KITA LEBIH BAIK

Saturday, October 31, 2009


1. Saya hanya sempat menonton beberapa episod sahaja drama bersiri NUR KASIH di TV3, arahan Kabir Bakhtiar. Tapi anak-anak perempuan saya menjadi peminat utama drama tersebut dan saya menggalakkan mereka menontonnya. NUR KASIH adalah drama melayu terbaik yang pernah saya tonton.
.
2. Tahniah buat TV3, pengarahnya, penulis skrip, para pelakun dan semua tenaga kerjanya.
.
3. NUR KASIH jauh lebih baik dari drama-drama Indonesia. Ibarat langit dengan bumi. Buktinya ianya bukan sahaja jadi fenomena di Malaysia tapi juga di Singapura. Saya juga percaya penonton di Selatan Thailand dan Brunei yang dapat menonton siaran tv3 juga tentu meminati drama tersebut.
.
4. Tak perlu kita terlalu mengagung-agungkan drama indonesia.
.
5. Tak salah kalau kita hanya mengambil yang terbaik dari mereka. Tapi hakikatnya yang dilambakkan pada khalayak penonton kita kini bukan sahaja teruk dari segi mutu pengarahan tapi juga banyak yang melanggar sempadan budaya dan aqidah penganut Ahlil Sunnah Wal Jamaah kita di Malaysia.
.
6. Selain penulis skrip yang terlibat dalam NUR KASIH (tabik 'spring' dan tahniah buat mereka bertiga), kita juga punya penulis skrip yang baik dan hebat seperti Mazelan Manan dan Marthias Ali. Beri mereka peluang dan ruang untuk menghasilkan lebih banyak drama.

CINTA SEMPURNA 2

Thursday, October 29, 2009

ATAS PERMINTAAN ASTRO OASIS, CINTA SEMPURNA AKAN DISAMBUNG SEMULA. SETELAH DIANUGERAH ALLAH DENGAN 'HIDAYAH' APA PULA YANG TERJADI PADA SHILA DAN NAJIB SEKEMBALINYA MEREKA KE LONDON? ADAKAH AKAN KEMBALI HANYUT ATAU MEREKA AKAN TERUS MEMBURU 'TAUFIQ'?

FAKTA YANG MENJIJIKKAN

Tuesday, October 27, 2009


1. Kelmarin saya menghabiskan masa sehari suntuk mengkaji dan mencari data-data berkaitan jumlah sebenar drama indonesia yang ditayangkan di kaca-kaca tv di Malaysia dalam tempoh SEHARI.
.
2. Untuk tujuan itu saya telah telah memilih tarikh 26.Oktober 2009 dan masa antara 7.00am - 12.01am untuk dijadikan sebagai study case.
.
3. Kaedah kajian yang saya gunakan ialah i. melihat jadual rancangan semua channel tv pada sisipan akhbar Berita Harian, ii. melayari web site setiap channel tv dan, iii. melihat sendiri drama/telenovela tersebut di kaca tv.
.
4. Saya telah menonton TV1,TV2,TV3,TV7,TV8,TV9, Astro Ria, Astro Prima, Astro Oasis dan Astro Aruna.
.
5. Kesimpulan yang saya perolehi - jumlah drama/telenovela Indonesia yang ditayangkan dalam tempoh SEHARI iaitu pada 26.Okt adalah sebanyak 18 buah tajuk.
.
6. Sungguh memeranjatkan. Saya sendiri pun terkejut.
.
7. Facts & Fiqures yang terlalu 'jijik' untuk ditelan. Tapi itulah hakikat yang terpaksa kita terima.
.
8. Saya senaraikan tajuk-tajuk drama/telenovela yang di hidangkan untuk khalayak penonton kita di bawah ini :

Sujud ku.
Si Cantik dan Si buruk rupa.
MatahariKu
Liontin.
Soleha
Kabulkan doaku.
Sekar
Kamulah syurga ku.
Suami-suami takut isteri.
Tawakal.
Hitam putih.
Angin tak dapat membaca.
Boneka Poppy.
M-Club.
Habibah dan Habiba.
Tangisan anak tiri
IQ Cewek gua ancur bang
Abu & Nawas

