FAKTOR 'NASIB' DALAM PENGHASILAN SEBUAH DRAMA

Sunday, August 30, 2009

1. Pengarah yang mengubah jalan cerita dan merombak skrip sesuka hati tanpa merujuk terlebih dahulu kepada penulis skrip adalah satu mimpi ngeri kepada kebanyakkan penulis skrip. Apatah lagi apabila apa yang dihajati dari skrip tidak diangkat sepertimana yang diharapkan.
.

2. Bukan senang untuk mencari idea atau ilham dalam melahirkan sebuah skrip yang baik.
.

3. Lebih teruk lagi ada pengarah yang merombak skrip tanpa memberitahu penerbitnya. Penerbit hanya mendapat tahu setelah melihat finish productnya sahaja.
.

4. Saya telah beberapa kali mengalami mimpi ngeri ini.
.
5. Drama saya ENGKAU LAKSANA BULAN (RTM) endingnya mengikut skrip ialah babak penyampaian hadiah penghargaan Komandan Maktab Tentera Di Raja kepada Kompeni Bravo kerana berjaya mengutip dana bagi membantu seorang pesakit jantung berlubang. Tapi pengarahnya telah merombak skrip menjadikan endingnya kepada penyampaian hadiah kepada kompeni Bravo kerana memenangi pertandingan berkawat. Saya dan penerbitnya ketika itu begitu terkejut kerana dalam skrip asal tidak ada langsung menyebut tentang pertandingan kawat. Penerbitnya telah menamatkan perkhidmatan pengarah tersebut serta merta tanpa membayar baki bagi khidmatnya. Penerbit telah menggantikannya dengan pengarah lain. 26 babak dalam drama tersebut (1/3 dari keseluruhan drama) terpaksa di re-shot semula dan penerbitnya terpaksa mengeluarkan hampirRM13,000 lagi untuk tujuan tersebut.
.
6. Kerana sikap professional penerbit, ENGKAU LAKSANA BULAN akhirnya telah dicalunkan untuk ANUGERAH SKRIN TV3 2007 mewakili TV2 walaupun tidak memenangi sebarang anugerah kemudiannya.
.
7. Drama saya RESTU MU IBU (RTM) bertemakan kemerdekaan yang telah di terbitkan pada 2007 juga menghadapi masalah yang sama. Drama tersebut mengikut skrip asal adalah sebuah genre drama. Tapi pengarahnya yang juga seorang pelawak veteren terkenal tanahair telah merombak skrip saya menjadikannya sebuah genre semi komedi. Saya cukup kecewa bila menontonnya di kaca tv apabila terdapatnya watak seorang yang mengaku 'YB' dan watak seorang gila di kampung berjalan ke hulu ke hilir berpakaian kemas bertali leher di tengah panas matahari sambil membawa Jalur Gemilang diujudkan dalam drama tersebut. Kedua-dua watak itu sebenarnya tidak ada dalam skrip asal saya.
.
8. Namun saya agak pelik bila diberitahu penerbitnya baru-baru ini drama RESTU MU IBU ini adalah antara drama-drama RTM yang telah berjaya dijual dipasaran antarabangsa. Penerbitnya telah dibayar saguhati oleh RTM kerana kejayaan itu.
.
9. Drama saya PUTERI(RTM) yang mengisahkan hubungan kasih sayang antara seorang kanak-kanak dengan seekor anak gajah di Pusat Konservasi Gajah di Kuala Gandah Pahang juga mengalami keadaan yang sama. Pengarahnya yang merupakan orang lama dalam industri, bekas kakitangan RTM dan kini mengajar perfileman di sebuah kolej swasta terkemuka, juga telah merombak skrip asal saya. Penerbit pada asalnya tidak setuju dengan cadangannya untuk merombak skrip saya tersebut. Tetapi katanya apabila pengarah tersebut mendakwa dia orang lama dan pensyarah dalam bidang skrip di kolejnya maka penerbit akhirnya terpaksa tunduk dengan desakannya itu. Drama tersebut kalau tidak silap saya telah memulakan pengembaraan pada sekitar Jan/Feb 2008 lagi untuk ditayangan sempena cuti semester pertama persekolahan 2008. Tetapi sehingga kini drama tersebut masih belum disiarkan oleh RTM. Saya kemudiannya mendapat tahu pihak RTM telah reject finish product drama tersebut dan penerbit terpaksa mengarahkan pengarah tersebut untuk re shot semula beberapa babak dalam drama tersebut. Penerbitnya rasa kecewa dan kesal kerana telah tunduk kepada desakan pengarah sebelum ini. Berita terakhir saya diberitahu oleh penerbit, drama PUTERI tersebut akan ditayangkan pada hujung tahun ini.
.
10. Yang terbaru drama saya MURABBI(Astro Prima) juga mengalami perkara yang sama. Keputusan Pengarahnya memberi watak-watak utama kepada terlalu ramai pelakun-pelakun baru telah menjadikan cerita itu hambar dan membosankan. Padahal saya telah pun mencadangkan agar pelakun berpengalaman dan mature diambil untuk terlibat dalam drama tersebut. Pelakun-pelakun baru itu hakikatnya bukan berlakun dalam erti kata sebenar tapi lebih banyak menghafal skrip. Ini menjadikan watak mereka tidak natural dan tidak real. Nama-nama seperti Amy Salmiah, Sharifah Aleysha, Sharmaine Shiree dan Siti Fauziah bukan sahaja tidak pernah kita dengar malah ada antara mereka yang tidak pernah berlakun pun. Hujah pengarah, dia mengambil terlalu ramai pelakun baru memegang watak utama berlakun kerana dia mahu memperkenalkan barisan pelakun-pelakun baru. Saya terima hujah itu tapi tidak kepada pemegang watak-watak utama yang menjadi anchor kepada keseluruhan drama tersebut. Saya selitkan gambar-gambar shooting Murabbi di bawah ini.
.
11. Menghasilkan naskah yang baik kadangkala bergantung juga kepada faktor 'nasib'. Sebab itu pada saya untuk melahirkan karya drama yang baik faktor team work dan rasa hormat menghormati sesama golongan pengkarya amat penting agar elemen 'nasib' tidak jadi ukuran kepada kejayaan sesebuah drama.

