BERDUA LEBIH BAIK

Tuesday, July 7, 2009




1. Saya tiba di Masjidil Haram dari Madinah untuk menunaikan ibadah umrah diluar cuti penggal persekolahan di Malaysia (Jun). Jarang dapat di temui orang Malaysia pada waktu ini. Tapi di timur tengah dan Asia Barat termasuk di Iran dan Turki, cuti persekolahan musim panas mereka baru sahaja bermula (Julai). Kerana itu, yang kelihatan ramai mengerjakan ibadah tawaf di keliling Kaabah adalah warga arab, Iran dan Turki.

2. Cuaca pada waktu siang di Mekah ketika ini adalah antara 42C-45C berbeza dengan di Malaysia pada waktu yang sama antara 32C-34C. Saya yang tidak tahan dengan bahang panas hanya akan mengerjakan ibadah tawaf sunat pada waktu sebelum atau selepas subuh ataupun antara maghrib dan isyak. Waktu tengaharinya saya hanya akan berdiri di tangga Masjidil Haram yang menghadap ke Mekah dengan memakai cermin mata hitam. Saya suka memerhatikan sahaja kesungguhan bangsa Arab, Turki dan Iran bertawaf keliling Kaabah di tengah terik panahan cahaya matahari tepat di atas kepala.

3. Melihat mereka berbondong-bondong mengerjakan tawaf tanpa menghiraukan terik panas matahari pada kadar 42C ketika itu, teringat saya kepada sebuah buku bertajuk LEAP OF FAITH, MEMOIRS OF UNEXPECTED LIFE yang ditulis oleh Queen Alia isteri kepada Allahyarham King Hussein Of Jordan yang pernah saya baca beberapa tahun dahulu.



4. Buku itu telah saya temui ketika ke KINOKUNIYA sebuah kedai buku terkemuka di KLCC. Melihat cover bukunya yang memaparkan wajah Queen Alia yang cantik, anggun lagi elegant itu, hati saya terus terdetik, “She must have something to share with the world”. Saya membelinya kerana menyangka ianya pasti sebuah buku yang akan menceritakan kisah cinta dan perkahwinan Queen Alia dengan King Hussein.


5. Saya memang suka membaca buku-buku mengenai pergolakkan politik Asia Barat dan Timur Tengah. Kisah percintaaan dan perkahwinan Queen Alia dengan King Hussein Jordan adalah antara kisah yang sering saya ikuti perkembangannya. Sering saya bertanya-tanya kenapa dan bagaimana King Hussein yang diikhtiraf sebagai berketurunan Nabi itu boleh berkahwin dengan Queen Alia? Queen Alia adalah seorang wartawan yang berasal dari Amerika Syarikat dan ayahnya seorang jutawan aviation berketurunan Kristian berasal dari Palestin.Queen Alai memeluk Islam beberapa hari sebelum mengahwini King Hussein. Kerana inginkan jawapannya saya membeli buku yang setebal hampir 400 mukasurat itu.

6. Tanggapan awal saya silap. Ini bukan buku kisah cinta tapi lebih banyak menceritakan sejarah dan asal usul jatuh bangun pergolakan politik moden negara-negara Asia Barat dan Timur Tengah.

7. Kisah sikap ‘gedebe’ kumpulan PLO pimpinan Yasser Arafat, kisah bagaimana CIA dan Mossad mencatur politik Iran melalui Shah Iran, Kisah Saddam Hussein, kisah King Fahd Saudi, Kisah raja-raja di negara-negara Arab yang takut dan tunduk pada kuasa imperialisme Amerika, kisah Khomeini, kisah pembunuhan Anwar Sadat, kisah Ikhwanul Muslimin, kisah perang teluk, kisah hubungan baik King Hussein dengan Sultan Hasannah Bolkiah Brunei, kisah Israel, kisah sukarnya menyatu padukan bangsa arab, kisah orang Palestin dan Labenon, kisah kuasa minyak, kisah perang Arab-Israel, kisah Baitul Maqdis – semuanya diceritakan secara detail dan factual oleh Queen Alia. Pokoknya, bangsa Arab hanya boleh disatukan ketika mereka tawaf di Kaabah tapi di luar tanah haram mereka akan berkelahi dan bergaduh semula. Hati mereka sentiasa panas seperti mana panasnya cuaca di bumi mereka yang tandus dan dikelilingi padang pasir.