9. Adakah kita masih mahu berdiam diri dan berpeluk tubuh sahaja?
.
10. Inilah yang saya katakan sebagai 'The Indonesian Wave' yang sedang melanda dan menjajah pemikiran khalayak penonton kita sekarang. Mengimport dan menonton terlalu banyak drama/telenovela Indonesia tidak akan menjadikan masyarakat melayu kita lebih cerdik dari sebelumnya.
.
10. Station-station tv kita bukan sahaja tidak 'rasa berdosa' melambakkan drama-drama Indonesia di negara kita malah 'rasa bersalah' pun tidak.
.
11. Di mana penghujungnya?
.
12. Kita perlukan 'a political will' dan 'a political figure' untuk selesaikan masalah ini.
.
13. Saya harap data dan isu ini boleh di 'letupkan' di parlimen yang sekarang sedang bersidang. Biar isu ini jadi panas.
.
14. Ahli Parlimen Kinabatangan, YB Bung Mokktar paling sesuai untuk tugasan 'letup-meletup' ini.
.
15. Tolong kami YB. Kami tak faham apa yang dikatakan slogan 'Rakyat didahulukan....' jika drama Indonesia masih diutamakan.

ANTARA LAMBAKAN KOBIS INDON DAN DRAMA INDON

Sunday, October 25, 2009

KUBIS yang semakin murah harganya mungkin jadi bahan buangan sahaja jika para petani di Cameron HIghlands meneruskan rancangan melonggokkan sayur itu sebagai tanda protes. - Gambar hiasan
.
1. Mungkin kerana takut hilang pengundi China, kerajaan melalui FAMA cepat bertindak menyelesaikan masalah kejatuhan harga kobis seperti yang tuntut oleh Persatuan Pekebun-pekebun Sayur Cameron Highland.
.
2. Akibat lambakan import hasil kobis dari China dan Indonesia, harga kobis yang sepatutnya berada pada harga pasaran 80 sen sekilo telah jatuh pada harga terendah 40 sen sekilo. Pekebun-pekebun kobis telah mengugut akan melambakkan semua hasil kobis mereka di depan pejabat FAMA di Brincang jika masalah kejatuhan harga ini tidak di selesaikan oleh kerajaan.
.
3. Tunduk dengan 'ugutan' tersebut, FAMA akhirnya bersetuju untuk membeli terus hasil kobis dari Cameron Highland pada harga 75 sen sekilo.
.
4. Semuanya selesai dalam masa beberapa hari sahaja dari tarikh ianya mula di lapurkan oleh akhbar KOSMO pada 21 Oktober.
.
5. Bagaimana pula dengan lambakan drama Indonesia? Isu lambakan drama indonesia telah lama dilapurkan di akhbar-akhbar tempatan tapi station-station tv termasuk RTM masih 'kemaruk' untuk terus mengimport dan mengutamakan drama/telenovela Indonesia.
.
6. Nasib pekebun kobis di Cameron Highland lebih baik dari pengkarya drama tempatan.
.
7. Dana RM200 juta dalam Bajet 2010 untuk industri kreatif seperti yang diumumkan Perdana Menteri di Parlimen baru-baru ini tidak akan membawa sebarang makna jika isu lambakan drama Indonesia ini tidak diselesaikan segera.
.
8. Baru sekarang saya sedar rupa-rupanya bukan sekadar drama indonesia, hatta kobis yang kita makan selama ni pun datang dari Indonesia.

