Showing posts with label Maria Hertough atau Natrah. Show all posts
Showing posts with label Maria Hertough atau Natrah. Show all posts

ANTARA TEATER DAN BUKU

Tuesday, November 23, 2010


SAYA ADALAH SEORANG PEMINAT TEATER. NAMUN KHUSUS MENGENAI KONFLIK ANTARA DATIN FATINI YAACOB DAN EIRMA FATIMA BERKAIT ISU PEMENTASAN 'TEATER NATRAH MUSIM KE 2' SAYA MEMILIH UNTUK 'MEMBACA' DAN BUKANNYA 'MENONTON' SEJARAH DAN IKHTIBAR YANG BOLEH KITA AMBIL DARI TRAGEDI NATRAH.

TEGURAN DATIN FATINI YAAKUB TERHADAP ERMA FATIMA

Sunday, December 20, 2009


1. Teguran dan kekesalan Datin Fatini Yaakub sepertimana disiarkan dalam akhbar BERITA MINGGU hari ini 20 Dis pada Erma Fatima terhadap penghasilan teater NATRAH patut diambil ikhtibar oleh semua pihak.
.
2. Saya menyokong penuh tulisan Datin Fatini Yaakub itu namun tidak adil pula bagi saya memberi komen ke atas Erma Fatima dan naskah NATRAH di pentas teaternya kerana saya sendiri tidak berkesempatan menonton Natrah walaupun pada awalnya saya bercadang berbuat begitu.


3. Bagi mengelak perkara yang sama berulang saya mencadangkan para pengkarya yang mahu mengangkat sesebuah naskah sejarah samaada dalam filem, teater atau drama, yang ada kaitan dengan islam dan penganutnya lebih-lebih lagi jika ianya berdasarkan dari sebuah kisah benar patut atau 'wajib' mempunyai pakar rujuk baik dalam bidang sejarah mahupun dalam bidang agama.