HIDUP DENGAN MENULIS SKRIP

Friday, August 28, 2009


1. Minggu ini (24-28 Ogos) adalah minggu yang paling sibuk bagi saya kerana terpaksa menghadirkan diri untuk sessi pitching di IPPTAR, RTM.
-
2. Sepanjang seminggu di IPPTAR saya berkesempatan menemui kenalan dan rakan penulis skrip yang lain.
-
3. Antara yang saya temui ialah Salma Hassan dan adiknya Siti Nur Hassan, Marthias Ali dan isterinya, Latif Mohaideen adik kepada Prof A Razak Mohaideen (gambar atas) dan Liza Meor Rushdi.
-
4. Menariknya tentang Salma dan Siti Nur, mereka berdua adalah adik kepada penulis skrip Zarihah Hassan yang merupakan Script Consultant di Metrowealth International Group (MIG) milik penerbit David Teo. Zarihah telah banyak menulis skrip drama bersiri. Memandangkan kedua ibubapa mereka telah meninggal dunia Salma dan Siti Nur tinggal bersama di rumah Zarihah Hassan di Bangsar. Salma pernah berkata pada saya mereka adik beradik menyara kehidupan dengan sepenuh masa menulis skrip. Maka tidak mustahil hasil karya adik beradik ini kerap ditayang di tv kerana mereka menulis skrip secara bersama.
-
5. Menarik tentang Marthias Ali pula isterinya Adza Nasyaemie Adenan juga adalah seorang penulis skrip sepenuh masa. Malah adik isterinya Adza Irdawati Adenan juga adalah seorang penulis skrip. Maka tidak mustahil di mana sahaja Marthias Ali berada, isterinya juga akan berada disampingnya. Mereka bertiga memang kreatif apatah lagi Marthias Ali adalah an award winning script writer dan dia juga seorang pengarah short filem.
-
6. Menarik tentang Latif Mohaideen pula dia adalah adik kepada Prof A Razak Mohaideen. Latif Mohaideen adalah penulis skrip pada kebanyakkan filem-filem arahan Prof A Razak Mohaideen. Mereka berdua kerap bersama dalam mencari peluang-peluang bekarya di station tv.
-
7. Menarik tentang Liza Meor Rushdi pula, isteri kepada adik iparnya Sharifah Nurul Huda juga adalah seorang penulis skrip.
-
8. Kesemua mereka adalah penulis skrip sepenuh masa. Mereka fokus dengan kerjaya mereka. Kerana itu mereka adalah antara penulis skrip yang karya mereka kerap disiarkan di station tv.
-
9. Minggu depan 2-4 September saya akan hadir lagi sessi pitching. Meletihkan tapi saya seronok dapat bertemu, berbual bertukar-tukar fikiran dan pengalaman dengan para penulis lain. Jarang kami mendapat kesempatan bertemu begini.

CINTA SEMPURNA DAN TENGKU TIARA

Tuesday, August 25, 2009

-
1. Watak 'Shila' dalam CINTA SEMPURNA pada asalnya ditawarkan pada FAIZURA. Itu permintaan saya pada OASIS dan peneritnya Cerna Media. Tetapi kerana Faizura ketika itu sedang sibuk dengan program realiti ANAK WAYANG di ASTRO maka pelakun lain terpaksa dicari. Saya sedikit kecewa apabila gagal mendapatkan penglibatan Faizura.
-
2. Agak sukar mencari watak Shila kerana saya mahukan seorang pelakun yang 'mengada-ngada', egoistik, sceptical dan yang paling utama boleh bercakap dalam bahasa inggeris dengan baik dalam logat atau ascent inggeris.

