
AKHIL HAYY -vs- MAIZAWATI
Wednesday, July 15, 2009

PERSATUAN KEBAJIKAN ARTIS VETEREN
Tuesday, July 14, 2009

FITRAH WANITA DI RTM

3. Sebelum ini drama saya FITRAH LELAKI (telemovie) pernah diterbitkan oleh Time Air Services (TAS) untuk tayangan di RTM2. Kenapa kali ini FITRAH WANITA pula?
4. Saya kerap menonton DESPERATE HOUSEWIFE di Astro dan pernah membaca dua buku yang menyentuh persoalan mengenai kaum wanita iaitu WHAT A WOMEN WANT MEN TO KNOW tulisan Barbara De Angelis PhD dan MENS ARE FROM VENUS AND WOMEN ARE FROM MARS tulisan John Gray.


CHE LI -V- JS PRODUCTION
Monday, July 13, 2009

1. Untuk entry ini saya tidak berniat untuk menyokong atau tidak menyokong mana-mana pihak samaada Che Li atau JS Pictures milik pasangan suami isteri Jinggo dan Sheila Rusly. Saya juga tdak berminat untuk mencungkil siapa yang benar dan siapa yang salah. Kesemua mereka adalah orang tersohor belaka. Che Li pernah memenangi Anugerah Penulis Skrip Terbaik dalam Anugerah Skrin TV3 melalui drama Ijtihad dan Jinggo juga adalah pemenang dalam anugerah yang sama sebagai Pengarah Terbaik dalam telemovie yang sama. Begitu juga dengan Sheila Rusly juga pernah memenangi beberapa anugerah dalam industri.
AKU, TAN SRI PROF AHMAD IBRAHIM DAN NATRAH
Friday, July 10, 2009


1. Semasa dalam tingkatan enam di High School Muar, Johor pada 1980, saya pernah membaca buku tentang Natrah (Maria Hertough) berjudul THE NADRA TRAGEDY, THE MARIA HERTOUGH CONTREVERSY tulisan Haja Maideen. Seronok dan teruja membacanya kerana kisah perjalanan hidup Maria ibarat kisah kehidupan sebuah roller coster yang bergerak laju berputar dalam beberapa pusingan tragedi kehidupan seorang remaja 13 tahun yang terpaksa menempuh ujian keyakinan dalam mempertahankan harga sebuah iman dalam usia yang begitu muda dan naive.

2. Semasa melanjutkan pelajaran ke Fakulti Undang-undang di Universiti Malaya, pada 1982, Dekan saya ketika itu Allahyarham Tan Sri Prof Ahmad Ibrahim yang juga menjadi tutor saya dalam subjek Islamic Law pernah menceritakan pada saya mengenai kisah Maria atau nama Islamnya Natrah ini. Kebetulan dia adalah peguambela kepada Natrah di Singapura ketika itu. Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim bercerita dalam nada kesal sambil kelopak matanya berkaca kerana menahan airmatanya dari mengalir keluar. Saya dapat rasakan dia begitu kesal kerana tidak dapat menyelamatkan Natrah. Masih basah dalam fikiran saya apa yang sempat diluahkan oleh Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim pada saya ketika itu. “Kita sepatutnya membawa lari Natrah sebelum keputusan mahkamah lagi demi menyelamatkan iman dan aqidah Natra. Keputusan mahkamah itu sudah kita jangka sejak awal lagi. Mahkamah yang dicorak oleh British bukan tempatnya untuk kes seperti Natrah”
3. Kata Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim lagi, sejurus sahaja selepas keputusan mahkamah diumumkan, Natrah dalam keadaan yang meraung-raung telah diseludup keluar dan dibawa lari melalui pintu belakang mahkamah oleh beberapa pegawai polis berbangsa Inggeris. Natrah kemudiannya telah dibawa ke sebuah gereja untuk di Khatolikkan semula. Akhbar New Straits Times keesokkannya telah mengeluarkan gambar Natrah dalam keadaan melutut di depan patung Virgin Mary. Gambar yang sengaja disiarkan berulang kali ini akhirnya telah menaikkan kemarahan umat Melayu Islam di Singapura yang telah membawa kepada rusuhan berdarah pada 12 Disember 1950.
