FILEM ISLAM DI MALAYSIA - FANTASI ATAU REALITI

Thursday, July 28, 2011

Bersama Amin Idris (kiri), Tuan Haji Abu Hasan Morad dan Maizura Ederis.


  • Program bual bicara secara LIVE di TV al Hijrah ini sepatutnya melibatkan beberapa Penerbit Filem terkemuka tanahair. Namun kerana kesemua mereka menyatakan tidak bersedia untuk turut serta maka Tuan Haji Abu Hassan Morad (Penulis Skrip/Penerbit Drama) dan Maizura Ederis (Penulis Skrip) dipanggil sebagai ganti. Tajuk asal perbincangan Pemikiran Dalam Filem juga telah ditukar kepada Filem Islam Di Malaysia Antara Fantasi dan Realiti.
  • Saya telah ditanya oleh Pengacarnya Amin Idris mengenai sejauh mana fenomena filem Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih di Indonesia memberi kesan atau impak kepada minat para penerbit filem di Malaysia untuk menerbitkan filem bergenre islami selepas itu. Saya akui begitu berharap selepas fenomena kedua filem tersebut, akan berlaku satu anjakan paradigma pada para penerbit di Malaysia untuk mencuba dan meneroka genre filem islam di Malaysia. Namun ternyata ianya tidak berlaku. Penerbit kita sejak lebih 10 tahun yang lalu masih terus kemaruk dengan cerita-cerita hantu yang penuh dengan elemen kurafat dan lawak slapstik yang tidak menjadikan khalayak penontonnya lebih cerdik atau berjiwa besar dari sebelumnya.
  • Kejayaan filem Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih sebenarnya adalah hasil dari perjuangan para pengkarya genre islami di Indonesia sejak 40 tahun dulu di mana ianya telah dimulai dengan penerbitan filem Di Bawah Lindungan Kaabah (1978).Filem arahan Asrul Sani ini adalah adaptasi dari novel agung Prof Hamka.
Prof Hamka
Asrul Sani
  • Banyak filem-filem genre Islami diterbitkan selepas itu dan kebanyakkannya adalah merupakan adaptasi novel. Tema cinta dan perjuangan wali Songo paling banyak diterbitkan. Namun pada tahun hujung 80an industri filem Indonesia mengalami kejatuhan mendadak akibat dari kemasukan terlalu banyak filem-filem barat dan Hong Kong. Sebagai perbandingan pada 1990 Indonesia menghasilkan 115 jodol filem tapi pada 1993 jumlah itu jatuh kepada hanya 37 judul filem sahaja. Dan jumlah itu terus merosot.
  • Namun kebangkitan semula filem indonesia berlaku semula apabila terbitnya filem Ada Apa Dengan Cinta (2002) yang meletup dipasaran.Kejayaan filem ini mendapat box office memberi semangat baru pada industri filem di Indonesia untuk menghasilkan filem bertemakan cinta remaja. Dan usaha mereka ini berjaya bila filem-filem bertemakan cinta remaja dengan bersandarkan artis popular saperti Dian Sastrowidoyo, Archa Septriasa, Nicholas Sasputra dll meletup di pasaran.
 


  • Para penerbit genre islami Indonesia juga tidak ketinggalan untuk mengambil kesempatan pada kebangkitan semula  itu. Filem Ayat-Ayat Cinta (2008) yang di adaptasi dari novel popular Habiburrahman berjaya menawan hati penonton.Begitu juga dengan filem kedua Ketika Cinta Bertasbih (2009) juga dari adaptasi novel Habiburahman terus mendapat sambutan box office dan menjadi fenomena di Indonesia.


  • Di celah-celah dua jodol filem islami tersebut, juga ada banyak lagi filem genre islami dan dakwah yang muncul selepas kebangkitan baru yang dimulakan oleh filem Ada Apa Dengan Cinta itu. Antaranya ialah Sang Murabi, Sang Pencerah, Mengaku Rasul, Perempuan Berkalong Sorban, Kiamat Sudah dekat, Laskar Pelangi, Syahadat Cinta dan 3 Doa 3 Cinta.