3. Tengku Tiara kemudiannya telah didapati memenuhi ciri-ciri watak 'Shila' yang saya cari itu.
-
4. Kali pertama bertemu Tengku Tiara yang ditemani ibunya di pejabat penerbitnya Cerna Media Sdn Bhd saya terus berkata dalam hati saya, "Yes, inilah Shila!" walaupun saya belum lagi berbual dengannya ketika itu.
-
5. Gayanya yang secara naturalnya nampak seperti Londoners, egoistik, fashionable, bercakap melayu macam cakap 'om putih' memang sesuai dengan watak Shila yang telah saya reka dalam Cinta Sempurna. Tengku Tiara sebenarnya tidak perlu banyak berlakun untuk mengidupkan watak Shila. Dia hanya perlu membawa dirinya sendiri sahaja dengan sedikit exegeration. Shila telah pun ujud dalam diri Tengku Tiara. Apatah lagi Tengku Tiara pernah bersekolah dan tinggal lama di London.
-

6. Saya telah banyak berbincang dengan Tengku Tiara mengenai apa yang saya mahukan darinya dalam menghidupkan watak Shila. Saya memberi keizinan padanya untuk mengolah lenggok dialoq dalam skrip agar sesuai dengan cara dan gaya 'The egoistic Malay Londoners'. Tengku Tiara seronok bila saya memberi sepenuh kebebasan padanya.
-
7. Semalam Cinta Sempurna telah pun disiarkan di OASIS hingga episod 7. Saya telah menonton hingga episod akhir dan mendapati kejayaan Cinta Sempurna banyak terletak pada lakunan Tengku Tiara. Lakunannya begitu natural hingga Cinta Sempurna nampak begitu real dan penonton boleh 'menyampah' dan 'sakit hati' dengan Shila.
-
8. Terima kasih Tengku Tiara.

CHANNEL CRIME INVESTIGATION NETWORK


1. Channel Crime & Investigation Network bagi kawasan Asia Pasifik yang berpengkalan di Singapura kini sedang dalam proses pre pro untuk menerbitkan dokumentari khas selama 1 jam mengenai peristiwa Sauk dan kumpulan Al Maunah yang satu ketika dahulu pernah menggemparkan negara apabila merompak senjata berat milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Grik, Perak.
-
2. Selain saya, bekas Panglima Tentera Darat Datuk Seri (B) General Zaini dan ASP Abdul Razak (VAT 69 PDRM) akan ditemuramah pada awal September nanti.

-

3. Buku tulisan saya Maunah, Kebenaran Yang Sebenar (The Naked Truth) dijadikan rujukan utama dalam pembikinan dokumentari tersebut.



4. Pihak Astro juga bulan lepas telah menyatakan minat untuk membuat dokumentari mengenai kumpulan Al Maunah ini untuk Channel Epik yang bakal mereka ujudkan.

TELEMOVIE QALBU(OASIS)

Saturday, August 22, 2009

1. Selalu saya mengharap agar setiap kali ramadhan, saya dapat bercuti dari menulis skrip. Tapi biasanya saya gagal. Masa ramadhanlah selalunya saya sibuk.
-
2. Ramadhan kali ini saya terpaksa menyiapkan dua skrip drama 13 episod dan sebuah drama telemovie. Disamping itu saya juga terpaksa menghadiri lebih dari 16 sessi pitching di RTM.
-
3. Ramadhan kali ini juga dua telemovie saya memulakan pengembaraannya iaitu QALBU (OASIS) yang telah pun memulakan pengembaraannya di sekitar Kuala Lumpur pada semalam (22 Ogos bersamaan 1 Ramadhan) dibawah arahan Muralli Abdullah dan KABUS DI BALIK BAYU (RTM) yang dijangka akan memulakan pengembaraan di Sandakan dan Kundasang Sabah pada pertengahan ramadhan nanti juga di bawah pengarahan Muralli Abdullah.
-
4. QALBU adalah sebuah tele genre melodrama mengenai kisah poligami yang dilakunkan oleh Aida Rahim, Jalil Hamid, Safura Yaacob dan Zarina AF2.
5. Aida Rahim yang memegang watak utama dalam QALBU pernah berlakun dalan beberapa drama saya antaranya SELEMBUT MUHASABAH yang pernah disiarkan di RTM pada September 2008 dan telah diulangtayang pada Jun 2009 yang lepas. Saya meminati lakunannya kerana dia sentiasa memberikan yang terbaik untuk lakunannya.
6. QALBU dijangka akan ditayangkan di OASIS pada September atau Oktober nanti.

Aida Rahim dan Rosnah Johari dalam tele SELEMBUT MUHASABAH karya Zabidi Mohamed

FESTIVAL BULAN IBADAH

Friday, August 21, 2009

SELAMAT DATANG RAMADHAN

PITCHING RTM BERMULA

Thursday, August 20, 2009

Suasana dimana para penerbit dan penulis skrip menunggu giliran untuk membuat pitching
Bersama penulis skrip tersohor Che Li.