8. Membaca LEAP OF FAITH, THE MEMOIRS OF THE UNEXPECTED LIFE, seolah-olah kita telah membaca hampir kesemua atau ratusan buku-buku yang berkaitan dengan Asia Barat dan Timur Tengah.Saya telah membaca buku ini berulang kali untuk menghayati sejarah bangsa Arab pasca zaman moden.. Kesimpulannya, keluh saya. “Memang patutlah para nabi dan para Rasul, Allah pilih dari kalangan orang Arab dan munculkan dibumi Arab”

9. Queen Alia menceritakan semua kisah itu sambil diselit-selitkan kisah peribadinya mengenai saat perkenalan, percintaan, lamaran, perkahwinan dan pembinaan rumahntangganya dengan King Hussein. Ini menjadikan buku ini tidak jemu untuk dibaca.

10. Namun Queen Alia begitu bijak menyimpulkan kisah cintanya dengan King Hussein apabila di akhir bab dia menceritakan bagaimana sejak berkahwin dengan King Hussein setiap tahun dia akan dibawa suaminya ke Kaabah untuk menunaikan ibadah umrah. Tapi setelah suaminya meninggal dunia dia terpaksa pergi menunaikan ibadah umrah tanpa di temani suami. Ketika tawaf itulah dia dapat merasakan ‘kehilangan’ cinta suaminya dan keagungan cinta Allah bila mengadap Kaabah. Saya tersentuh membacanya.

11. Saya pernah mengerjakan umrah seorang diri pada 2006 yang lalu dan kini pada 2009 dengan izin Allah saya datang semula untuk menziarahi maqam Rasulullah S.A.W di Madinah dan menunaikan ibadah umrah di Kaabah. Saya dapat rasakan ‘kehilangan’ yang dimaksudkan oleh Queen Alia dalam bab akhirnya bukunya itu. Pada saya, ziarah maqam Rasulullah dan menunaikan ibadah umrah adalah BERDUA LEBIH BAIK. Boleh sama-sama membantu dalam muhasabah diri dan merencana iltizam baru dalam membina hidup mendatang yang lebih kuat berpegang pada syariat Islam dan mengikut atau mengamalkan Sunnah Nabi.

12. Perpustakaan Negara Malaysia di Kuala Lumpur pernah pada tahun 2005 menjemput saya berceramah dalam program “MY FAVOURITE BOOK” dan saya telah mengambil buku Queen Alia ini untuk dipersembahkan dalam program tersebut. Ramai yang hadir antaranya pelajar IPTA, pelajar sekolah menengah dan kakitangan Perpustakaan Negara sendiri. Di akhir program pemenang kuiz dari soalan yang saya buat berdasarkan isi kandungan buku itu, buku itu telah saya hadiahkan pada seorang pelajar undang-undang UIA NorAzla Abdul Wahab yang kini adalah seorang peguam di Seremban.

13. Moga Allah rezekikan saya untuk mengerjakan haji bersama isteri dalam masa yang terdekat ini.Amin.



KERJASAMA FELDA DAN OASIS

Sunday, July 5, 2009




1. Setiap kali saya berjalan ulang alik dari hotel penginapan ke Masjidilharam, saya kerap terpandang satu papan iklan Restaurant fD’Saji (Felda D’Saji) milik Felda Global Ventures Arabia Ltd yang di letakkan di kaki lima Safwa Tower sebuah pusat perniagaan baru yang terletak hanya 20 meter dari perkarangan Masjidilharam. Pernah saya terbaca dalam akhbar di Malaysia sebelum ini tentang usaha Felda mengujudkan restaurant ini dan kemudian selang beberapa bulan kemudian saya juga terbaca di akhbar restaurant itu telah di tutup. Saya tertanya-tanya kenapa sekejap buka dan sekejap tutup? Mana yang betul, buka atau tutup? Kerana sikap ingin tahu saya masuk ke Safwa Tower untuk mencari lokasi restaurant tersebut.


