Showing posts with label bayaran penulis skrip. Show all posts
Showing posts with label bayaran penulis skrip. Show all posts

FESTIVAL PENULIS SKRIP

Friday, March 25, 2011

Akan berlangsung pada 8-14 April ini.  
1. Saya mengkagumi cara masyarakat di barat begitu gigih dan konsisten dalam memperkasa tahap profesionalisme penulis skrip mereka.

2. Mereka kerap mengadakan festival berkonsepkan wacana ilmu bagi memastikan penulis skrip mereka sentiasa rasa 'dihargai' dan 'menghargai' karier mereka.

3. Di Malaysia, festival hanya di adakan untuk meraikan golongan artis semata. Penulis skrip kurang diberi perhatian walaupun pada hakikatnya dari sebuah skriplah datangnya pekerjaan pada producer, pengarah, artis dan pekerja-pekerja di belakang tabir yang lain. Tanpa skrip mereka semua tentunya akan menjadi penganggur.

4. Namun saya percaya golongan penulis skriplah yang mesti membela dan memertabatkan profession mereka sendiri. Tidak boleh harap pada orang lain.

5. Saya harap SWAM dapat menganjurkan festival yang sama untuk penulis skrip di Malaysia.

SKRIP ADALAH MARUAH

Thursday, May 27, 2010

European Scriptwriters Convention Nov 2009 di Greece.

1. Saya bakal memberi taklimat mengenai Deraf Perjanjian Antara Penulis Skrip dan Penerbit semasa pertemuan para penulis skrip 29.Mei 2010 ini.


2. Ramai penulis skrip yang mengharapkan nasib mereka akan lebih terbela dengan ujudnya deraf perjanjian tersebut.


3. Namun deraf saya tersebut mesti melalui satu lagi proses iaitu dibentangkan kepada SWAM untuk mendapat maklum balas dan merangka langkah seterusnya bagi memastikan bagaimana deraf perjanjian tersebut dapat diterima pakai oleh industri.


4. Pada saya perjanjian antara penulis skrip dan penerbit tidak akan membawa sebarang makna jika pihak-pihak yang terlibat dalam industri penerbitan drama dan filem tidak di ‘paksa’ untuk menerima kandungan perjanjian tersebut.


5. Saya akan mencadangkan agar SWAM dan FINAS menganjurkan satu konvensyen yang melibatkan semua penulis skrip samaada yang berdaftar dengan SWAM atau tidak bagi mencari kesepakatan dalam memertabatkan bidang penulisan skrip dan membela nasib para penulis skrip.


6. Semuanya akan saya bentangkan semasa pertemuan penulis skrip pada 29 Mei yang akan datang ini.


7. Namun saya percaya tugas untuk ‘memaksa’ para penerbit bukan satu tugas mudah. Tapi saya juga yakin ‘kesatuan hati’ yang padu antara para penulis skrip dalam membela nasib mereka sendiri mampu melepasi cabaran itu dengan mudah dan berkesan.


8. SKRIP ADALAH MARUAH – maruah penulis dan pengkarya bila dibayar setimpal dengan karya dan kreativiti mereka, maruah pada penerbit yang dapat menghasilkan drama terbaik untuk tontonan ramai hingga mereka diberi peluang berterusan untuk terus menerbitkan drama di station yang menyiarkannya, maruah pada station tv yang menayangkan drama tersebut hingga mendapat rating dan ruang iklan yang banyak, maruah pada pengarah yang dapat mengangkat drama tersebut dengan visual dan editing yang terbaik, maruah pada para pelakun yang terlbat dalam drama tersebut hingga mereka mendapat anugerah darinya dan juga lambang maruah sesebuah bangsa.