4. Natrah kemudian dengan bantuan Persatuan Gereja Kristian Sedunia telah diterbangkan ke Belanda dan telah disambut sebagai wira oleh seluruh penduduk Belanda ketika itu. Kerajaan Belanda sendiri telah memberikan kawalan keselamatan khas kepada Natrah dan keluarganya. Kisah Natrah dan rusuhan berdarah di Singapura mendapat liputan meluas di seluruh Eropah terutamanya di Belanda dan di England.
5. Kerana cerita first hand dari Allahyarham Tan Sri Prof Ahmad Ibrahim itu, kisah Natrah ini begitu dekat dengan hati saya. Apatah lagi semalam saya mendengar dari siaran berita Bernama di tv, Natrah telah meninggal dunia akibat sakit lukemia pada umur 72 tahun di rumahnya di Hjjberhan, Belanda.
Natrah bersama ibu kandungnya (sebelah kiri)
6. Namun ketika bertugas sebagai Majistrate di Kelantan pada 1989 tulisan Fatini Yaakob (kini Datin dan karyawan tamu di UTM) yang telah mencari dan berjumpa dengan Natrah tapi kemudian didapati telah dipaksa kembali kepada agama Khatolik cukup menyentap hati saya. Kesal dan kecewa tidak terkata apatah lagi Datin Fatini Yaakob menemui Natrah ketika itu dalam kehidupan yang penuh daif lagi miskin melarat. Malah Natrah pernah dipenjarakan kerana tuduhan cuba membunuh suami Belandanya.
7. Remaja hari ini atau pada perkiraan saya, mereka yang berumur kurang dari 40 tahun kebanyakkannya mungkin tidak pernah mendengar kisah Natrah ini. Para remaja kini bukan saja malas baca sejarah tapi ramai yang buta sejarah.
8. Kisah Natrah tulisan Datin Fatini Yaakob dalam majalah Dewan Masyarakat patut dibukukan agar para remaja dan jenerasi hari ini dapat membaca, melihat dan menginsafi betapa sensitifnya masyarakat melayu dahulu dengan islam dan bagaimana mereka sanggup melakukan demonstrasi demi menyelamatkan aqidah Natrah hingga 18 orang dari mereka turut terkorban dan ratusan lagi cedera parah akibat bertempur dengan polis.
Gambar rusuhan di luar perkarangan mahkamah tinggi di Singapura

9. Kisah Natrah kalau ada pun dalam bentuk buku atau penulisan pernah diterbitkan dalam bentuk novel seperti Tragedi Nadra (Haja Maideen), Mortal Flower (Han Suyin), Voices Of Asia (James Michener) dan A Salute To Singapore, Snouk Hugronje, Bertha Hertough or Nadra Maarof.
10. Namun yang paling terkenal adalah traveloque penyelidikan dan penulisan bekas wartawan Dewan Masyarakat (kini Karyawan Tamu UTM), Datin Fatini Yaacob yang disiarkan dalam beberapa siri di Majalah DEWAN MASYARAKAT terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) yang mengkaji kisah berkenaan sehingga membawanya bertemu dengan Natrah di Belanda adalah yang paling lengkap dan boleh dipertanggungjawabkan pengkisahan dan rentetan fakta sejarahnya.