2. Saya menemui restaurant tersebut di tingkat dua. Keadaan agak lengang ketika saya tiba. Saya mengambil berkesempatan minum teh tarik sambil mencari-cari siapa di kalangan pekerjanya yang boleh diajak berbual. Melihat pekerjanya bercakap dalam bahasa melayu saya yakin mereka semua datang dari Malaysia, bukan pekerja Bangladesh atau Indonesia seperti mana biasa yang kita temui di Mekah. Hanya terdapat satu meja sahaja yang diduduki satu keluarga melayu dari Malaysia yang datang singgah setelah membeli belah. Saya sempat bertemu salah seorang Chef di situ.



3. Mengetahui saya adalah Script Editor di Astro, Chef fD’ Saji itu memanggil Managernya Saudara Syed Fadhil untuk di temukan dengan saya. Syed Fadhil Syed Sofi memberitahu saya restaurant tersebut baru sahaja 2 minggu dibuka semula setelah terpaksa ditutup selama 6 bulan sebelum itu akibat dari kerenah biroksrasi pihak berkuasa tempatan di Arab Saudi. Restaurant tersebut telah diarah tutup oleh pihak berkuasa Arab Saudi kerana didakwa beroperasi tanpa permit. Semua staff terpaksa pulang semula ke tanahair.



4. Kebetulan fD’Saji dibuka semula ketika musim cuti sekolah di Malaysia di mana mengikut statistik 38 ribu warga Malaysia mengerjakan umrah pada ketika itu (Jun 2009). Syed Fadhil mengakui fD’Saji menerima ramai pengunjung Malaysia yang mengerjakan umrah ketika itu. Tapi dia akui fD’Saji agak lengang apabila tamat musim cuti sekolah. Syed Fadhil yang berpandang jauh dan bersifat entrepruner agak risau jika fD’Saji terlalu mengharapkan pelanggan hanya pada musim cuti sekolah sahaja.

5. Kami banyak berbincang tentang isu kaedah dan cara mempromosi jenama fD’Saji dan dalam kesempatan itu saya melontarkan padanya bagaimana medium drama boleh dijadikan product placement dalam usaha promosi. Dia nyata tertarik mendengar cadangan saya itu.


6. Secara bergurau saya katakan padanya saya sudah mempunyai story-line tentang kisah seorang tukang masak di sebuah Felda di Malaysia yang dihantar bekerja di Mekah sebagai pembantu Chef di restaurant fD’Saji. Syed Fadhil tertarik dengan story-line itu. Kami sepakat untuk membawa perkara ini ke pihak atasan masing-masing. Tapi saya katakan padanya, Felda patut sponsor keseluruhan kos penerbitan sebuah drama di OASIS. Saya percaya dengan sponsor keseluruhan kos produksi, sebuah drama yang menjadikan restaurant dan kisah chef di fD’Saji boleh membantu mempromosi fD’Saji apatah lagi OASIS kerap mengulang tayang drama terbitannya.

7. Kalau Felda sanggup membelanjakan hampir RM1.5 juta untuk membuka sebuah restaurant yang diharap dapat menjadi kebanggaan jenerasi Felda tentulah jumlah kos produksi sebuah drama (lokasi di mekah, Madinah dan Jeddah) sebanyak RM165,000.00 boleh dianggap kecil untuk menyelamatkan maruah jenerasi Felda. fD’Saji sudah tidak mampu untuk ditutup untuk kali kedua. fD’Saji adalah maruah dan lambang kebangkitan anak-anak Felda. PM, Datuk Seri Najib Tun Razak yang begitu mengambil berat tentang hal ehwal komuniti Felda juga tentu mahu fD’Saji menjadi contoh dan lambang kebanggaan komuniti Felda. Saya percaya Felda mempunyai kekuatan kewangan apatah lagi kos RM165,000.00 untuk sebuah telemovie adalah kecil untuk maksud dan tujuan promosi. Demi maruah Felda, RM165,000.00 juga bukanlah satu jumlah yang besar.

