MAKBUL The Series - Sebuah Cerita Tentang 'Doa'

Tuesday, June 22, 2010


1. Drama saya MAKBUL 26 episod (1 jam) kini sedang berada dalam proses script reading bertempat di Taman Budaya Negeri, Alor Setar Kedah. Shooting akan bermula pada 24.Jun ini sehingga minggu pertama ramadhan dan mengikut jangkaan akan disambung semula pada pertengahan Syawal.

2. Drama genre komedi ini diterbitkan secara in-house oleh Unit Drama RTM dan diarahkan oleh saudara Asri Alias.

3. Sinopsis - kisah Anuar (Dato' Jalaludin Hassan) seorang usahawan yang percaya kejayaan yang dikecapinya selama ini adalah kerana usaha keras dan kebijaksanaannya semata. Baginya 'doa' hanya layak untuk orang yang malas berusaha dan berfikir. Namun kerana tidak mahu dituduh sebagai orang yang mengabaikan agama, Anuar kerap menghantar setandan pisang ke masjid di kampungnya setiap kali solat jumaat. Satu hari perniagaannya menghadapi masalah dan dia telah sponsor 20 orang kampung untuk pergi mengerjakan umrah dengan harapan mereka semua akan mendoakan untuknya di depan Kaabah. Anuar sendiri tidak pergi atas alasan belum sampai seru. Salah seorang yang ikut serta dalam rombongan itu adalah BOL, pemuda yang lurus bendul, tidak tahu membaca dan menulis. Sekembalinya rombongan umrah ke kampung dua minggu kemudian pelbagai peristiwa lucu berlaku. Semuanya berpunca dari Bol apabila Bol menghebohkan ke seluruh kampung doa Anuar paling makbul.

4. Saya menghabiskan masa hampir 3 bulan untuk menggarap skrip ini. Tempoh ini dianggap terlalu lama kerana pada sesetengah penulis skrip yang berpengalaman ada diantara mereka yang boleh melakukannya dalam tempoh 3 minggu sahaja untuk menulis skrip drama 26 episod 1 jam seperti ini. Saya sengaja mengambil masa lama kerana hanya mahu memberikan yang terbaik kepada Unit Drama RTM. Apatah lagi drama ini adalah sebuah drama dakwah yang dibuat dalam genre komedi, sesuatu yang bukan senang untuk dihasilkan.

5. Untuk maklumat lanjut sila rujuk pada http://makbul-theseries.blogspot.com atau pautan yang disenaraikan pada bloglist saya.

Comments

No response to “MAKBUL The Series - Sebuah Cerita Tentang 'Doa'”
Post a Comment | Post Comments (Atom)