Bersama Sdr Latif Ismail Pengarah dan Penerbit.
-
1. Pitching di RTM sudah bermula sejak 15. Ogos dan dijangka hanya akan selesai pada pertengahan Oktober 2009 nanti. Satu tempoh yang agak panjang kerana terdapat hampir 400 penerbit drama tv yang berdaftar di RTM.
-
2. Para penerbit dan penulis skrip akan menjual idea dan cerita mereka untuk dibeli oleh RTM bagi mengisi slot rancangan drama dan majalah mereka bagi tempoh sepanjang 2010.
-
3. Sessi pitching yang pertama sebelum ini saya menghantar 16 penyertaan. Tapi tidak ada satu pun yang sangkut. Untuk pitching kali ini saya menghantar 19 penyertaan termasuk satu untuk rancangan dokumentari.
-
4. Minggu ini sahaja, saya telah menghadiri 6 sessi pitching. Sempat saya bertemu dengan kenalan dari kalangan rakan penulis skrip. Antaranya Che Li, Marthias Ali dan isterinya, Mahathir, Ummu Hani dan Faznita. Saya percaya sekitar 200 penulis skrip yang lain juga mencuba nasib dalam sessi pitching kali ini.
-
5. Hope for the best, prepare for the worst. Saya hanya mampu berdoa.

LIBERALISME DAN NILAI ISLAM DALAM SESEBUAH KARYA

Wednesday, August 19, 2009

1. Saya ada membaca artikle yang ditulis oleh wartawan hiburan Zainuri Misfar (gambar atas) mengenai Yasmin Ahmad yang bertajuk "Benarkah filem Yasmin Ahmad karya tanah air paling hebat?" Seperti dijangkakan artikle tersebut menerima banyak respon pro dan kontra.



2. Saya sebagai seorang pengkarya menyokong tulisan Zainur Misfar tersebut.



3. Kreativiti Yasmin Ahmad dan kredibilitinya dalam menghasilkan karya-karya yang baik tidak dapat dinafikan apatah lagi dia menerima banyak anugerah dan pengikhtirafan dalam dan luar negara. Karya-karya Yasmin Ahmad memang baik tetapi bukanlah yang terbaik kata Zainur Misfar lagi.



4. Namun seperti kata Zainur Misfar, "kita tidak seharusnya membaca sub teks sesebuah karya itu secara selapis sahaja. Karya Yasmin berat sebelah, tidak realistik, menyindir orang melayu, mengajak orang melayu dan islam supaya berfikir liberal".



6. Ada benarnya pendapat Zainur Misfar itu. Saya menyokongnya.



7. Iklan Petronas sempena Kemerdekaan Negara mengenai seorang kanak-kanak Tan Hong Ming yang menyatakan dia mempunyai seorang girl friend bernama Umi Qazrina dan Umi pula kemudiannya mengaku Tan Hong Ming juga adalah boy friendnya, walaupun kreatif, unik dan lucu tapi sebenarnya terkandung tema dan mesej liberalisme yang sangat diperjuangkan Yasmin Ahmad dalam karya-karyanya. Itu signature Yasmin Ahmad dalam kebanyakkan kerya-karyanya. Sepet dan Gubra juga mempunyai tema dan mesej yang sama. Iklan Petronas mengenai kisah Tan Hong Ming dan Umi Qazrina ini pada saya menghina melayu dan islam.



8. Yasmin Ahmad seolah-olah mahu mengajak orang melayu supaya bersikap liberal dalam beragama. Seolah-olah padanya "Kita memang nak Islam tapi jangan Islam sangat." Ini nilai yang diperjuangkan Yasmin Ahmad dalam hampir kesemua karya-karyanya.



9. Saya tidak mahu menyentuh mengenai soal peribadi orang yang telah meninggal. Tapi pada saya karya-karya seseorang masih boleh dibincang dan diperdebatkan walaupun dia telah meninggal.



10. Orang melayu dan islam mesti bukan sahaja pandai 'menonton' tapi mesti juga pandai 'membaca' yang tersirat disebalik yang tersurat dalam sesebuah karya.

video

CINTA SEMPURNA DI YOUTUBE

Tuesday, August 18, 2009

video

BAGI YANG TIDAK MELANGGAN ASTRO DI RUMAH ATAU PARA PELAJAR DI IPT - 'CINTA SEMPURNA' JUGA BOLEH DITONTON DAN DIDAPATI PADA YOUTUBE. SETIAP EPISOD AKAN DI DOWNLOAD KE YOUTUBE SEJURUS SELEPAS TAYANGAN DI CHANNEL OASIS. JUGA BOLEH DIDAPATI DI http://hazel2k.blogspot.com.

video

video

TRAILER CINTA SEMPURNA.

Saturday, August 15, 2009

TAYANGAN BERMULA PADA 17.OGOS SETIAP ISNIN HINGGA JUMAAT. JAM 3.00 PETANG, ULANGAN 10.00 MALAM DAN 4.30 PAGI PADA HARI YANG SAMA.SELAMAT MENONTON.



video

KESEDIHAN YANG MENGGIGIT

Thursday, August 13, 2009

PAGI INI KESEDIHAN KE ATAS PEMERGIAN ALLAHYARHAM USTAZ ASRI RABBANI MASIH MENGGIGIT PERASAAN SAYA. AIRMATA MASIH BELUM BERSEDIA UNTUK BERHENTI.