11. Bekas Pengerusi Utusan Malaysia Tan Sri Kamarul Ariffin pernah menerbitkan filem Jasmin 1 (1984) dan Jasmin 2 (1986), filem yang berdasarkan kisah sebenar Natrah ini tetapi masih tidak berani memaparkan fakta sebenar mengenai penentangan masyarakat melayu islam di Singapura terhadap dakyah paderi kristian di Singapura. Ini mungkin kerana terpaksa menjaga sensitiviti beragama masyarakat pelbagai kaum ketika itu. Akhirnya filem itu hanya menjadi kisah cinta komersial sahaja. Nilai dakwah dan tarbiahnya tidak ada. Tidak ada unsur untuk mengangkat kecintaan orang melayu keatas amalan agamanya.
12. Kini khabarnya seorang Pengarah filem terkenal di Belanda, Ben Sombogart dilaporkan akan menerbitkan sebuah filem mengenai tragedi Natrah ini pada tahun 2010. Namun siapa Ben Sombogart yang terkenal dengan filem The Sisters ini amat saya ragui dan pertikaikan. Seorang ahli Parlimen Belanda Geert Wilders pernah menimbulkan kontoversi bila telah membuat filem FITNA yang sengaja menghina Rasulullah SAW. Saya amat bimbang dan meragui niat dan keikhlasan Ben Sombogart untuk mengangkat kisah Natrah ini kerana tentunya dia akan mengangkat cerita ini dari Point Of View (P.O.V) seorang khatolik juga. seperti Geert Wilders.
Ben Somborgart


13. Maka kita umat islam di Malaysia perlu mendahului usaha dalam mengangkat kisah tragedi iman Natrah ini dari P.O.V seorang muslim yang sensitif dengan agamanya. Saya cadangkan ianya dibuat dari P.O.V seorang penulis dan wartawan muslim seperti Datin Fatini Yaacob.
14. Umat Melayu Islam di Malaysia kini sudah tidak sensitif lagi bila politician dari masyarakat bukan islam di Malaysia sendiri memperkotak-katik dan merendah-rendahkan autoriti, kemuliaan dan keagungan agama mereka. Pengkisahan semula tragedi Natrah ini dalam bentuk buku, dokumentari, drama atau filem perlu untuk menyuntik semangat jihad umat melayu islam agar lebih sensitif dengan agama mereka. Ini satu jihad juga pada saya. Lebih baik dari hanya memapar dan memperjuangkan genre thriller atau hantu semata. Kisah Natrah juga adalah kisah cinta Natrah dan Mansor Adabi (meninggal dunia pada 15 Oktober 1988, di Singapura) yang punya nilai komersialnya yang tersendiri.
Mansor Adabi di sebelah kiri gambar.
16. Sila serve http://ms.wikipedia.org/wiki/Rusuhan_Natrah - untuk maklumat lanjut
BERDUA LEBIH BAIK
Tuesday, July 7, 2009
1. Saya tiba di Masjidil Haram dari Madinah untuk menunaikan ibadah umrah diluar cuti penggal persekolahan di Malaysia (Jun). Jarang dapat di temui orang Malaysia pada waktu ini. Tapi di timur tengah dan Asia Barat termasuk di Iran dan Turki, cuti persekolahan musim panas mereka baru sahaja bermula (Julai). Kerana itu, yang kelihatan ramai mengerjakan ibadah tawaf di keliling Kaabah adalah warga arab, Iran dan Turki.
2. Cuaca pada waktu siang di Mekah ketika ini adalah antara 42C-45C berbeza dengan di Malaysia pada waktu yang sama antara 32C-34C. Saya yang tidak tahan dengan bahang panas hanya akan mengerjakan ibadah tawaf sunat pada waktu sebelum atau selepas subuh ataupun antara maghrib dan isyak. Waktu tengaharinya saya hanya akan berdiri di tangga Masjidil Haram yang menghadap ke Mekah dengan memakai cermin mata hitam. Saya suka memerhatikan sahaja kesungguhan bangsa Arab, Turki dan Iran bertawaf keliling Kaabah di tengah terik panahan cahaya matahari tepat di atas kepala.