KITA SERUPA

Saturday, October 24, 2009

1. Entah untuk kali ke berapa saya tak pasti, tapi mungkin tujuh atau lapan kali RTM telah mengulang siar drama saya KITA SERUPA di kaca tv. Kali terakhir adalah semalam 24.Okt di RTM1 jam 3.00 petang. KITA SERUPA diterbitkan oleh SRS Production Sdn Bhd milik pelakun terkenal Rozie Othman dan mula ditayangkan di RTM pada 2006.
.
2. Skrip KITA SERUPA adalah satu-satunya drama saya dimana saya membenarkan Pengarahnya abang Nur Halim merombak skrip saya ikut kesesuaian semasa. Ini kerana watak utamanya adalah seekor orang utan di zoo negara bernama Comel.
.
3. Selalunya skrip akan memberi arahan serta dialoq yang akan di lakun dan dituturkan oleh para pelakun tapi untuk KITA SERUPA skrip kena ikut mood orang utan. Kerana terpaksa ikut mood Comel maka lebih lima puluh peratus skrip asal terpaksa dirombak.
.
4. Masalah yang mungkin timbul bila melibatkan orang utan sebagai watak utama sudah dijangka sebelum saya membuat skrip lagi. Bila orang Utan 'tak da mood'', dia akan 'make don no' aje pada arahan pengarah. Maka skrip akan dirombak on the spot di lokasi. Lucu tapi ianya satu pengalaman cukup berharga buat saya dan abang Nur Halim.
.
5. Sinopsis - kisah seorang kanak-kanak Fatin (10 tahun) yang teringin bertemu dan 'menyentuh' Comel seekor anak orang utan di zoo negara. Tapi ayahnya (Mustapha Kamal) tidak membenarkan kerana Fatin selalu demam akibat dari penyakit lukemia yang dihadapinya. Orang utan amat sensitif dengan manusia. Orang utan juga mudah demam dan mudah dijangkiti penyakit. Kerana itu Fatin tidak dibawa ayahnya untuk bertemu Comel. Fatin yang tahu hidupnya tidak akan lama akibat penyakit lukemianya selalu berillusi bercakap seorang diri dengan Comel yang dibayangkan berada dalam bilik tidurnya. Ibu Fatin (Vanida Imran) selalu menengur dan memarahi Fatin kerana selalu berangan berbual dengan Comel. Satu hari dua orang penjenayah (Sathia) telah masuk ke Zoo Negara dan membawa lari Comel untuk dijual dipasaran antarabangsa. Tragedi berlaku apabila dalam perjalanan menaiki van, Comel telah terlepas dan berjaya melarikan diri. Comel tiba-tiba muncul depan rumah Fatin. Fatin membawa Comel ke biliknya tanpa pengetahuan ibu dan ayahnya.
.
.
6. Ini mungkin drama pertama di Malaysia yang menjadikan orang utan sebagai watak utama. Saya mengalirkan airmata menonton KITA SERUPA bila Fatin mengadu dan bertanya pada ibu dan ayahnya kenapa dia di pilih oleh Allah untuk dihinggapi penyakit lukemia.
.
7. Mungkin kerana elemen kemanusian dan emosi yang terdapat dalam drama ini yang menyebabkan RTM kerap mengulang siar drama ini. RTM pernah memberitahu saya KITA SERUPA adalah sebuah drama yang unik dari segi mesej dan pembikinannya. Ini menjadikannya drama yang menarik untuk di tonton seisi keluarga. Apatah lagi dalam satu dua babak Fatin kerap bertanya pada ibu dan ayahnya kenapa kanak-kanak Palestin menderita akibat perang.
.
8. Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Ismail Hudson, Penasihat Zoo Negara kerana telah banyak membantu dalam pembikinan drama ini. Datuk Ismail Hudson juga telah turut berlakun dalam drama ini.
.