SAMBUNGAN - posting MENONTON & MEMBACA YANG TERSIRAT DI SEBALIK YANG TERSURAT

video

SAYA SEDANG MENULIS SAMBUNGAN POSTING MENGENAI FILEM KANDAHAR SEBELUM INI....

ASRI RABBANI - AL FATIHAH

Wednesday, August 12, 2009



1. Saya mengenali Ustaz Asri Rabbani sejak tahun 81/82 lagi.

2. Kali terakhir saya bertemu dengan beliau adalah kira-kira setahun lebih yang lepas. Ketika itu berkali-kali dia sms pada saya menyatakan hasratnya untuk bertemu saya pada malam itu. Saya pada awalnya menyatakan tidak mungkin dapat menunaikan permintaannya itu akibat keletihan kerana kebetulan baru pulang dari memberi ceramah kepada Guru-guru Takmir negeri Perak atas undangan Pejabat Agama Islam Negeri Perak. Namun apabila dia sendiri menalipon saya untuk memujuk, saya akhirnya bersetuju menemuinya di sebuah restaurant di kampung Bharu.

3. Saya tiba jam 1.30 pagi dan bersamanya ketika itu ialah Asri Ubai (nama serupa) dan Azadan dua rakan penasyidnya dalam Rabbani ada sama. Kami berbual hampir ke jam 3.30am.

4. Ustaz Asri pada saya adalah pendakwah tulin. Dia begitu menjaga tutur kata dan akhlaqnya kerana dia berpegang kepada prinsip bahawa sebagai seorang penasyid, dia perlu menjaga akhlaqnya agar sesuai dengan lirik-lirik lagu yang diperjuangkan dalam semua lagu-lagu nasyidnya.

5. Dia gigih berdakwah melalui lirik-lirik lagunya. Nasyid adalah medan jihadnya dan dia begitu istiqamah (konsisten) dengan jihadnya itu. Akhlaq dan perjuangan Ustaz Asri ini patut diteladani oleh para penasyid lain.Pada Ustaz Asri, nasyid adalah medan dakwah dan bukannya medan glamour.Dia hanya mengharap keredhaan Allah.

6. Saya menangisi pemergiannya kerahmatullah.Kita kehilangan sebutir permata.Saya sekeluarga merasai kehilangannya.

7. Takziah untuk keluarganya.

8. Al Fatihah.

SAIPUL BAHRI & CINTA SEMPURNA

Monday, August 10, 2009



1. Untuk drama bersiri sempena Ramadhan, CINTA SEMPURNA, OASIS dan Executive Producer di Astro, En Jamal Ismail memberi sepenuh kebebasan kepada saya sebagai penulis skrip CINTA SEMPURNA untuk memilih dan menentukan siapa Pengarahnya.

2. Saya spontan mencadagkan nama Saipul Bahri Othman sebagai Pengarah.




3. Saya mengambil risiko yang besar bila mencadangkan nama Saipul kerana di Astro tiada siapa yang megenalinya. Tapi saya memilih Saipul kerana sebelum ini dia pernah mengarahkan drama saya QONAAH di RTM. Saya dapat menilai dan mengesan bakat yang ada pada Saipul itu melalui drama itu.

4. Alhamdulillah Saipul berjaya membuktikan keupayaannya mengangkat CINTA SEMPURNA menjadi drama yang baik malah melampaui apa yang diharap dan dijangkakan oleh OASIS.

5. Tahniah juga pada Producernya En Sahid Juri yang sanggup berbelanja besar dan memberikan segala komitmennya bagi menerbitkan dan menjayakan drama 20 episod ini.

6. Pengarah muda seperti Saipul patut diberi lebih peluang untuk membina nama dalam dunia kreatif yang diceburinya.

7. CINTA SEMPURNA akan mula ditayangkan pada 17 Ogos ini jam 3.00 petang iaitu seminggu sebelum Ramadhan dan akan berakhir seminggu sebelum aidilfitri.Ia juga akan diulang tayang pada jam 10.00pm dan 4.30am setiap hari.Pada Sabtu dan Ahad kesemua epiosd yang ditayangkan seminggu sebelum itu turut akan diulang tayang secara marathon.

8. Selamat menonton.

PERTANDINGAN SKRIP FINAS 2008

Sunday, August 9, 2009

1. Banyak komen para penulis skrip mengenai Pertandingan Penulisan Skrip Finas 2008 yang sehingga kini seolah-olah 'berkubur tanpa nisan' yang saya baca dalam http://www. sinemamalaysia.com.my

2. Semua menyatakan tidak puas hati kenapa setelah ditangguhkan tarikh tutup penyertaannya dari September 2008 kepada Disember 2008 sehingga kini tiada keputusan siapa pemenangnya di keluarkan atau majlis di adakan untuk penyampaian hadiah tersebut.