3. Melihat mereka berbondong-bondong mengerjakan tawaf tanpa menghiraukan terik panas matahari pada kadar 42C ketika itu, teringat saya kepada sebuah buku bertajuk LEAP OF FAITH, MEMOIRS OF UNEXPECTED LIFE yang ditulis oleh Queen Alia isteri kepada Allahyarham King Hussein Of Jordan yang pernah saya baca beberapa tahun dahulu.

4. Buku itu telah saya temui ketika ke KINOKUNIYA sebuah kedai buku terkemuka di KLCC. Melihat cover bukunya yang memaparkan wajah Queen Alia yang cantik, anggun lagi elegant itu, hati saya terus terdetik, “She must have something to share with the world”. Saya membelinya kerana menyangka ianya pasti sebuah buku yang akan menceritakan kisah cinta dan perkahwinan Queen Alia dengan King Hussein.
5. Saya memang suka membaca buku-buku mengenai pergolakkan politik Asia Barat dan Timur Tengah. Kisah percintaaan dan perkahwinan Queen Alia dengan King Hussein Jordan adalah antara kisah yang sering saya ikuti perkembangannya. Sering saya bertanya-tanya kenapa dan bagaimana King Hussein yang diikhtiraf sebagai berketurunan Nabi itu boleh berkahwin dengan Queen Alia? Queen Alia adalah seorang wartawan yang berasal dari Amerika Syarikat dan ayahnya seorang jutawan aviation berketurunan Kristian berasal dari Palestin.Queen Alai memeluk Islam beberapa hari sebelum mengahwini King Hussein. Kerana inginkan jawapannya saya membeli buku yang setebal hampir 400 mukasurat itu.
6. Tanggapan awal saya silap. Ini bukan buku kisah cinta tapi lebih banyak menceritakan sejarah dan asal usul jatuh bangun pergolakan politik moden negara-negara Asia Barat dan Timur Tengah.
7. Kisah sikap ‘gedebe’ kumpulan PLO pimpinan Yasser Arafat, kisah bagaimana CIA dan Mossad mencatur politik Iran melalui Shah Iran, Kisah Saddam Hussein, kisah King Fahd Saudi, Kisah raja-raja di negara-negara Arab yang takut dan tunduk pada kuasa imperialisme Amerika, kisah Khomeini, kisah pembunuhan Anwar Sadat, kisah Ikhwanul Muslimin, kisah perang teluk, kisah hubungan baik King Hussein dengan Sultan Hasannah Bolkiah Brunei, kisah Israel, kisah sukarnya menyatu padukan bangsa arab, kisah orang Palestin dan Labenon, kisah kuasa minyak, kisah perang Arab-Israel, kisah Baitul Maqdis – semuanya diceritakan secara detail dan factual oleh Queen Alia. Pokoknya, bangsa Arab hanya boleh disatukan ketika mereka tawaf di Kaabah tapi di luar tanah haram mereka akan berkelahi dan bergaduh semula. Hati mereka sentiasa panas seperti mana panasnya cuaca di bumi mereka yang tandus dan dikelilingi padang pasir.
8. Membaca LEAP OF FAITH, THE MEMOIRS OF THE UNEXPECTED LIFE, seolah-olah kita telah membaca hampir kesemua atau ratusan buku-buku yang berkaitan dengan Asia Barat dan Timur Tengah.Saya telah membaca buku ini berulang kali untuk menghayati sejarah bangsa Arab pasca zaman moden.. Kesimpulannya, keluh saya. “Memang patutlah para nabi dan para Rasul, Allah pilih dari kalangan orang Arab dan munculkan dibumi Arab”
9. Queen Alia menceritakan semua kisah itu sambil diselit-selitkan kisah peribadinya mengenai saat perkenalan, percintaan, lamaran, perkahwinan dan pembinaan rumahntangganya dengan King Hussein. Ini menjadikan buku ini tidak jemu untuk dibaca.