8. Dengan usahasama dan synergy antara ibu pejabat Felda di Kuala Lumpur, Resataurant fD’Saji di Mekah, Felda Travel & Tours, anak syarikat Felda yang menguruskan urusan Haji dan Umrah dan OASIS, saya percaya penerbitan sebuah drama dengan menjadikan Mekah dan Restaurant fD’Saji sebagai latar boleh direalisasikan.Apatah lagi saya, Haji Abu Hassan Murad (Anugerah Media Network) dan Erma Fatimah pernah melakukkannya dahulu melalui drama Mencari Nur Khadijah

9. Saya akan bawa perkara ini kepada Big Boss OASIS, Haji Izelan.

UMRAH KALI KE DUA

Wednesday, June 17, 2009

Zabidi Mohamed menerima tropi kemenangan dari Senator Datuk Jins Shamsudin

Penerima tropi Penerbit/Pengarah Drama Terbaik (Erma Fatimah), Pelakun Drama Lelaki Terbaik (Razali Hussein) dalam drama MENCARI NUR KHADIJAH dan Eja sebagai Pelakun Drama Wanita Terbaik dalam drama MUJAHADAH.


1. Alhamdulillah saya direzekikan Allah dapat mengerjakan umrah kali kedua pada esok, 19hb Jun - 3 Julai 2009 ini. Cuma kali ini saya pergi bersama isteri.

2. Umrah pertama saya adalah pada April 2006 ketika mengikuti rombongan Layar Consult Sdn Bhd yang ketika itu membuat pengembaran CINTA MADINAH 2 dibawah arahan Jailani Yusuf. Drama saya yang diilhamkan oleh Aliah Sijari dan Haji Abu Hassan Murad, MENCARI NUR KHADIJAH juga melakukan pengembaran pada masa sama tapi dibawah pengarahan Erma Fatimah. Mungkin berkat bumi bertuah, drama MENCARI NUR KHADIJAH telah dinobatkan untuk menang beberapa kategori dalam ANUGERAH MEDIA ISLAM NATIONAL 2008 (AMIN). Drama tersebut telah memenangi kategori skrip terbaik, penerbit/pengarah terbaik dan Pelakun Drama Lelaki Terbaik.

3. Dalam anugerah yang sama pelakun Eja telah memenangi kategori Pelakun Drama Wanita terbaik dalam drama MUJAHADAH di mana saya juga adalah penulis skripnya. Moga umrah saya kali ini dianugerahkan dengan umrah mabrurrah. Amin.


CINTA SEMPURAN -V- SAIFULISLAM.COM

Ustaz Hazrizal Abdul Jamil




1. Saya telah membaca polimik CINTA SEMPURNA dalam Saifulislam.com. Agak menarik kerana ada pro dan kontra mengenai penglibatan Ustaz Hazrizal (UH) dalam pembikinan drama 20 episod di OASIS tersebut. Paling jelas yang pronya lebih ramai dari yang kontra.

2. Namun dari gaya bahasa pengunjung saifulislam.com yang agak kontra, saya dapat merasakan bahawa mereka adalah terdiri dari golongan yang ada fikrah dalam agama.

3. Apapun komen saya selepas ini, saya beranggapan dan bersangka baik, samaada yang pro atau yang kontra semuanya berpijak atas pertimbangan yang mereka prihatin dan sayangkan reputasi dan kredibiliti UH. Mereka tentunya mahu melihat UH bersih dari sebarang 'keterlanjuran' dan 'tersilap' dalam menggunakan medium dakwahnya. Saya rasa saya faham apa yang mereka rasakan sekarang. Semuanya mungkin berpunca kerana selama ini mereka telah banyak kali tertipu dengan golongan pengkarya (terutamanya dalam bidang drama dan filem) apabila ramai antara mereka sering mendakwa karya mereka adalah karya dakwah tapi hakikatnya yang terhasil lebih bersifat dakyah halus (songsang) yang mengajak manusia melupakan tuhan dan agamanya. Agama diberi definasi berdasarkan pengalaman hidup dan kejahilan para pengkarya itu sendiri dan bukan berdasarkan pada ilmu dan sumber hukum yang sahih. Sebagai contoh filem dakyah songsang pada pengamatan dan pentafsiran saya ialah , Sepet, Gubra, Akhirat, Maut dan terkini "Anu Dalam Botol'.