3. Kali terakhir saya ke Finas adalah pada Mac 2009 lalu. Semasa berurusan di kaunter tingkat satu, saya masih nampak timbunan skrip yang dihantar para penulis skrip masih ada diletakkan di atas rak yang dikhaskan. Ketika saya menghantar skrip saya pada 31 Disember 2008 longgokan yang sama tinggi juga yang saya nampak. Sengaja saya hantar pada tarikh-tarikh akhir kerana saya mahu mengetahui berapa jumlah penyertaan yang FINAS terima.

4. FINAS harus bertanggungjawab mengumumkan segera pemenangnya kerana skrip yang telah siap itu sebenarnya boleh dijual oleh peulis skrip kepada mana-mana station tv.Memerapkan skrip-skrip tersebut tanpa ada perancangan atau pengumuman untuk mengistiharkan pemenangnya adalah sikap tidak bertenggungjawab dan tidak profesional FINAS.Apatah lagi antara syarat penyertaan FINAS menetapkan skrip tersebut tidak boleh di jual atau di terbitkan oleh mana-mana station tv.

5. JAKIM yang menganjurkan ANUGERAH MEDIA ISLAM NASIONAL(AMIN)walaupun telah menangguhkan tarikh penyertaan (termasuk kategori skrip) dari Disember 2008 kepada Jun 2009, telah pun membuat pengumuman resmi bahawa majlis penyampaian hadiah AMIN akan diadakan pada 24 Oktober 2009.

6. Di mana ketelusan dan profesionalisme FINAS yang selalu memperjuangkan motto 'tonggak sebuah cerita adalah dari skrip yang baik?'

7. Saya menuntut satu jawapan.

ILHAM DARI LIRIK LAGU

Saturday, August 8, 2009

1. Ramai bertanya pada saya bagaimana saya mencari ilham untuk sebuah cerita dan kemudiannya dijadikan skrip drama tv.


- 2. Setiap penulis skrip tentu mempunyai cara mereka sendiri.

3. Saya banyak mendapat ilham dari lirik-lirik lagu yang saya dengar. Banyak juga drama saya yang diilhamkan dari skrip lagu. Antaranya drama tele saya Affidavit Terakhir mendapat banyak ilhamnya dari lagu Celine Deon - 'That's The Way It Is'.

4. Saya percaya ramai penulis skrip yang lain juga mendapat banyak ilham dengan hanya mendengar dan menghayati sesebuah lagu.

5. Ada juga cerita saya yang diilhamkan dari lirik lagu sebuah nasyid seperti Kumpulan Hijjaz - 'Hanya Tuhan Yang Tahu'.

6. Sejak seminggu yang lepas saya kerap mendengar lagu 'One Of Us' nyanyian kumpulan ABBA yang saya download dari internet. Membesar dan menjadi dewasa dizaman populariti ABBA menyebabkan saya begitu meminati dan banyak menghafal tajuk-tajuk lagu ABBA. Apatah lagi ABBA banyak menyayikan lirik lagu yang begitu puitis.

7. Saya sudah mendapat satu story line berdasarkan lirik lagu One Of Us itu. Liriknya adalah seperti berikut:
They passed me by, all of those great romances.

You were, I felt, robbing me of my rightful chances.

My picture clear, everything seemed so easy.

And so I dealt you the blow.

One of us had to go.

Now its different, I want you to know.


One of us is crying.

One of us is lying.

In her lonely bed.

Staring at the ceiling.

Wishing she was somewhere else instead.

One of us is lonely.

One of us is only.

Waiting for a call.

Sorry for herself, feeling stupid feeling small.

Wishing she had never left at all.

I saw myself as a concealed attraction.

I felt you kept me away from the heat and the action.

Just like a child, stubborn and misconceiving.

Thats how I started the show.

One of us had to go.

Now I've changed and I want you to know.

One of us is crying.

One of us is lying.

In her lonely bed.

Staring at the ceiling.

Wishing she was somewhere else instead.

One of us is lonely.

One of us is only.

Waiting for a call.

Sorry for herself, feeling stupid feeling small.

Wishing she had never left at all.

Never left at all.

Staring at the ceiling.

Wishing she was somewhere else instead.

One of us is lonely.

One of us is only.

Waiting for a call

8. Terpulanglah pada kreativiti seorang penulis skrip bagaimana untuk mencorak dan menggarap jalan cerita dari mana-mana lirik lagu yang mereka dengar.


- 9. Selain dari lirik lagu banyak lagi cara yang boleh digunakan untuk mencari ilham sebuah drama tv. Saya akan bercerita lagi untuk berkongsi pengalaman.



video

PRE PRO - HIKAYAT SEORANG ZULAIKHA (RTM)

Friday, August 7, 2009

1. Hari ini NHF Production yang bakal menerbitkan karya saya HIKAYAT SEORANG ZULAIKHA(HSK) telah mengadakan sessi script reading. Pengembaraan akan bermula pada 12hb Ogos ini di sekitar Kuala Lumpur. Antara pelakun utama yg akan terlibat adalah Katijah Tan, Datuk Jalaludin Hassan, Irma dan Aqasha. Ianya bakal di arahkan oleh Din Glamour (gambar bawah).



