuah tele genre melodrama mengenai kisah poligami yang dilakunkan oleh Aida Rahim, Jalil Hamid, Safura Yaacob dan Zarina AF2.
5. Aida Rahim yang memegang watak utama dalam QALBU pernah berlakun dalan beberapa drama saya antaranya SELEMBUT MUHASABAH yang pernah disiarkan di RTM pada September 2008 dan telah diulangtayang pada Jun 2009 yang lepas. Saya meminati lakunannya kerana dia sentiasa memberikan yang terbaik untuk lakunannya.
6. QALBU dijangka akan ditayangkan di OASIS pada September atau Oktober nanti.

Aida Rahim dan Rosnah Johari dalam tele SELEMBUT MUHASABAH karya Zabidi Mohamed

LIBERALISME DAN NILAI ISLAM DALAM SESEBUAH KARYA

Wednesday, August 19, 2009

1. Saya ada membaca artikle yang ditulis oleh wartawan hiburan Zainuri Misfar (gambar atas) mengenai Yasmin Ahmad yang bertajuk "Benarkah filem Yasmin Ahmad karya tanah air paling hebat?" Seperti dijangkakan artikle tersebut menerima banyak respon pro dan kontra.



2. Saya sebagai seorang pengkarya menyokong tulisan Zainur Misfar tersebut.



3. Kreativiti Yasmin Ahmad dan kredibilitinya dalam menghasilkan karya-karya yang baik tidak dapat dinafikan apatah lagi dia menerima banyak anugerah dan pengikhtirafan dalam dan luar negara. Karya-karya Yasmin Ahmad memang baik tetapi bukanlah yang terbaik kata Zainur Misfar lagi.



4. Namun seperti kata Zainur Misfar, "kita tidak seharusnya membaca sub teks sesebuah karya itu secara selapis sahaja. Karya Yasmin berat sebelah, tidak realistik, menyindir orang melayu, mengajak orang melayu dan islam supaya berfikir liberal".



6. Ada benarnya pendapat Zainur Misfar itu. Saya menyokongnya.



7. Iklan Petronas sempena Kemerdekaan Negara mengenai seorang kanak-kanak Tan Hong Ming yang menyatakan dia mempunyai seorang girl friend bernama Umi Qazrina dan Umi pula kemudiannya mengaku Tan Hong Ming juga adalah boy friendnya, walaupun kreatif, unik dan lucu tapi sebenarnya terkandung tema dan mesej liberalisme yang sangat diperjuangkan Yasmin Ahmad dalam karya-karyanya. Itu signature Yasmin Ahmad dalam kebanyakkan kerya-karyanya. Sepet dan Gubra juga mempunyai tema dan mesej yang sama. Iklan Petronas mengenai kisah Tan Hong Ming dan Umi Qazrina ini pada saya menghina melayu dan islam.



8. Yasmin Ahmad seolah-olah mahu mengajak orang melayu supaya bersikap liberal dalam beragama. Seolah-olah padanya "Kita memang nak Islam tapi jangan Islam sangat." Ini nilai yang diperjuangkan Yasmin Ahmad dalam hampir kesemua karya-karyanya.



9. Saya tidak mahu menyentuh mengenai soal peribadi orang yang telah meninggal. Tapi pada saya karya-karya seseorang masih boleh dibincang dan diperdebatkan walaupun dia telah meninggal.



10. Orang melayu dan islam mesti bukan sahaja pandai 'menonton' tapi mesti juga pandai 'membaca' yang tersirat disebalik yang tersurat dalam sesebuah karya.

CINTA SEMPURNA DI YOUTUBE

Tuesday, August 18, 2009

BAGI YANG TIDAK MELANGGAN ASTRO DI RUMAH ATAU PARA PELAJAR DI IPT - 'CINTA SEMPURNA' JUGA BOLEH DITONTON DAN DIDAPATI PADA YOUTUBE. SETIAP EPISOD AKAN DI DOWNLOAD KE YOUTUBE SEJURUS SELEPAS TAYANGAN DI CHANNEL OASIS. JUGA BOLEH DIDAPATI DI http://hazel2k.blogspot.com.

SAIPUL BAHRI & CINTA SEMPURNA

Monday, August 10, 2009



1. Untuk drama bersiri sempena Ramadhan, CINTA SEMPURNA, OASIS dan Executive Producer di Astro, En Jamal Ismail memberi sepenuh kebebasan kepada saya sebagai penulis skrip CINTA SEMPURNA untuk memilih dan menentukan siapa Pengarahnya.

2. Saya spontan mencadagkan nama Saipul Bahri Othman sebagai Pengarah.




3. Saya mengambil risiko yang besar bila mencadangkan nama Saipul kerana di Astro tiada siapa yang megenalinya. Tapi saya memilih Saipul kerana sebelum ini dia pernah mengarahkan drama saya QONAAH di RTM. Saya dapat menilai dan mengesan bakat yang ada pada Saipul itu melalui drama itu.

4. Alhamdulillah Saipul berjaya membuktikan keupayaannya mengangkat CINTA SEMPURNA menjadi drama yang baik malah melampaui apa yang diharap dan dijangkakan oleh OASIS.

5. Tahniah juga pada Producernya En Sahid Juri yang sanggup berbelanja besar dan memberikan segala komitmennya bagi menerbitkan dan menjayakan drama 20 episod ini.

6. Pengarah muda seperti Saipul patut diberi lebih peluang untuk membina nama dalam dunia kreatif yang diceburinya.

7. CINTA SEMPURNA akan mula ditayangkan pada 17 Ogos ini jam 3.00 petang iaitu seminggu sebelum Ramadhan dan akan berakhir seminggu sebelum aidilfitri.Ia juga akan diulang tayang pada jam 10.00pm dan 4.30am setiap hari.Pada Sabtu dan Ahad kesemua epiosd yang ditayangkan seminggu sebelum itu turut akan diulang tayang secara marathon.

8. Selamat menonton.