4. Pengunjung saifulislam.com tidak mahu UH menjadi seperti apa yang telah berlaku pada Akill Hayy kini (maaf terpaksa menyebut namanya). Saya seperti mereka juga mahu melihat UH menjadi seorang pendakwah yang bersih dan dipandang hormat oleh masyarakat. Kita perlukan orang seperti UH untuk terus membimbing dan memberi tunjuk ajar pada kita.

5. Apa yang mahu saya nyatakan disini ialah golongan yang mempunyai fikrah (yang kontra pendapatnya) seharusnya berlaku adil dalam membuat penilaian dan menghukum UH. CINTA SEMPURNA masih dalam pengembaran dan masih belum ditayangkan lagi di OASIS. Menghukum UH di peringkat ini belum boleh dilakukan malah terlalu awal. Sedangkan Hassan Al Banna sendiri pun pernah masuk ke kelab malam untuk berdakwah. Dan saya rasakan penglibatan tidak langsung UH dalam CS tidaklah salah dan saya yakin besar ganjarannya di sisi Allah. Apatah lagi CS melibatkan OASIS yang memperjuangkan genre islami dalam program mereka.


6. Dalam buku tulisan saya -MAUNAH "THE NAKED TRUTH"- ada saya selitkan satu riwayat hidup Imam Syafie. Dalam riwayat tersebut ada diceritakan bagaimana pernah Imam Syafie di uji oleh anak-anak muridnya. Satu hari ketika melihat Imam Syafie sedang menunggang seekor unta, anak-anak muridnya bertanya, "Tuan, berapakah kaki yang dimiliki unta yang tuan tunggang itu?" Imam Syafie memberhentikan untanya untuk turun mengira jumlah kaki untanya. Dia memegang sambil membilang satu persatu kaki untanya. "Empat kaki" jawab Imam Syafie rengkas. Anak-anak muridnya bertanya lagi, "Kan semua unta berkaki empat? Kenapa tuan bersusah payah turun untuk memegang dan mengira semua kaki unta tersebut?". Jawab Imam Syafie, "Ya memang semua unta berkaki empat, tapi manalah tahu kalau-kalau yang aku naik ini Allah jadikan kakinya lebih dari empat?" Apa ikhtibar yang boleh kita ambil dari cerita ini?. Ya, sebelum menjatuhkan hukum kita kena teliti, hati-hati dan mengambilkira semua faktor berkaitan sebelum 'putus' dalam menjatuhkan hukuman. Tidak boleh somborono atau mengikut rentak emosi semata-mata.




7. Membanding-bandingkan Ayat-Ayat Cinta (AAC) dan Cinta Sempurna (CS) juga tidak tepat dan tidak adil. Pertama -AAC menggunakan medium bigscreen dan CS menggunakan medium small-screen(TV). Kedua - walaupun AAC dan CS menggunakan genre yang sama iaitu genre drama, tetapi masing-masing mempunyai latar cerita yang berbeza. AAC menggunakan latar pelajar bidang agama yang belajar di Mesir dan diselitkan dengan elemen cinta. melibatkan pelajar muslimah berpurdah. Maka dari fizikalnya nampak jelaslah elemen dakwahnya. Tetapi CS menggunakan latar sebuah keluarga moden di Kuala Lumpur yang mengagungkan budaya inggeris dengan di selitkan elemen cinta dalam garapan penceritaannya. Tentulah tidak nampak 'dakwahnya' apatah lagi para pelakun utamanya tidak bertudung. Latar yang tak sama dan berbeza dengan AAC.

8. Saya sebagai penulis skrip yang memperjuangkan genre dakwah dan tarbiah ini, sudah tentunya saya mahu explore dan mempelbagaikan pelbagai latar ini. AAC memang cerita yang bagus dan harus di puji. Tapi kita kena terima hakikat bahawa tidak semua orang suka dengan latar yang melibatkan story-line sekitar pelajar agama sahaja. CS adalah sebuah kisah benar yang saya kembangkan dan fictionkan agar kisah tauladan dari pengalaman UH ini boleh dijadikan bahan dakwah untuk tontotan dan ikhtibar semua yang menontonya. InsyAllah.