10. Namun Queen Alia begitu bijak menyimpulkan kisah cintanya dengan King Hussein apabila di akhir bab dia menceritakan bagaimana sejak berkahwin dengan King Hussein setiap tahun dia akan dibawa suaminya ke Kaabah untuk menunaikan ibadah umrah. Tapi setelah suaminya meninggal dunia dia terpaksa pergi menunaikan ibadah umrah tanpa di temani suami. Ketika tawaf itulah dia dapat merasakan ‘kehilangan’ cinta suaminya dan keagungan cinta Allah bila mengadap Kaabah. Saya tersentuh membacanya.
11. Saya pernah mengerjakan umrah seorang diri pada 2006 yang lalu dan kini pada 2009 dengan izin Allah saya datang semula untuk menziarahi maqam Rasulullah S.A.W di Madinah dan menunaikan ibadah umrah di Kaabah. Saya dapat rasakan ‘kehilangan’ yang dimaksudkan oleh Queen Alia dalam bab akhirnya bukunya itu. Pada saya, ziarah maqam Rasulullah dan menunaikan ibadah umrah adalah BERDUA LEBIH BAIK. Boleh sama-sama membantu dalam muhasabah diri dan merencana iltizam baru dalam membina hidup mendatang yang lebih kuat berpegang pada syariat Islam dan mengikut atau mengamalkan Sunnah Nabi.
12. Perpustakaan Negara Malaysia di Kuala Lumpur pernah pada tahun 2005 menjemput saya berceramah dalam program “MY FAVOURITE BOOK” dan saya telah mengambil buku Queen Alia ini untuk dipersembahkan dalam program tersebut. Ramai yang hadir antaranya pelajar IPTA, pelajar sekolah menengah dan kakitangan Perpustakaan Negara sendiri. Di akhir program pemenang kuiz dari soalan yang saya buat berdasarkan isi kandungan buku itu, buku itu telah saya hadiahkan pada seorang pelajar undang-undang UIA NorAzla Abdul Wahab yang kini adalah seorang peguam di Seremban.
13. Moga Allah rezekikan saya untuk mengerjakan haji bersama isteri dalam masa yang terdekat ini.Amin.
KERJASAMA FELDA DAN OASIS
Sunday, July 5, 2009
1. Setiap kali saya berjalan ulang alik dari hotel penginapan ke Masjidilharam, saya kerap terpandang satu papan iklan Restaurant fD’Saji (Felda D’Saji) milik Felda Global Ventures Arabia Ltd yang di letakkan di kaki lima Safwa Tower sebuah pusat perniagaan baru yang terletak hanya 20 meter dari perkarangan Masjidilharam. Pernah saya terbaca dalam akhbar di Malaysia sebelum ini tentang usaha Felda mengujudkan restaurant ini dan kemudian selang beberapa bulan kemudian saya juga terbaca di akhbar restaurant itu telah di tutup. Saya tertanya-tanya kenapa sekejap buka dan sekejap tutup? Mana yang betul, buka atau tutup? Kerana sikap ingin tahu saya masuk ke Safwa Tower untuk mencari lokasi restaurant tersebut.
2. Saya menemui restaurant tersebut di tingkat dua. Keadaan agak lengang ketika saya tiba. Saya mengambil berkesempatan minum teh tarik sambil mencari-cari siapa di kalangan pekerjanya yang boleh diajak berbual. Melihat pekerjanya bercakap dalam bahasa melayu saya yakin mereka semua datang dari Malaysia, bukan pekerja Bangladesh atau Indonesia seperti mana biasa yang kita temui di Mekah. Hanya terdapat satu meja sahaja yang diduduki satu keluarga melayu dari Malaysia yang datang singgah setelah membeli belah. Saya sempat bertemu salah seorang Chef di situ.