4. Erma Fatima tentu mempunyai pegangan hidup dan nilai yang berakar umbi dari pengalaman hidup, persekitaran rakan taulan dan latar belakang pendidikannya. Dia tentunya melihat sesuatu naskah sejarah dari sudut atau sisi yang sesuai dengan nilai yang dipegang dan diyakininya. Nilai ini belum tentu tepat dengan nilai agama yang difahaminya. Sebab itu kita perlukan pakar rujuk sebagai medium check & balance kepada persoalan nilai ini. Mementaskan sebuah naskah unsur keagamaan seperti Natrah ini tidak boleh dibuat secara semborono atau trial & error. Jika tidak Natrah mungkin dilihat sesetengah pihak bukan 'dakwah' tapi 'dakyah' yang memenangkan Kristianiti ke atas Natrah. Natrah seharusnya menaikkan moral dan semangat umat melayu untuk mempertahankan islam mereka bukannya membuat penonton tertanya-tanya apa yang sebenarnya dilihat oleh Erma Fatima dalam naskah Natrah ini.
.
5. Sebahagian petikan daripada teguran Datin Fatini Yaakub tersebut adalah seperti berikut :
  • Fakta sebenarnya, kita tidak kalah dalam Natrah! Kita tentang dengan berani kebiadapan penjajah pada masa itu, walaupun hanya dengan galah dan kayu. Kita berjaya melumpuhkan jentera pentadbiran Inggeris - sebuah kuasa besar penjajah zaman itu hingga terpaksa diisytiharkan darurat selama tiga hari tiga malam. Keberanian kita mengejutkan seluruh dunia! Mesej kemenangan moral ini berjaya kita hantar ke seluruh dunia dan memberikan kesan kejutan yang sungguh hebat. Sesungguhnya demikianlah hebatnya Islam – sebuah agama yang sangat menghargai dan memelihara akidah umatnya walaupun dia hanya seorang gadis kecil berusia 13 tahun.
  • Dalam penelitian saya, harga diri bangsa dan nilai cinta bangsa Melayu terhadap agamanya lebih hebat daripada kisah cinta dua individu Natrah-Mansor yang tidak kesampaian. Pada hakikatnya Allah mentakdirkan Che Aminah membuat kesilapan menikahkan mereka di Singapura sehingga akhirnya mereka bertiga terpaksa berkorban rasa.
  • Jadi pada saya, yang memegang amanah kisah sebenar Natrah, saya berharap dalam genre manapun ia hendak dipersembahkan – sama ada teater, drama bersiri televisyen atau filem, biarlah berdiri atas kisah sebenar dan semangat yang sebenar pejuang-pejuang ini. Angkatlah semangat besar ini dengan bijaksana kerana orang Melayu tidak kekurangan bahan kreatif yang boleh membangkitkan semangat membela agama dan sayangkan bangsa.
  • Untuk karya kreatif Natrah bagi saya, ada perkara yang boleh didramatikkan dan ada perkara yang tidak boleh didramatikkan. Banyak sudut boleh dipilih, banyak mesej boleh diberi, namun sekiranya kita sayangkan agama dan bangsa kita, berilah kesempatan kepada khalayak penonton mendapat pengertian ini, kerana inilah hak roh mereka yang berjuang demi agama di dalam Natrah yang kebanyakannya sudah meninggalkan kita.
  • Jadi dalam membicarakan teater hasil garapan Erma tempoh hari, saya memohon maaf kerana tidak merasakan roh semangat perjuangan Islam yang saya rakamkan di atas, sepanjang teater itu berlangsung. Saya agak kecewa kerana barangkali menaruh harapan yang tinggi terhadap Erma. Namun saya tidak salahkan Erma, kerana kisah sebenar Natrah memang memerlukan masa untuk memahaminya dan menghadamkannya sehingga berjaya menampilkan roh Islam itu. Ini satu cabaran untuk Erma dan karyawan lain juga.
  • Sekiranya Erma atau karyawan manapun jua, jujur dan mahu berusaha menghormati semangat pejuang itu, saya percaya karya kita akan dihormati dan tidak akan ada nada suara mengkritik kita atau menyakitkan hati kita. Kejujuran dalam Islam, adalah kata kunci karya kita.
  • Rasa jujur ini akan merentas langit dan bumi. Penilaian sebenarnya karya kita datang dari langit, dari pemilik agama ini, yang kemudiannya Dialah yang menghantar rasa jujur itu kembali ke bumi dan akhirnya dirasai oleh khalayak penonton. Inilah yang sebenarnya magis karya kita. Percayalah ...
  • Jadi untuk sesiapa saja yang berminat untuk membentangkan Natrah dalam genre lain selepas ini sama ada drama televisyen, filem atau mementaskan kembali teater Natrah itu, berhati-hatilah. Janganlah kita terdorong untuk mengaut keuntungan dan mencari nama sehingga menenggelamkan semangat sebenar khazanah perjuangan orang Melayu yang tidak ternilai harganya di dalam Natrah.

AKU, TAN SRI PROF AHMAD IBRAHIM DAN NATRAH

Friday, July 10, 2009


1. Semasa dalam tingkatan enam di High School Muar, Johor pada 1980, saya pernah membaca buku tentang Natrah (Maria Hertough) berjudul THE NADRA TRAGEDY, THE MARIA HERTOUGH CONTREVERSY tulisan Haja Maideen. Seronok dan teruja membacanya kerana kisah perjalanan hidup Maria ibarat kisah kehidupan sebuah roller coster yang bergerak laju berputar dalam beberapa pusingan tragedi kehidupan seorang remaja 13 tahun yang terpaksa menempuh ujian keyakinan dalam mempertahankan harga sebuah iman dalam usia yang begitu muda dan naive.