9. Dalam ilmu perfileman kita perlu faham apa yang dikatakan genre. Terdapat pelbagai jenis genre yang antaranya ialah : biograpphy, comedy, children's, crime, disaster, drama, fantasy, horror, musical, sci-fi, short, sport, thriller, war, western dan mystery.

10 Dalam setiap genre pula para penulis skripnya akan memilih latar yang menjadi minat dan subject matter mereka. Namun sebagai nilai universalnya kebanyakkan penulis skrip akan memasukkan eleman kasih sayang dan cinta dalam latar yang mereka pilih.

11. CS pada saya adalah kisah seorang pendakwah yang mahu cuba mendekati dan merubah cara berfikir dan aqidah seorang remaja. Samaada ianya drama dakwah atau tidak, kena tunggu dan lihat drama ini hingga habis dulu. Melabelkan CS sama dengan filem maksiat lain hanya semata-mata kerana pelakunnya tidak menutup aurat bukanlah satu ukuran yang tepa

12. Filem WAYANG karya dan arahan Dr Hatta Azzad Khan terbitan UiTM membicarakan tema mengenai golongan agama yang suka menghukum tanpa usul periksa. Hukuman yang dibuat secara terburu dan mengikut emosi ini akhirnya membawa kepada kecelaruan dan perpecahan masyarakat setempat. Filem ini wajar di tonton. oleh semua.

12. InsyAllah saya sedang dalam proses menulis tentang apa yang dikatakan roh dakwah dalam sebuah karya filem/drama.

HIKAYAT SEORANG ZULAIKHA

Tuesday, June 16, 2009


1. Semalam saya sempat menghadiri sessi presentation untuk proposal telemovie saya bertajuk HIKAYAT SEORANG ZULAIKHA (HSZ) yang bakal diterbitkan untuk RTM2 oleh Puan Nora Hendon dari NHF PRODUCTIONS SDN BHD di bawah arahan pengarah Din Glamour.

2. Proposal telemovie tersebut sebenarnya telah hampir setahun lebih saya hantar ke RTM. Baru minggu lepas saya diberitahu Puan Nora Hendon, RTM sudah pun mengeluarkan surat niat untuk kelulusan penerbitan drama tersebut.

3. Story line HSK lebih kurang sama macam telemovie saya bertajuk IHSAN di TV3 terbitan Layar Consult Sdn Bhd yang telah di short-listed antara 5 drama finalis terbaik Anugerah Skrin pada 2008 yang lalu. Menurut maklumat dari TV3, dari survey rating yang dijalankan oleh AC Nielsen, drama IHSAN yang diarahkan oleh Muralli Abdullah ini, telah mendapat rating 3.5 juta penonton ketika mula-mula disiarkan. Dan ketika diulang tayang pada bulan Ramadhan tahun yang sama, ianya telah mendapat rating sebanyak 2.9 juta penonton. Alhamdulillah response yang saya terima dari kalangan kenalan dan rakan taulan sangat memberansangkan. Penonton melayu suka pada cerita-cerita 'berjiwa melayu' yang berkait rapat dengan persoalan ketaaatan dan kasih sayang anak pada kedua orang tua mereka.



4. Zamarul Hisham yang berlakun sebagai 'Nordin', watak utama dalam drama tersebut telah di nobatkan sebagai Pelakun Lelaki Terbaik Anugerah Skrin TV3, 2008. Alhamdulillah. Tahniah buat Zamarul Hisham.


5. Walaupun HSZ punya genre dan latar yang hampir serupa dengan IHSAN, saya cuba larikan HSZ dari IHSAN dengan memberi sedikit kelainan pada garapan story-linenya. HSZ lebih memberi fokus pada transformasi seorang ibu tua bernama Zulaikha yang dipinggirkan anak sendiri, namun kemudiannya atas bantuan dan nasihat seorang ahli perniagaan telah menjadi seorang tokoh korporat. Zulaikha kemudiannya bangun bangkit untuk menghukum anaknya sendiri bagi tujuan menginsafkan anaknya yang durhaka dan lupa daratan.