  • Kebangkitan filem genre islami dan dakwah di Indonesia adalah hasil dari benih yang telah mereka tanam dan bajai sejak 40 tahun dahulu. Mereka kini sedang menikmati buah dari hasilnya. Sepanjang tempoh 40 tahun itu sudah tentu ada jatuh bangun serta jaya dan gagalnya usaha mereka. Tetapi pengkarya islami di Indonesia tidak pernah berputus asa untuk mencari formula yang terbaik dalam menghasilkan filem genre Islami dan dakwah yang terbaik.
  • Mampukah kita hari ini di Malaysia menghasilkan filem genre Islam saperti di Indonesia?
  • Walaupun mungkin ada yang menyebut filem Melayu Sumpah Semerah Padi (1956)  dan Syukur 21 (2000) adalah filem genre islam Malaysia namun kita sebenarnya masih ketinggalan jauh di belakang Indonesia. 

  • Menghasilkan sebuah filem Islami juga harus dilihat dari sudut content dan pengisian mesejnya juga. Filem Islami adalah filem yang menjadikan islam itu sebagai teras cerita atau mesejnya bukan ditempel-tempel dalam penceritaannya semata.
  • Kita memerlukan para pengkarya terutamanya dari kalangan penulis skrip yang mempunyai fikrah untuk menerajui penerokaan dan penerbitan filem genre islami ini saperti mana Indonesia mempunyai penulis skrip berwibawa saperti Habiburrahman.
  • Kita harus mulakan dari sekarang agar hasilnya nanti boleh dinikmati mungkin 30 atau 40 tahun akan datang.
  • Jika kita gagal merangka blue print dari sekarang maka saya berani menyatakan bahawa penerbitan dan penghasilan  filem genre islam di Malaysia buat masa ini masih sebuah fantasi dan jauh dari realiti.

Comments

5 Responses to “FILEM ISLAM DI MALAYSIA - FANTASI ATAU REALITI”
Post a Comment | Post Comments (Atom)

reza al-razi said...

Penghasilan drama & filem2 Islam di Malaysia sudah mulai nampak.. Namun, ia tidak betul2 islamic kerana masih ada lagi unsur2 maksiat di dalamnya seperti berpegangan tangan dgn yg bukan muhrim dan adegan2 yg x sepatutnya dilakonkan.. Pengarah & penulis skrip juga tidak melakukan research yg secukupnya. Mereka juga bukanlah dari golongan yg benar2 faham agama. Hasilnya lahirlah drama & filem Islam yg jelas kelihatan kepincangannya.. sekadar pandangan.. :-)

August 1, 2011 at 9:59 AM

Terima kasih atas ulasan. Setuju mulakan dari sekarang...

August 2, 2011 at 6:02 PM
Anonymous said...

bagus la kamu komen, indonesia dah tunjuk belang sikit... sama je cerita indonesia yang dulu, slaptik dan panjang berjela... segala2 untuk islam, jangan salah fakta atau putar alam sudah... lu pro-industri indonesia ke....

August 7, 2011 at 12:44 AM
ikhlaskahaku? said...

betul tu. kita perlukan orang yang betul2 mengamalkan islam dalam membuat skrip.kalau ade yang main buat sahaja, research tak cukup dan tak pernah menjalani kehidupan sebagai seorang yang taat, mungkin tak jadi. sebab terlalu banyak kontroversi yang akan ditimbulkan

August 24, 2011 at 4:16 AM
Nadiah Azli said...

setuju sangat dengan ikhlaskahaku.

rasa pelik sangat kalau tengok cerita yg nak tegakkan islam, tapi terlalu banyak khilaf. mmg kelemahan itu dari manusia itu sendiri. dan kita juga punya tanggungjawab untuk menegur.

September 27, 2011 at 12:59 PM