2. Semasa melanjutkan pelajaran ke Fakulti Undang-undang di Universiti Malaya, pada 1982, Dekan saya ketika itu Allahyarham Tan Sri Prof Ahmad Ibrahim yang juga menjadi tutor saya dalam subjek Islamic Law pernah menceritakan pada saya mengenai kisah Maria atau nama Islamnya Natrah ini. Kebetulan dia adalah peguambela kepada Natrah di Singapura ketika itu. Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim bercerita dalam nada kesal sambil kelopak matanya berkaca kerana menahan airmatanya dari mengalir keluar. Saya dapat rasakan dia begitu kesal kerana tidak dapat menyelamatkan Natrah. Masih basah dalam fikiran saya apa yang sempat diluahkan oleh Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim pada saya ketika itu. “Kita sepatutnya membawa lari Natrah sebelum keputusan mahkamah lagi demi menyelamatkan iman dan aqidah Natra. Keputusan mahkamah itu sudah kita jangka sejak awal lagi. Mahkamah yang dicorak oleh British bukan tempatnya untuk kes seperti Natrah
Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim



3. Kata Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim lagi, sejurus sahaja selepas keputusan mahkamah diumumkan, Natrah dalam keadaan yang meraung-raung telah diseludup keluar dan dibawa lari melalui pintu belakang mahkamah oleh beberapa pegawai polis berbangsa Inggeris. Natrah kemudiannya telah dibawa ke sebuah gereja untuk di Khatolikkan semula. Akhbar New Straits Times keesokkannya telah mengeluarkan gambar Natrah dalam keadaan melutut di depan patung Virgin Mary. Gambar yang sengaja disiarkan berulang kali ini akhirnya telah menaikkan kemarahan umat Melayu Islam di Singapura yang telah membawa kepada rusuhan berdarah pada 12 Disember 1950.

4. Natrah kemudian dengan bantuan Persatuan Gereja Kristian Sedunia telah diterbangkan ke Belanda dan telah disambut sebagai wira oleh seluruh penduduk Belanda ketika itu. Kerajaan Belanda sendiri telah memberikan kawalan keselamatan khas kepada Natrah dan keluarganya. Kisah Natrah dan rusuhan berdarah di Singapura mendapat liputan meluas di seluruh Eropah terutamanya di Belanda dan di England.


5. Kerana cerita first hand dari Allahyarham Tan Sri Prof Ahmad Ibrahim itu, kisah Natrah ini begitu dekat dengan hati saya. Apatah lagi semalam saya mendengar dari siaran berita Bernama di tv, Natrah telah meninggal dunia akibat sakit lukemia pada umur 72 tahun di rumahnya di Hjjberhan, Belanda.
Natrah bersama ibu angkatnya Aminah.Aminah berasal dari Terengganu tapi lama menetap di Indonesia. Natrah bersama ibu kandungnya (sebelah kiri)

6. Namun ketika bertugas sebagai Majistrate di Kelantan pada 1989 tulisan Fatini Yaakob (kini Datin dan karyawan tamu di UTM) yang telah mencari dan berjumpa dengan Natrah tapi kemudian didapati telah dipaksa kembali kepada agama Khatolik cukup menyentap hati saya. Kesal dan kecewa tidak terkata apatah lagi Datin Fatini Yaakob menemui Natrah ketika itu dalam kehidupan yang penuh daif lagi miskin melarat. Malah Natrah pernah dipenjarakan kerana tuduhan cuba membunuh suami Belandanya.

7. Remaja hari ini atau pada perkiraan saya, mereka yang berumur kurang dari 40 tahun kebanyakkannya mungkin tidak pernah mendengar kisah Natrah ini. Para remaja kini bukan saja malas baca sejarah tapi ramai yang buta sejarah.

8. Kisah Natrah tulisan Datin Fatini Yaakob dalam majalah Dewan Masyarakat patut dibukukan agar para remaja dan jenerasi hari ini dapat membaca, melihat dan menginsafi betapa sensitifnya masyarakat melayu dahulu dengan islam dan bagaimana mereka sanggup melakukan demonstrasi demi menyelamatkan aqidah Natrah hingga 18 orang dari mereka turut terkorban dan ratusan lagi cedera parah akibat bertempur dengan polis.

Gambar rusuhan di luar perkarangan mahkamah tinggi di Singapura

9. Kisah Natrah kalau ada pun dalam bentuk buku atau penulisan pernah diterbitkan dalam bentuk novel seperti Tragedi Nadra (Haja Maideen), Mortal Flower (Han Suyin), Voices Of Asia (James Michener) dan A Salute To Singapore, Snouk Hugronje, Bertha Hertough or Nadra Maarof.