3. Mengetahui saya adalah Script Editor di Astro, Chef fD’ Saji itu memanggil Managernya Saudara Syed Fadhil untuk di temukan dengan saya. Syed Fadhil Syed Sofi memberitahu saya restaurant tersebut baru sahaja 2 minggu dibuka semula setelah terpaksa ditutup selama 6 bulan sebelum itu akibat dari kerenah biroksrasi pihak berkuasa tempatan di Arab Saudi. Restaurant tersebut telah diarah tutup oleh pihak berkuasa Arab Saudi kerana didakwa beroperasi tanpa permit. Semua staff terpaksa pulang semula ke tanahair.
4. Kebetulan fD’Saji dibuka semula ketika musim cuti sekolah di Malaysia di mana mengikut statistik 38 ribu warga Malaysia mengerjakan umrah pada ketika itu (Jun 2009). Syed Fadhil mengakui fD’Saji menerima ramai pengunjung Malaysia yang mengerjakan umrah ketika itu. Tapi dia akui fD’Saji agak lengang apabila tamat musim cuti sekolah. Syed Fadhil yang berpandang jauh dan bersifat entrepruner agak risau jika fD’Saji terlalu mengharapkan pelanggan hanya pada musim cuti sekolah sahaja.
5. Kami banyak berbincang tentang isu kaedah dan cara mempromosi jenama fD’Saji dan dalam kesempatan itu saya melontarkan padanya bagaimana medium drama boleh dijadikan product placement dalam usaha promosi. Dia nyata tertarik mendengar cadangan saya itu.
6. Secara bergurau saya katakan padanya saya sudah mempunyai story-line tentang kisah seorang tukang masak di sebuah Felda di Malaysia yang dihantar bekerja di Mekah sebagai pembantu Chef di restaurant fD’Saji. Syed Fadhil tertarik dengan story-line itu. Kami sepakat untuk membawa perkara ini ke pihak atasan masing-masing. Tapi saya katakan padanya, Felda patut sponsor keseluruhan kos penerbitan sebuah drama di OASIS. Saya percaya dengan sponsor keseluruhan kos produksi, sebuah drama yang menjadikan restaurant dan kisah chef di fD’Saji boleh membantu mempromosi fD’Saji apatah lagi OASIS kerap mengulang tayang drama terbitannya.
7. Kalau Felda sanggup membelanjakan hampir RM1.5 juta untuk membuka sebuah restaurant yang diharap dapat menjadi kebanggaan jenerasi Felda tentulah jumlah kos produksi sebuah drama (lokasi di mekah, Madinah dan Jeddah) sebanyak RM165,000.00 boleh dianggap kecil untuk menyelamatkan maruah jenerasi Felda. fD’Saji sudah tidak mampu untuk ditutup untuk kali kedua. fD’Saji adalah maruah dan lambang kebangkitan anak-anak Felda. PM, Datuk Seri Najib Tun Razak yang begitu mengambil berat tentang hal ehwal komuniti Felda juga tentu mahu fD’Saji menjadi contoh dan lambang kebanggaan komuniti Felda. Saya percaya Felda mempunyai kekuatan kewangan apatah lagi kos RM165,000.00 untuk sebuah telemovie adalah kecil untuk maksud dan tujuan promosi. Demi maruah Felda, RM165,000.00 juga bukanlah satu jumlah yang besar.
8. Dengan usahasama dan synergy antara ibu pejabat Felda di Kuala Lumpur, Resataurant fD’Saji di Mekah, Felda Travel & Tours, anak syarikat Felda yang menguruskan urusan Haji dan Umrah dan OASIS, saya percaya penerbitan sebuah drama dengan menjadikan Mekah dan Restaurant fD’Saji sebagai latar boleh direalisasikan.Apatah lagi saya, Haji Abu Hassan Murad (Anugerah Media Network) dan Erma Fatimah pernah melakukkannya dahulu melalui drama Mencari Nur Khadijah
9. Saya akan bawa perkara ini kepada Big Boss OASIS, Haji Izelan.