-

2. Sudah menjadi kebiasaan mana-mana production house, script reading bersama para pelakun utama yang terlibat akan dilakukan sebelum pengembaraan. Semuanya dilakukan agar para pelakun menghayati terlebih dahulu jalan cerita dan perwatakan masing-masing.

-

3. Tapi script reading di NHF hari ini agak unik dan lain dari apa yang pernah diamalkan oleh mana-mana produksi sebelum ini. Puan Nora Hendon penerbitnya telah mengadakan script reading khusus bersama tenaga krew produksi HSK bukannya dengan para pelakun utama. Kerana yakin kepada kekuatan dan keunikan story line HSK, Puan Nora Hendon mahu memastikan terlebih dahulu semua krew terbabit dari Pengarah hinggalah kepada Handyman menghayati terlebih dahulu naskah HSK.

-


4. Puan Nora Hendon selalunya begitu obsess mahu hanya yang terbaik untuk semua drama terbitannya terutamanya dari idea dan skrip yang saya hasilkan. Kerana itu banyak drama-drama saya yang diterbitkannya berjaya di calunkan dalam beberapa anugerah dan antaranya ialah :

-

a. Basikal Itu (Anugerah Seri Angkasa 2006)

b. Ku Petik Bintang-Bintang (Anugerah Seri Angkasa 2006)

c. Affidavit Terakhir (Anugerah Seri Angkasa 2007)

d. Engkau Laksana Bulan (Anugerah Skrin tv3 2007)

e. Mujahadah (Anugerah Media Islam Nasional 2008)

-

5. Malah hampir semua drama saya yang diterbitkannya untuk RTM telah dikategorikan dalam drama kategori A yang melayakkan NHF mendapat bayaran lebih dari RTM sebagai insentif kerana berjaya menerbitkan karya yang baik pada standard yang dikehendaki oleh RTM.

-

6. Saya senang bekerja dengan NHF dan Puan Nora Hendon yang sentiasa memastikan naskah dari skrip saya dapat diangkat sesuai dengan apa yang saya hajati dan kehendaki. Tidak pernah dia mengecewakan saya.

-

video

THE THIN LINE

Wednesday, August 5, 2009


1. Semasa majlis pelancaran drama bersiri combo ramadhan Astro baru-baru ini , saya sempat berbual dengan Sdr Saniboey Mohd Ismail, Assisstant Vice President, Malay Languange Business Astro. Kebetulan dia adalah antara peminat buku tulisan saya "Tersungkur Di Pintu Syurga".

-

2. Selepas menonton trailer 10 minit Cinta Sempurna, sempat dia berkongsi rasa dengan saya mengenai pendapat awalnya terhadap Cinta Sempurna. Mungkin kerana Cinta Sempurna banyak menggunakan bahasa inggeris dengan 'british ascent' dalam dialoq-dialoqnya, dia menyatakan kebimbangnannya pada 'keboleh terimaan' penonton melayu kepada pendekatan yang cuba dibawa oleh Cinta Sempurna.

-

3. Mengikut pengamatannya story line drama melayu mengenai anak durhaka pada ibu bapa di RTM dan TV3 walaupun telah banyak kali diterbitkan berulang kali dengan garapan dan penerbit yang berbeza, selalunya mendapat rating dan sambutan yang baik dari kalangan masyarakat melayu. Saya akui kebenaran kata-kata Soniboey itu kerana drama saya IHSAN di TV3 mengikut rating telah ditonton oleh 3.2 juta penonton dan ketika diulang tayang ianya telah ditonton oleh 2.9 juta penonton mengikut kajian AC Nielson. IHSAN juga telah dinobatkan antara 5 drama terbaik pada Anugerah Skrin TV3 2008. Malah Zamarul Hisham telah dinobatkan sebagai Pelakun Lelaki Terbaik dalam drama tersebut.

-

4. Cinta Sempurna katanya berada pada 'The Thin Line' kerana mengikut pengalaman dan pengamatannya, masyarakat melayu tidak suka menonton cerita melayu yang berlebih-lebih dalam mengguna dan mengangkat bahasa inggeris. Lebih-lebih lagi penonton yang memegang remote control dengan mudah boleh menukar ke channel lain jika mereka 'menyampah' dengan penggunaan bahasa inggeris yang berlebihan dalam sesebuah drama melayu.

-

5. Namun di sinilah terletak keberanian OASIS yang mahu menjadikan channel tersebut sebagai 'driver' kepada Channel lain di Astro (Prima dan Ria) bagi mengisi program sepanjang ramadhan kali ini. Malah dimasa-masa mendatang, Oasis juga bakal menerbitkan drama dari pelbagai genre. Bukan sahaja drama berat tapi bakal juga menerbitkan drama dari genre-genre lain antaranya genre remaja, cinta, komedi dll.

-

6. Bahasa Inggeris yang digunakan dalam dialoq-dialoq di Cinta Sempurna bukan sengaja diada-adakan untuk mencantikkan cerita. Tapi ianya adalah paparan ilham dari satu kisah benar mengenai dua remaja 'Londoners melayu' yang merasakan diri mereka lebih 'London dari orang-orang di London'.