10. Namun yang paling terkenal adalah traveloque penyelidikan dan penulisan bekas wartawan Dewan Masyarakat (kini Karyawan Tamu UTM), Datin Fatini Yaacob yang disiarkan dalam beberapa siri di Majalah DEWAN MASYARAKAT terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) yang mengkaji kisah berkenaan sehingga membawanya bertemu dengan Natrah di Belanda adalah yang paling lengkap dan boleh dipertanggungjawabkan pengkisahan dan rentetan fakta sejarahnya.

11. Bekas Pengerusi Utusan Malaysia Tan Sri Kamarul Ariffin pernah menerbitkan filem Jasmin 1 (1984) dan Jasmin 2 (1986), filem yang berdasarkan kisah sebenar Natrah ini tetapi masih tidak berani memaparkan fakta sebenar mengenai penentangan masyarakat melayu islam di Singapura terhadap dakyah paderi kristian di Singapura. Ini mungkin kerana terpaksa menjaga sensitiviti beragama masyarakat pelbagai kaum ketika itu. Akhirnya filem itu hanya menjadi kisah cinta komersial sahaja. Nilai dakwah dan tarbiahnya tidak ada. Tidak ada unsur untuk mengangkat kecintaan orang melayu keatas amalan agamanya.


12. Kini khabarnya seorang Pengarah filem terkenal di Belanda, Ben Sombogart dilaporkan akan menerbitkan sebuah filem mengenai tragedi Natrah ini pada tahun 2010. Namun siapa Ben Sombogart yang terkenal dengan filem The Sisters ini amat saya ragui dan pertikaikan. Seorang ahli Parlimen Belanda Geert Wilders pernah menimbulkan kontoversi bila telah membuat filem FITNA yang sengaja menghina Rasulullah SAW. Saya amat bimbang dan meragui niat dan keikhlasan Ben Sombogart untuk mengangkat kisah Natrah ini kerana tentunya dia akan mengangkat cerita ini dari Point Of View (P.O.V) seorang khatolik juga. seperti Geert Wilders.

Ben Somborgart


13. Maka kita umat islam di Malaysia perlu mendahului usaha dalam mengangkat kisah tragedi iman Natrah ini dari P.O.V seorang muslim yang sensitif dengan agamanya. Saya cadangkan ianya dibuat dari P.O.V seorang penulis dan wartawan muslim seperti Datin Fatini Yaacob.

14. Umat Melayu Islam di Malaysia kini sudah tidak sensitif lagi bila politician dari masyarakat bukan islam di Malaysia sendiri memperkotak-katik dan merendah-rendahkan autoriti, kemuliaan dan keagungan agama mereka. Pengkisahan semula tragedi Natrah ini dalam bentuk buku, dokumentari, drama atau filem perlu untuk menyuntik semangat jihad umat melayu islam agar lebih sensitif dengan agama mereka. Ini satu jihad juga pada saya. Lebih baik dari hanya memapar dan memperjuangkan genre thriller atau hantu semata. Kisah Natrah juga adalah kisah cinta Natrah dan Mansor Adabi (meninggal dunia pada 15 Oktober 1988, di Singapura) yang punya nilai komersialnya yang tersendiri.

Mansor Adabi di sebelah kiri gambar.

15. Mansor Adabi seorang penulis dalam Malayan Lay Journal yang ketika itu berumur 18 tahun di kahwinkan dengan Natrah yang ketika itu baru berumur 13 tahun secara nikah gantung sebagai startegi mengelak mahkamah memerintahkan Natrah diserahkan pada keluarga kandungnya. Mereka terpisah jauh dan Mansor Adabi kemudiannya telah berkahwin dengan Zaiton Juhari. Ketika Natrah di Belanda sebuah akhbar di sana secara sengaja telah menyiarkan perkahwinan tersebut dan ini telah menimbulkan tekanan jiwa kepada Natrah. Begitulah halus pihak gereja kristian berusaha membuatkan Natrah melupakan terus suami dan agamanya.

16. Sila serve http://ms.wikipedia.org/wiki/Rusuhan_Natrah - untuk maklumat lanjut