Showing posts with label dr asri zainal abidin. Show all posts
Showing posts with label dr asri zainal abidin. Show all posts

SEMERAH PADI DAN HUKUMAN SEBAT

Tuesday, October 6, 2009

1. Saya amat tertarik dengan komen serta pendapat bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri di webnya http://drmaza.com/home/?p=737 dalam artiklenya 'Filem Semerah Padi Mengelirukan Gambaran Hukuman Sebat Dalam Islam'.
.
2. Biasanya bila bercakap tentang penulisan skrip, saya selalu berkata pada rakan-rakan yang mahu mendalami ilmu skrip antara filem klasik yang mesti di tonton mereka adalah Titanic, Mohabathen, Dr Zivago dan Semerah Padi.
.
3. Namun artikle Dr Asri mengenai cara perlaksanaan hukum sebat yang dipaparkan dalam filem Semerah Padi tersebut benar-benar membuka minda saya. Semerah Padi memang diiktiraf sebagai sebuah filem Islam sesuai dengan zaman ianya diterbitkan. Tapi kerana 'salah faham' atau 'faham salah' pembikinnya mengenai cara hukuman sebat dilaksanakan, kesannya hingga kini 'terlekat' dalam minda masyarakat melayu. Pada kebanyakkan masyarakat melayu cara hukuman sebat dilaksanakan mestilah keras, rakus dan hanya berbentuk menghukum si pesalah sahaja. Nilai pengajarannya atau nilai positif di sebalik perlaksanaan hukuman sebat itu seolah-olah diabaikan.
.
4. Filem atau drama punya kesan besar dalam mencetak pemikiran dan pemahaman masyarakat terhadap amalan agama mereka. Apa yang dipaparkan dalam filem atau drama boleh menjadi 'nilai' kepada penontonnya.
.
5. Tokoh agama seperti Dr Asri perlu ada untuk menegur para pengkarya seperti saya. Selain Dr Asri, Ustaz Hazrizal Abd Jamil di webnya http://Saifulislam.com juga rajin menulis artikle memberi pandangan dan teguran terhadap industri filem dan drama. Saya merasakan golongan agama yang berwibawa perlu kerap melontarkan buah fikiran dan teguran mereka terhadap kerja kreatif para pengkarya.
.
6. Saya sebagai pengkarya perlu lebih berhati-hati dalam melahirkan karya untuk dihidangkan kepada khalayak penonton.


ULAMAK MENULIS SKRIP? KENAPA TIDAK?

Wednesday, September 2, 2009


1. Bekas Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainal Abidin pernah menyatakan hasratnya untuk belajar menulis skrip drama. Katanya dia mahu mengetahui dan merasai dahulu apa masalah dalam menghasilkan sebuah karya drama atau filem sebelum dia menegur dan memperbetulkan minda para pengkarya.


2. Saya menyambut baik niat murni Dr Asri tersebut kerana mengasilkan sebuah karya drama atau filem yang baik adalah satu usaha team work. Maksudnya karya yang baik bukan sahaja terletak kepada skrip yang baik semata tapi juga bergantung kepada kreativiti pengarah, kesungguhan production manager, ketelitian prop master, kepekaan audio man, kecekapan assistant director, kerajinan handy man, kekemasan make up artist, kekemasan suntingan editor, keupayaan pelakun menghayati watak dan akhirnya kemampuan kewangan penerbitnya juga.

.


3. Maknanya untuk menjadi seorang penulis skrip yang baik, sekali sekala penulis skrip perlu terjun padang untuk melihat sendiri bagaimana karya mereka diangkat. Dengan cara ini mereka akan tahu kenapa kadangkala karya mereka dapat diangkat dengan baik sesuai dengan apa yang mereka garap pada skrip dan juga kenapa karya mereka kadangkala tidak menjadi seperti mana yang mereka hajati dari skrip.

.


4. Entry saya sebelum ini mengenai 'Faktor Nasib Dalam Penghasilan Sebuah Drama' ada kaitannya.

.