6. HSZ dijangka memulakan pengembaran pada awal July ini.

7. Antara barisan pelakun yang telah disenaraikan pendek (tertakluk pada jadual mereka) untuk membintangi drama ini adalah pelakun vateren Asmahani Hussein sebagai Zulaikha, Khatijah Tan, Que Haidar, Fizz Fairuz dan Zack X Factor, Irma Hasnie, Intan Ladyana, Zizie Ezzette, Farah Putri, Sazzy Falak, Fazura, Dato' Rahim Razali, Dato' Jalaludin Hassan dan Wan Hanafi Su.

8. Saya mengharapkan HIKAYAT SEORANG ZULAIKHA ini mampu memberi kesan emosi dan tarbiah kepada hati penonton sepertimana yang telah dapat dilakukan dalam IHSAN. Doakansaya

SPOT CHECK EP DI LOKASI CINTA SEMPURNA

Saturday, June 13, 2009

1. Setiap pembikinan drama selalunya akan menghadapi masalah luar jangkaan yang kadangkala berpunca dari masalah teknikal, equipment, pertembungan jadual artis, cuaca dsbnya.

2. Maka itu ASTRO selalu menghantar para Executive Producer (EP) mereka untuk memantau perkembangan setiap production. Peranan EP ini adalah untuk menegur dan membantu pihak producer dan team produksi agar segala pengembaran berlaku mengikut jadual atau schedule yang telah di tentukan oleh channel.

3. Pada 11 jun 2009 (khamis) baru -baru ini, akibat hujan ribut dan cuaca berjerebu yang tidak dijangka di lokasi depan Lot 10, Bukit Bintang, saya sebagai penulis skrip dan Script Editor Astro bersama dengan En Jamal Ismail (EP Astro) telah mengambil kesempatan dari hujan ribut itu untuk mengadakan mesyuarat bersama En Sahid (Producer), Saipul Othman (Director), Haiza (Asst Director), Liza (Production Manager) dan Jay Jay (Line Producer) di cafe hotel Fortuna yang terletak berdekatan.

4. Kehadiran En Jamal banyak membantu melicinkan lagi proses pembikinan drama CINTA SEMPURNA. En Jamal bukan sahaja datang membuat spot check tapi juga turut memberi kata-kata peransang dan motivasi kepada team produksi.

5. Sebagai seorang pengkarya yang telah hampir 30 tahun berkecimpung sebagai penulis skrip, penerbit dan pengarah drama di Singapura, pengalaman, tunjuk ajar dan kepakarannya banyak diguna pakai oleh team produksi Cinta Sempurna ini.

6. Alhamdulillah, setakat ini pengembaran Cinta Sempurna masih berjalan mengikut schedule yang telah di tetapkan walaupun pada anggaran kasarnya telah 20%-30% terlewat akibat masalah jerebu dan hujan yang tidak dijangka dan diluar kawalan manusia.



BAYARAN KEPADA PENULIS SKRIP


1. Selalu orang bertanya pada saya berapa bayaran yang diterima oleh seorang penulis skrip jika karya mereka di beli oleh penerbit dan disiarkan di tv.


2. Agar sukar menjawabnya secara tepat kerana setiap station tv (RTM, ASTRO, MEDIA PRIMA) mempunyai skala bayaran yang berbeza pada para penerbit. Perbezaan ini juga memberi kesan kepada bayaran penerbit tv pada penulis skripnya. Ini kerana bayaran skrip dibayar oleh penerbit pada penulis skrip dan bukannya dari station tv terus kepada penulis skrip.

3. Sebagai contoh untuk drama episod setengah jam, ASTRO dan MEDIA PRIMA membayar hanya sekitar RM15,000 per episod. Ini berbeza dengan RTM yang membayar drama episod setengah jam antara RM22,000 ke RM25,000. Sebab itulah para penerbit tv lebih suka menerbitkan drama mereka di RTM kerana profit margine mereka lebih tinggi. Apatah lagi RTM is a very good pay master jika di bandingkan dengan station tv lain di Malaysia.