SALAM.FM

1. Kelmarin saya telah dijemput oleh SALAM.FM ke conti Radio ASYIK.FM untuk satu bual bicara secara LIVE mengenai drama-drama yang pernah saya hasilkan. Ini kali ke empat saya dijemput untuk bual bicara di conti radio. Sebelum ini di Klasik.fm (dua kali) dan Radio Jakim.
.
2. Menurut DJnya Puan Norlida ini kali pertama Salam.fm menjemput penggiat seni belakang tabir (penulis skrip drama) untuk rancangannya yang ke udara pada setiap awal pagi dari 00.15 am hingga 01.00am. Sebelum ini katanya hanya artis-artis sahaja yang dijemput.
.
3. Mulanya saya agak meragui pada awal pagi seperti itu akan ada pemanggil yang akan menalipon Salam.fm menanyakan soalan. Tapi jangkaan saya meleset apabila sepanjang bual bicara tersebut DJnya hanya sempat memutarkan dua buah lagu sahaja. Banyak panggilan yang masuk untuk bertanya soalan pada saya. Malah banyak juga panggilan yang tidak dapat dilayan kerana kesuntukan masa.
.
4. Alhamdulillah hampir semua pemanggil menyatakan mereka ada menonton drama saya MENCARI NUR KHADIJAH (Drama Terbaik Anugerah AMIN ke 2) dan IHSAN (Drama Terbaik Anugerah AMIN ke3).
.
5. Kepada mereka semua, saya mengucapkan terima kasih kerana telah menyokong saya. Moga ini menjadi peransang dan dorongan pada saya untuk terus berkarya dan melahirkan yang terbaik di masa-masa akan datang.
.

BUKU 'MAUNAH - THE NAKED TRUTH'

Wednesday, October 21, 2009

ADA YANG BERTANYA PADA SAYA DI MANA MEREKA BOLEH MENDAPATKAN BUKU TULISAN SAYA "MAUNAH - THE NAKED TRUTH". SEPANJANG PENGETAHUAN SAYA, BUKU TERSEBUT YANG KINI DALAM CETAKAN KEDUA, ADA TERJUAL DI KEDAI-KEDAI BUKU SEKITAR JALAN TUANKU ABDUL RAHMAN, KUALA LUMPUR. ANTARA KEDAI BUKU TERSEBUT ADALAH MINERVA DAN PUSTAKA MUKMIN.

CAKAP-CAKAP ORANG


1. 'Cakap-cakap' orang dalam industri penerbitan drama - "Kalau nak bina 'nama' buat drama kat tv3, nak tambah-tambah 'networking' buat drama di Astro. Nak buat duit buat drama di RTM".

2. Setelah melahirkan hampir lima puluh skrip drama sehingga kini, kebanyakkan drama saya disiarkan di RTM, tiga di Astro dan hanya satu di TV3.

3. Saya memilih untuk banyak menghasilkan karya untuk RTM kerana RTM lebih 'jujur' dan lebih 'berjiwa melayu' dalam menghasilkan drama-drama untuk mendidik masyarakat.

4. Saya tak reti menulis skrip drama yang penuh dengan skandal dan maksiat.

DOKUMENTARI TOKOH ANUGERAH MERDEKA

Tuesday, October 20, 2009

1. Tahniah buat Prof Datuk Dr Zaini Ujang, Naib Canselor Universiti Teknolgi Malaysia (UTM) atas pengikhtirafannya sebagai Tokoh Anugerah Merdeka yang disampaikan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
.
2. Dr Zaini adalah rakan sebilik saya ketika kami tinggal di Asrama Putra Angkatan Tentera (APAT) di Kem Terendak Melaka pada 1978/79 yang menempatkan anak-anak anggota tentera dari seluruh Malaysia. Chef Wan juga adalah antara yang pernah tinggal dan belajar di sini. Di APAT kami tinggal sebilik tiga orang. Seorang lagi rakan sebilik kami Sdr Azhar kini adalah juruterbang pesawat HAWK yang berpengkalan di TUDM Kuantan, Pahang. Saya di tingkatan 5 manakala Dr Zaini dan Azhar di tingkatan 3 ketika itu.
3. Dr Zaini yang saya kenali cukup baik dan warak orangnya. Waktu solat subuh, maghrib dan isyak dialah yang selalunya akan melaungkan azan di surau. Istiqamah mengerjakan solat jemaah di surau dan menjadi teman rapat pada Ustaz dari Kor Agama yang bertugas di APAT. Kami mempunyai kegemaran yang sama iaitu menonton tv. Rancangan yang kami paling suka tonton ketika itu ialah drama koboi bersiri HOW THE WEST WAS WONT. Dr Zaini akan sentiasa memastikan dia mendapat kerusi paling hadapan untuk menonton drama tersebut di dewan makan.pada hujung minggu.
.