5. Namun dalam program Fenomina Seni di RTM1 selepas kenyataan Dr Asri itu, Faizal Tehrani apabila ditanya oleh pengacaranya Rosyam Nor tentang penglibatan golongan agama dalam pembikinan sebuah drama atau filem berpandangan bahawa golongan agama tidak patut campurtangan dalam dunia kreatif. Hujahnya elok golongan agama menjadi penasihat sahaja.



6. Pada saya ada benarnya pendapat Faizal Tehrani itu pada satu sudut dan pada satu sudut yang lain ada tak benarnya.

.


7. Apa yang benarnya? Ya saya setuju golongan agama terutamanya golongan ulama perlu menjadi penasihat kepada penghasilan sebuah karya drama atau filem. Ini boleh menjadikan sebuah karya drama lebih syariah compliance dan tidak melanggar sempadan aqidah samaada secara sengaja atau tidak sengaja.

.


8. Apa yang tidak benar? Saya rasa golongan agama perlu diberikan ilmu menghasilkan skrip agar kehadiran mereka bukan semata sebagai penasihat tapi terus terjun padang dalam memeriahkan industri drama dan filem.

.


9. Memang ramai ulamak yang boleh menulis buku ilmiah dan novel tapi sepanjang pengetahuan saya golongan ulama yang menulis skrip di Malaysia hanyalah Datuk Hassan Din Al Hafiz bekas Penasihat Agama di Istana Negara.


10. Saya pernah ke rumah Datuk Hassan berbual tentang penghasilan drama dakwah. Datuk Hassan memberitahu saya setakat tahun 2009, 5 karyanya dari skrip yang ditulisnya telah diangkat menjadi drama tv. Antara yang saya ingat tajuknya ialah TAQARRUB (Astro Oasis) dan SUARA DARI KUBUR (Astro Prima). Dramanya SUARA DARI KUBUR mengikut rating telah ditonton oleh lebih 800 ribu penonton. Jumlah ini dianggap cukup besar di Astro.
.


11. Datuk Hassan memberitahu saya dia tidak pernah sekalipun belajar menulis skrip. Dia hanya melihat contoh skrip yang pernah ditulis oleh seorang penulis skrip lain. Saya pernah membaca skrip tulisan Datuk Hassan. Lucu kerana agak lintang pukang dan tidak mengikut format Stan Field atau Final Draft yang banyak digunakan oleh para penulis skrip. Tapi kerana pengarah faham apa yang ditulisnya dan memperbaikinya maka drama tulisan Datuk Hassan akhirnya berjaya diangkat dengan baik menjadi sebuah drama tv. Kalau Datuk Hassan masuk kelas menulis skrip secara formal di FINAS umpamanya, saya yakin skrip dramatulisannya boleh memenangi anugerah.
.


12. Saya berpandangan golongan agama sepert para ulama, intelektual muslim dari kalangan pensyarah pengajian islam di IPT, para ustaz dan ustazah dan para pelajar pengajian islam di IPT patut diberi peluang belajar menulis skrip.
.



13. Sebagai langkah pertama ajak mereka menjadi penasihat pembikinan drama dahulu dari peringkat penulis skrip lagi. Biar mereka edit dialoqnya. Langkah kedua ajak mereka menulis skrip bersama dengan seorang penulis skrip yang berpengalaman. Langkah ketiga biarkan mereka secara solo menulis skrip dengan melantik seorang penulis skrip lain yang berpengalaman menjadi editor dan penasihat skrip pula kepada skrip mereka.
.


14. Skrip Datuk Hassan TAQARRUB adalah skrip dimana saya menjadi editornya. Saya telah merombak skrip Datuk tersebut untuk menjadikannya lebih baik untuk ditonton.
.


15. Mengajar para ulamak menulis skrip adalah antara impian hidup saya walaupun saya bukanlah yang terbaik dalam industri. Kesungguhan Datuk Hassan berdakwah dalam penulisan skrip patut di contohi. Dia yang tidak pernah belajar menulis skrip secara formal pun mampu melahirkan 5 drama setakat ini.
.

16. Saya akan mengajar skrip drama di Galeri Ilmu Sdn Berhad selepas syawal nanti.

.

17. Bayangkan kalau Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Menteri Besar Kelantan, Datuk Harrussani Mufti Perak dan Datuk Mohd Nur Ghadud Mufti Johor menulis skrip filem genre cinta?