9. Semuanya bermula dari sebuah skrip.


10. Penulis skrip harus bangkit mempertahankan harga diri dan maruah diri.

ERIC

Friday, November 13, 2009

1. Semasa menunggu untuk masuk menonton filem 2012 dipanggung wayang malam kelmarin saya telah ditegur oleh ERIC (nama glamour) pelakon kanak-kanak populor yang telah berlakun dalam puluhan drama dan beberapa buah filem. Eric ketika itu datang bersama kedua ibu-bapanya juga untuk menonton 2012 tapi saya tidak berkesempatan bertemu dengan mereka.
.
2. Eric pernah berlakun memegang watak utama dalam drama 26 episod saya 'Rakan BTHO' tiga tahun dulu. Kerana itu dia begitu mengenali saya.
.
3. "Saya nak belajar buat skrip", itulah perkataan yang pertama keluar dari mulutnya ketika dia berjabat tangan dengan saya.
.
4. Saya menggalakkannya malah mencadangkan dia menyambung pelajarannya di ASWARA. Eric kebetulan bakal menduduki peperiksaan SPM minggu depan. Kata Eric dia sudah setahun berehat dari dunia lakunan kerana mahu menumpukan perhatian pada pelajaran dan SPM yang bakal didudukinya.
.
5. "Kebanyakkan Pengarah terkenal dan popular di luar negara semuanya bermula sebagai seorang penulis skrip", kata saya pada Eric untuk memberi motivasi padanya agar dia nampak lebih jauh dalam membina masa depan kariernya.
.
6. Eric walaupun masih bersekolah tapi dia sudah nampak hala tuju kariernya. Dia nampak begitu bersemangat dan saya yakin dia akan bersungguh-sungguh mengejar cita-citanya. Orang yang selalunya kuat keyakinan diri dan nampak masa depan serta hala tuju kariernya akan mudah mencapai kejayaan. InsyaAllah.
.
7. Saya sedia membimbing dan mengajar Eric menjadi penulis skrip yang baik.
.
8. Good Luck with your SPM Eric!

PERTANDINGAN SKRIP FINAS 2008

Sunday, August 9, 2009

1. Banyak komen para penulis skrip mengenai Pertandingan Penulisan Skrip Finas 2008 yang sehingga kini seolah-olah 'berkubur tanpa nisan' yang saya baca dalam http://www. sinemamalaysia.com.my

2. Semua menyatakan tidak puas hati kenapa setelah ditangguhkan tarikh tutup penyertaannya dari September 2008 kepada Disember 2008 sehingga kini tiada keputusan siapa pemenangnya di keluarkan atau majlis di adakan untuk penyampaian hadiah tersebut.

3. Kali terakhir saya ke Finas adalah pada Mac 2009 lalu. Semasa berurusan di kaunter tingkat satu, saya masih nampak timbunan skrip yang dihantar para penulis skrip masih ada diletakkan di atas rak yang dikhaskan. Ketika saya menghantar skrip saya pada 31 Disember 2008 longgokan yang sama tinggi juga yang saya nampak. Sengaja saya hantar pada tarikh-tarikh akhir kerana saya mahu mengetahui berapa jumlah penyertaan yang FINAS terima.

4. FINAS harus bertanggungjawab mengumumkan segera pemenangnya kerana skrip yang telah siap itu sebenarnya boleh dijual oleh peulis skrip kepada mana-mana station tv.Memerapkan skrip-skrip tersebut tanpa ada perancangan atau pengumuman untuk mengistiharkan pemenangnya adalah sikap tidak bertenggungjawab dan tidak profesional FINAS.Apatah lagi antara syarat penyertaan FINAS menetapkan skrip tersebut tidak boleh di jual atau di terbitkan oleh mana-mana station tv.

5. JAKIM yang menganjurkan ANUGERAH MEDIA ISLAM NASIONAL(AMIN)walaupun telah menangguhkan tarikh penyertaan (termasuk kategori skrip) dari Disember 2008 kepada Jun 2009, telah pun membuat pengumuman resmi bahawa majlis penyampaian hadiah AMIN akan diadakan pada 24 Oktober 2009.

6. Di mana ketelusan dan profesionalisme FINAS yang selalu memperjuangkan motto 'tonggak sebuah cerita adalah dari skrip yang baik?'

7. Saya menuntut satu jawapan.

BAYARAN KEPADA PENULIS SKRIP

Saturday, June 13, 2009


1. Selalu orang bertanya pada saya berapa bayaran yang diterima oleh seorang penulis skrip jika karya mereka di beli oleh penerbit dan disiarkan di tv.


2. Agar sukar menjawabnya secara tepat kerana setiap station tv (RTM, ASTRO, MEDIA PRIMA) mempunyai skala bayaran yang berbeza pada para penerbit. Perbezaan ini juga memberi kesan kepada bayaran penerbit tv pada penulis skripnya. Ini kerana bayaran skrip dibayar oleh penerbit pada penulis skrip dan bukannya dari station tv terus kepada penulis skrip.

3. Sebagai contoh untuk drama episod setengah jam, ASTRO dan MEDIA PRIMA membayar hanya sekitar RM15,000 per episod. Ini berbeza dengan RTM yang membayar drama episod setengah jam antara RM22,000 ke RM25,000. Sebab itulah para penerbit tv lebih suka menerbitkan drama mereka di RTM kerana profit margine mereka lebih tinggi. Apatah lagi RTM is a very good pay master jika di bandingkan dengan station tv lain di Malaysia.