Pelajar di APAT

.
4. Di APAT disiplin ketenteraan yang diguna pakai amat ketat. Setiap sabtu kami akan dikerah berjogging dari asrama hingga ke kawasan pantai di Kem Terendak. Saat masa berjogging ini paling kami suka kerana laluan jogging kami selalunya akan meredah quarters keluarga anggota tentera. Semua kami akan control macho bila nampak budak-budak perempuan yang seusia kami berdiri depan pintu atau tingkap melihat kami berjogging dalam kumpulan yang ramai. Kadang kala rutin jogging akan diganti dengan latihan kawad. Pantang kami membuat silap maka kami akan dihukum pumping atas padang kawat yang berturap tar.
.
5. Kebersihan dan ketrampilan diri begitu diutamakan. Bilik kami antara bilik yang dianggap paling kemas dan bersih. Selalu kami mendapat pijian dari Pengetua APAT ketika itu. Saya masih ingat Pengetua APAT memuji almari saya yang dianggapnya paling kemas dan cantik. Kebetulan saya ada menampal gambar kumpulan ABBA pada almari saya masa itu. Tapi dalam bab kekemasan katil, Dr Zaini mengalahkan saya. Dia lebih halus dan teliti dalam memastikan katil, selimut, bantal dan kelambunya di susun dengan kemas dan cantik.

6. Saya, Dr Zaini dan Azhar selalu menyelinap waktu tengah malam pergi ke dapur bertemu tukang masaknya Abang Ghani untuk meminta lauk lebih jika ada. Dalam disiplin ketenteraan, masuk ke ruang dapur tanpa izin adalah satu kesalahan besar dan boleh di hukum berat. Tapi abang Ghanilah selalunya yang akan 'menyeludup' kami masuk ke dapur tanpa pengetahuan para pelajar lain. Kami makan sehingga kenyang.
.
7. Kisah jatuh bangun seorang tokoh seperti Prof Datuk Dr Zaini Ujang ini patut dijadikan bahan dokumentari tv untuk tatapan jenerasi muda sekarang dan akan datang.
.
8. Namun sehingga ke hari ini, baik Pengetua APAT atau Dr zaini tidak pernah mengetahui bahawa saya pernah menyelinap keluar pada waktu malam untuk menonton wayang cerita SHAOLIN TEMPLE di sebuah restaurant di tepi pantai dalam kawasan Kem Terendak.