4. Untuk sebuah telemovie (90 minit) pula, RTM membayar antara RM100,000 ke RM112,000. Ini berbeza dengan Astro dan Media Prima yang membayar harga sebuah telemovie hanya antara RM80,000-RM85,000 sahaja. Kos untuk pembikinan sebuah telemovie yang baik, dengan pelakun kelas A, biasanya adalah dalam anggaran RM75,000 ke RM80,000. Jika pihak penerbit menjual drama mereka pada RTM tentulah profit margin mereka adalah antara RM30,000 hingga RM42,000. Ini cukup lumayan apatah lagi jika para penerbit di RTM dapat menjual antara 4-8 telemovie setahun kepada RTM. Ini belum lagi masuk drama episod (13 episod, 26 episod, 40 episod dan rancanagan berbentuk majalah yang selalunya dibuat dalam 13 epiosd semusim).


5. Saya pernah terjumpa dengan seorang producer semasa sessi pitching di RTM baru-baru ini yang mendakwa satu proposal telenya telah pun di terima oleh sebuah station tv di luar RTM. Tapi dia bawa proposal yang sama ke sessi pitching di RTM kerana katanya kalau proposalnya itu di terima RTM bayarannya lebih lumayan.


6. Namun sebagai panduan, lapuran akhbar METRO hari ini (13.Jun 2009) ada menyebut pihak SWAM (SCREENWRITERS ASSOCIATION OF MALAYSIA) telah mempunyai skala yang patut di bayar oleh para penerbit pada penulis skrip iaitu :

a. Untuk telemovie (90minit) bayaran adalah sebanyak RM5000/

b. Untuk program 1 jam bayaran adalah sebanyak RM2500/

c. Untuk program setengah jam bayaran adalah sebanyak RM1000/

d. Untuk program 15 minit bayaran adalah sebanyak RM500/


7. Saya menyokong penuh usaha SWAM menentukan skala bayaran untuk penulis skrip ini dan berharap sangat agar semua pihak dalam industri terutamanya para penerbit dapat mematuhi skala yang telah di tetapkan ini.


8. Para penerbit tidak akan rugi mengikut skala ini kerana bayaran yang di terima oleh mereka terutamanya dari RTM adalah cukup tinggi dan lumayan.


9. Namun saya percaya jika para penerbit boleh dikategorikan oleh RTM sebagai A atau B atau C mengikut saiz syarikat, kemampuan kewangan, track record terdahulu yang baik, award yang telah di menangi dan keupayaan menepati tx station tv, MAKA para penulis skrip juga perlu di kategorikan ikut kelas A, B dan C ikut kelayakan dan kemampuan masing-masing. Tak adil jika yang lama dan berpengalaman juga menerima skala yang sama dengan penulis skrip yang masih baru.


10. Hakikatnya tak semua para penerbit drama akan mengikuti skala SWAM itu. Apatah lagi tidak ada undang-undang atau rules and regulations yang boleh memaksa mereka mengikut skala itu. Semua mereka mempunyai alasan mereka masing-masing untuk tidak mematuhinya. Dan para penulis skrip juga tidak punya banyak pilihan.


11. Oleh itu eloklah SWAM, Persatuan Penerbit TV (PPTV) dan RTM bertemu dan berbincang untuk menyelaraskan perkara ini demi kebaikan masa depan industri. Karya yang baik selalunya datang dari skrip yang baik. Skrip yang baik juga datang dari penulis skrip yang terbela kehidupan keluarga mereka.


12. Saya hanya menyebut RTM di sini kerana saya percaya RTM punyai mechanisme dan kewangan yang lebih baik untuk membela nasib para penulis skrip di Malaysia.


13. Dalam dunia realitinya para penulis skrip dibayar jauh lebih murah dari skala yang di cadangkan oleh SWAM. Apa pun terima kasih pada SWAM kerana telah berusaha menyediakan skala ini sebagai garis panduan kepada semua penulis skrip dan para penerbit. Sekurang-kurangnya para penulis skrip sudah ada panduan atau benchmark untuk meletakkan harga karya dan skrip mereka pada para penerbit.


14. Para penerbit hakikatnya tak rugi. Apatah lagi jika mereka berjaya mendapat skrip yang baik dari penukis skrip yang kreatif, berpengalaman dan pandai menjaga costing dalam membuat skrip.