4. Untuk sebuah telemovie (90 minit) pula, RTM membayar antara RM100,000 ke RM112,000. Ini berbeza dengan Astro dan Media Prima yang membayar harga sebuah telemovie hanya antara RM80,000-RM85,000 sahaja. Kos untuk pembikinan sebuah telemovie yang baik, dengan pelakun kelas A, biasanya adalah dalam anggaran RM75,000 ke RM80,000. Jika pihak penerbit menjual drama mereka pada RTM tentulah profit margin mereka adalah antara RM30,000 hingga RM42,000. Ini cukup lumayan apatah lagi jika para penerbit di RTM dapat menjual antara 4-8 telemovie setahun kepada RTM. Ini belum lagi masuk drama episod (13 episod, 26 episod, 40 episod dan rancanagan berbentuk majalah yang selalunya dibuat dalam 13 epiosd semusim).


5. Saya pernah terjumpa dengan seorang producer semasa sessi pitching di RTM baru-baru ini yang mendakwa satu proposal telenya telah pun di terima oleh sebuah station tv di luar RTM. Tapi dia bawa proposal yang sama ke sessi pitching di RTM kerana katanya kalau proposalnya itu di terima RTM bayarannya lebih lumayan.


6. Namun sebagai panduan, lapuran akhbar METRO hari ini (13.Jun 2009) ada menyebut pihak SWAM (SCREENWRITERS ASSOCIATION OF MALAYSIA) telah mempunyai skala yang patut di bayar oleh para penerbit pada penulis skrip iaitu :

a. Untuk telemovie (90minit) bayaran adalah sebanyak RM5000/

b. Untuk program 1 jam bayaran adalah sebanyak RM2500/

c. Untuk program setengah jam bayaran adalah sebanyak RM1000/

d. Untuk program 15 minit bayaran adalah sebanyak RM500/


7. Saya menyokong penuh usaha SWAM menentukan skala bayaran untuk penulis skrip ini dan berharap sangat agar semua pihak dalam industri terutamanya para penerbit dapat mematuhi skala yang telah di tetapkan ini.


8. Para penerbit tidak akan rugi mengikut skala ini kerana bayaran yang di terima oleh mereka terutamanya dari RTM adalah cukup tinggi dan lumayan.


9. Namun saya percaya jika para penerbit boleh dikategorikan oleh RTM sebagai A atau B atau C mengikut saiz syarikat, kemampuan kewangan, track record terdahulu yang baik, award yang telah di menangi dan keupayaan menepati tx station tv, MAKA para penulis skrip juga perlu di kategorikan ikut kelas A, B dan C ikut kelayakan dan kemampuan masing-masing. Tak adil jika yang lama dan berpengalaman juga menerima skala yang sama dengan penulis skrip yang masih baru.


10. Hakikatnya tak semua para penerbit drama akan mengikuti skala SWAM itu. Apatah lagi tidak ada undang-undang atau rules and regulations yang boleh memaksa mereka mengikut skala itu. Semua mereka mempunyai alasan mereka masing-masing untuk tidak mematuhinya. Dan para penulis skrip juga tidak punya banyak pilihan.


11. Oleh itu eloklah SWAM, Persatuan Penerbit TV (PPTV) dan RTM bertemu dan berbincang untuk menyelaraskan perkara ini demi kebaikan masa depan industri. Karya yang baik selalunya datang dari skrip yang baik. Skrip yang baik juga datang dari penulis skrip yang terbela kehidupan keluarga mereka.


12. Saya hanya menyebut RTM di sini kerana saya percaya RTM punyai mechanisme dan kewangan yang lebih baik untuk membela nasib para penulis skrip di Malaysia.


13. Dalam dunia realitinya para penulis skrip dibayar jauh lebih murah dari skala yang di cadangkan oleh SWAM. Apa pun terima kasih pada SWAM kerana telah berusaha menyediakan skala ini sebagai garis panduan kepada semua penulis skrip dan para penerbit. Sekurang-kurangnya para penulis skrip sudah ada panduan atau benchmark untuk meletakkan harga karya dan skrip mereka pada para penerbit.


14. Para penerbit hakikatnya tak rugi. Apatah lagi jika mereka berjaya mendapat skrip yang baik dari penukis skrip yang kreatif, berpengalaman dan pandai menjaga costing dalam membuat skrip.