PRODUKSI ENAM HARI

Monday, October 19, 2009

1. Tulisan Kak Pora dalam akhbar BERITA MINGGU pada Ahad baru ini ada menyentuh tentang isu Pengarah yang mengarah drama dalam tempoh masa enam hari sahaja.
.
2. Menurut pengalaman saya dan mengikut standard industry di Malaysia, biasanya tempoh selama sepuluh hari diperlukan untuk menyelesaikan produksi sebuah telemovie yang baik.
.
3. Pernah beberapa drama saya mengambil masa enam hari sahaja untuk diselesaikan. Sebagai penulis skrip, saya tidak ada pilihan kerana biasanya penerbit akan menentukan siapa Pengarahnya.
.
4. Kak pora meletakkan kesalahan itu kepada para penerbit yang terlibat. Tapi saya lebih suka meletakkan kesalahan itu pada station tv (bukan RTM).
.
5. Astro dan Media Prima hanya membayar antara RM80,000.00-RM85,000.00 kepada Penerbit bagi penghasilan sebuah telemovie. Ini berbeza dengan RTM yang biasanya akan membayar antara RM100,000.00-Rm112,000.00. Jika sesebuah drama itu diterbitkan pula oleh penerbit dari Sabah dan Sarawak dan melibatkan pula lokasi di sana, maka RTM juga biasanya bersedia untuk membayar lebih 20% dari jumlah semasa.
.
6. Ikut standard semasa kos produksi untuk sesebuah telemovie pula adalah pada sekitar RM80,000.00. Itu belum termasuk lagi contigency cost jika berlaku masalah luar jangkaan di lokasi seperti masalah cuaca atau pertukaran lokasi pada saat-saat akhir. Kos ini makin lama makin meningkat dan bukannya makin menurun.
.
7. Lebih-lebih lagi para artis yang mengetahui station tv telah mencadangkan nama mereka akan demand harga lebih. Penerbit tidak ada pilihan di sini.
.
8. Dalam ertikata lain, jika penerbit menghasilkan drama untuk Astro atau Media Prima, mereka hanya boleh untung RM5,000 sahaja. Itupun kalau mereka pandai berjimat. Saya pernah diberitahu oleh seorang penerbit yang menghasilkan drama 13 episod (1 jam) untuk Astro, syarikatnya hanya untung bersih RM16,200.00 sahaja. Berbeza dengan penghasilan sebuah drama 13 epiosd (1 jam) di RTM dimana penerbitnya boleh memperolehi keuntungan antara RM110,000.00-RM117,000.00.
.
9. Maka penerbit tidak ada pilihan jika mereka mahu untung atau at least cover cost. Penerbit akan cari Pengarah yang boleh bekerja dalam tempoh enam hari sahaja untuk menghasilkan telemovie.
.
10. Akibatnya skrip akan dicincang lumat untuk cut cost.
.
11. Finish productnya 'hancur'.
.
12. Penulis skrip akan dipersalahkan jika hasilnya 'hancur'.

SAMA TAPI TAK SERUPA

Sunday, October 18, 2009

1. "Lagi-lagi telenovela Indonesia". Di mana kesudahannya? Di seberang rakyatnya sedang menghina dan memperlecehkan kita. Tapi kita di sini masih terus-terusan mendewa-dewa dan memuja produk drama Indonesia.
.
2. Tidak salah kalau kita mengimport produk drama luar kalau yang kita bawa masuk itu yang terbaik dan punyai nilai moral yang boleh diterima masyarakat kita disini. Banyak drama Iran, Korea, China, Taiwan, Jepun yang juga boleh kita hidangkan untuk khalayak penonton kita. Hanya mengutamakan drama Indonesia semata adalah agak keterlaluan.
.
3. Ya, memang benar mereka serumpun, tapi nilai yang mereka yakini dan pegang dengan nilai yang kita pegang di Malaysia berbeza. Paparan drama Indonesia yang mengambarkan satu keluarga dalam sebuah rumah boleh memilik dan menganut pelbagai kepercayaan agama mungkin boleh diterima di sana tapi tidak pada kita di sini. Paparan mengenai golongan kaya mereka memakai kasut dalam rumah mungkin boleh diterima di sana tapi tidak pada kita di sini. Paparan mengenai kisah pari-pari mendampingi kanak-kanak mungkin nilai yang boleh diterima di sana tapi tidak di sini.
.
4. Kita sama tapi tidak serupa.
.
5. Menghidangkan terlalu banyak telenovela dan drama Indonesia tidak akan menjadikan khalayak penonton kita jadi lebih cerdik.
.
6. Terbaru, drama BAWANG MERAH, BAWANG PUTIH diulangsiar oleh TV3. TV8 juga kini giat mempromosi satu lagu telenovelo Indonesia PENGERAN PENGGODA. Dalam posting sebelum ini saya ada menulis tentang TV3 mengulangsiar telenovela Indonesia JELITA lakunan Agnes Monica.
.
7. Adakah kita sebenarnya yang tidak patriotik? Station-station tv makin 'kemaruk' mengimport dan menayangkan produk drama/telenovela di kaca tv. Persatuan-persatuan yang ada kaitan dengan industri hiburan tanahair hanya mampu membuat kenyataan akhbar demi kenyataan akhbar 'bising' atas perkembangan ini dan kita sebagai penonton hanya sekadar mampu 'mengeluh' sahaja. Di manakah penghujungnya?
.
8. Ramai pekerja industri dalam bidang penerbitan drama yang terpaksa kais pagi makan pagi akibat sikap station tv yang mahu mengutamakan drama/telenovela Indonesia.
.
9. Kementerian yang bertanggungjawab harus serius memikirkan perkara ini. Jika tidak rakyat akan mempersoalkan di mana perginya motto 'Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan?' RTM milik kerajaan juga turut sama bersubahat mendewa-dewa dan mengagung-agungkan produk drama/telenovela dari Indonesia. Kenapa?

10. Saya tidak mahu menyalahkan seratus peratus pengkarya Indonesia dalam isu kebanjiran produk Indonesia ini. Bukan mereka yang mendesak tapi kita yang 'terhegeh-hegeh' mahu membawa dan mengimport produk mereka ke sini.
.
11. Sedar atau tidak, 'The Indonesian Wave' kini sedang melanda industri hiburan kita. Kita yang memberi laluan mudah untuk mereka.

REHAT & CARI ILHAM DALAM KERETAPI

Friday, October 16, 2009


1. Sejak Feb 2009 saya tidak putus-putus menulis skrip beberapa drama tv untuk RTM dan Astro (Prima & Oasis).
.
2. Hanya pada 28 Syawal baru ini saya sempat 'berhenti' seketika tapi menyambung menulis skrip semula pada 7 Syawal. Alhamdulillah semuanya telah dapat saya selesaikan minggu lepas. Kini saya hanya menunggu keputusan pitching RTM yang dijangka akan diketahui sebelum penghujung bulan Oktober ini.
.
3. Kelapangan yang ada telah saya gunakan untuk berehat. Pada 13 Okt saya telah ke Kelantan dengan menaiki keretapi KTM Express Wau jam 9.00 malam dari Kajang ke Wakaf Bharu. Setibanya di Wakaf Bharu pada jam 10.30am keesokkannya saya berkesempatan ke Kota Bharu dan Pengkalan Kubur berkat pertolongan seorang kawan yang sudi memandu kereta membawa saya ke sana ke mari.
.
4. Jam 6.30 pm hari yang sama saya menaiki keretapi semula di Tumpat untuk pulang ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan pergi dan balik saya banyak menghabiskan masa tidur sahaja dalam koc tempat tidur.
.
5. Saya sempat mendapat idea tentang satu kisah remaja drama 13 episod (1 jam) untuk disimpan dalam koleksi bankskrip peribadi saya.

IRAN & DRAMA KOREA

Thursday, October 15, 2009

1. Serial drama Korea DAE JANG GEUM (JEWEL IN THE PALACE) adalah antara drama Korea yang telah mengujudkan The Korean Wave sekitar hujung 90an selain drama WINTER SONATA, AUTUMN IN MY HEART dan beberapa tajuk lagi.
.
2. Drama JEWEL IN THE PALACE ini juga telah melonjakkan nama pelakun utamanya LEE YOUNG AE sebagai antara pelakun Korea paling di kenali di dunia apabila banyak negara Asia seperti Jepun, Taiwan, Singapura, Indonesia, Malaysia dan Brunei menayangkannya.
.
3. Malah ketika ditayangkan di tv Iran, masyarakat Iran cukup meminati drama ini dan pelakun utamanya Lee Young Ae.
.
4. Kerana popularnya Lee Young Ae di Iran, sebuah stesyen tv di Iran telah ke Seoul Korea Selatan untuk menemui dan menemuramah Lee Young Ae atas permintaan peminatnya di Iran.
.
5. JEWEL IN THE PALACE yang diangkat menggunakan cinderalla type story line digarap begitu baik dengan mengangkat nilai serta kebanggaan masyarakat Korea kepada tradisi nenek moyang mereka. Mesejnya agak universal. Kisah cinta sebagai sub plot yang dipaparkan tidak mempunyai elemen maksiat. Maka sebab itu Iran yang agak ketat dengan nilai syariat dan moral menerimanya untuk tatapan khalayak penontonnya.
.
6. Kita tidak perlu filem seperti Anu Dalam Botol...untuk 'melutut' pengikhtirafan dunia.

video

GAMBAR2 DI LOKASI "KABUS DI BALIK BAYU"

Wednesday, October 14, 2009

1. Drama saya KABUS DI BALIK BAYU untuk RTM baru saja selesai pengembaraan pada sabtu lepas.
.
2. Hanya Felix (AF) sahaja dapat ikut serta dalam drama ini. Marsha (AF) dan Julia Ziegler tidak dapat ikut serta kerana sudah mempunyai komitment lain. Tempat mereka telah diambil oleh Anjali seorang pendatang baru berketurunan inggeris yang pertama kali berlakun dalam drama dan Nabilah Dally salah seorang peserta program Pilih Kasih yang dianjurkan RTM dalam mencari bakat-bakat baru yang dibimbing oleh pelakun tersohor Rosham Nor. Ini juga pengalaman pertama Nabilah berlakun dalam sebuah drama.
.
3. Kecuali saya sebagai penulis skripnya, semua tenaga kerja produksi drama ini mengguna pakai tenaga anak tempatan Sabah.
.
4. Pengarah yang juga penerbitnya Sdr Norsahar kerap menalipon saya sepanjang tempoh pengembaraan untuk memberitahu saya perkembangan dan memaklumkan pada saya dialoq dan babak yang terpaksa di tokok tambah mengikut kesesuaian lokasi dan keadaan setempat. Saya senang bekerja dengan Pengarah dan Penerbit seperti ini.
.










ANUGERAH KHAS JURI - AMIN KE 3

Sunday, October 11, 2009

Bersama sdr Rosli yang mewakili TAS untuk mengambil trophi sempena AMIN ke3
.
1. Dalam posting sebelum ini saya telah meramalkan karya saya KALIGRAFI CINTA akan menang banyak kategori drama yang dipertandingkan dan bukannya drama IHSAN yang juga merupakan karya saya. Namun sebaliknya IHSAN telah banyak memenangi beberapa kategori drama yang dipertandingkan. Antaranya Penerbit/Drama Terbaik, Skrip Terbaik, Pelakun Wanita Terbaik dan Pengarah Terbaik.
.
2. Namun saya agak terkejut apabila KALIGRAFI CINTA telah diberikan Anugerah Khas Juri. Mungkin kerana faktor 'uniqueness and something out of the box' yang dicari oleh para panel juri, KALIGRAFI CINTA dipilih untuk diberikan penghargaan dengan Anugerah Khas Juri tersebut.
.
3. Kisah sebuah kampung dimana jenerasi mudanya sudah tidak pandai menulis jawi dalam KALIGRAFI CINTA mempunyai kritik sosial yang tajam dan mempunyai mesej dakwah dan tarbiah yang cukup jelas serta mudah difaham khalayak penonton.
.
4. Ini kali pertama Anugerah Khas Juri diperkenalkan dalam Anugerah AMIN sejak tiga tahun penganjurannya.
.
5. Saya bersyukur kehadrat Allah swt atas anugerah tersebut. Terima kasih juga saya ucapkan pada Television Airtime Services (TAS) kerana sudi menerima konsep cerita ini dan menerbitkannya. Kepada wargakerja di TAS, sdr Razak, sdr Rosli dan cik Musdalifah juga saya mengucapkan terima kasih kerana sentiasa menyokong karya-karya saya. Cuma saya agak terkilan bila boss TAS, En Tahir Othman tidak dapat hadir untuk menerima trophi anugerah tersebut kerana sedang berada di Cannes. Trophi tersebut telah diambil dengan diwakilkan kepada Sdr Rosli.

6. Pernah seorang penerbit sebelum ini yang saya tawarkan untuk menerbitkan drama ini (sebelum diberikan pada TAS) menolaknya atas alasan tidak punya sebarang nilai komersial dan tidak menguntungkan syarikatnya untuk diterbitkan. Mungkin bukan rezeki penerbit tersebut untuk menerima anugerah ini.

Pejabat TAS di Glenmarie, Shah Alam.