-

7. Pengalaman yang ditempoh oleh drama bersiri NUR KASIH di TV3 baru-baru ini menjadikan kehendak dan sikap penonton agak sukar dimengerti.

-

8. Menurut Maizura Mohd Ederis salah seorang penulis skrip NUR KASIH dalam blognya http://www.tangisanbulanmadu.blogspot.com/ ada menulis seperti berikut :
-



"NUR KASIH bermula dengan ranking TOP 15 dengan penonton sekitar 2 juta lebih. Ia pernah memasuki TOP 10 iaitu di tangga ke 9-10 . Kemudian, turun kembali ke tangga 11-12. Penurunan ini agak mengejutkan peminat setianya. Nampaknya, sambutan menggalakkan di internet dan perbualan orang mengenainya, gagal diterjemahkan dalam bentuk rating sebenar yang dikendalikan oleh agensi iklan, AC Neilson".
-


9. Tapi pada pendapat saya mungkin kerana babak-babak berpelukan dalam beberapa babak di Australia yang dipaparkan selepas episod 9 atau minggu kesepuluh secara berlebihan dan berulangkali menjadi punca mengapa rating Nur Kasih jatuh selepas minggu ke sepuluh. Saya sebagai seorang bapa kepada 11 orang anak yang minat menonton Nur Kasih menjadi gelisah dan tidak senang duduk menonton babak peluk memeluk yang agak berlebihan itu. Babak itu sepatutnya boleh dielakkan tanpa menjejaskan story linenya. Dan saya juga percaya babak tersebut juga bukan kehendak penulis skripnya.

-

10. Cinta Sempurna yang pastinya tidak mempunyai babak peluk memeluk tersebut. Cinta Sempurna adalah sebuah drama melayu yang tidak berniat untuk menjadikan melayu lebih inggeris dari inggeris. Cinta Sempurna sebagai sebuah drama neorealism dari genre dakwah diharap akan dapat menjadikan penontom melayu lebih cerdik dari sebelumnya.

-

11. Pengkritik seperti Saniboey amat diperlukan dalam memeriahkan industri. Saya sebagai penulis skrip tidak boleh syok sendiri. Saya begitu berharap selepas tamat tayangan Cinta Sempurna nanti untuk dapat duduk berbincang bersama dengan Saniboey untuk satu sessi brain storming bagi mengkaji persepsi dan sambutan penonton terhadap Cinta Sempurna.

-

12. Terima kasih Saniboey. Kerisauan anda itu ada asasnya. Hope to see you again.



PELANCARAN DRAMA BERSIRI COMBO RAMADHAN ASTRO

Tuesday, August 4, 2009

1. Malam semalam 4 Ogos 2009 bertempat di Wisma Penyayang, Taman Equine, Sri Kembangan, Selangor, Astro telah mengadakan majlis pelancaran drama bersiri combo ramadhan untuk tiga drama bersirinya yang bakal ditayangkan di Asrto Oasis, Astro Prima dan Astro Ria bersempena ramadhan akan datang. Drama-drama bersiri yang terlibat adalah CINTA SEMPURNA - 20 episod (setengah jam) di OASIS, WADI UNUNG - 26 episod (satu jam) di Prima dan QALEISHA - 20 episod di RIA.
-
2. Sebelum pelancaran dilakukan oleh En Zainur Aminullah Executive Director Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), satu ceramah agama telah diadakan selepas solat maghrib oleh penceramah jemputan Ustaz Zulqarnain pengacara rancangan KALAM SUCI Oasis.
-
3. Majlis tersebut diakhiri dengan satu jamuan makan malam yang bertempat di dataran Wisma Penyayang. RAmai pengkarya dan para artis hadir memeriahkan majlis tersebut.

PITCHING


1. Khabar angin sudah mula tersebar di kalangan pemain industri (penerbit tv/penulis skrip) mengatakan RTM akan memanggil sessi 'Pitching' buat kali kedua sebelum ramadhan atau selewat-lewatnya hujung bulan Ogos ini. Ramai penerbit sudah menalipon saya untuk mendapatkan proposal saya. Jarang saya mengecewakan mereka apatah lagi mereka selalunya 'pandai' merayu untuk mendapatkan proposal saya.
-
2. Sessi pitching adalah sessi dimana para penulis skrip akan membentangkan cerita dan idea mereka pada 3 orang panel RTM untuk di nilai. Jika panel mendapati jalan cerita yang dibentangkan menarik, punyai kelainan dan keunikan maka cerita tersebut akan diterima untuk diterbitkan oleh RTM. Pihak penerbit akan membeli skrip itu dari penulis skrip yang biasanya juga adalah pemegang hakcipta kepada idea asal itu. Harga skrip di pasaran pernah saya tulis dalam blog ini. Sila rujuk pada Older Post jika ingin mengetahuinya.
-
3. Kaedah pitching ini sebenarnya telah lama diamalkan di barat. Kita agak ketinggalan.
-
4. Namun usaha RTM ini dianggap belum terlambat dan terbaik dalam memberi peluang kepada pengkarya menjual cerita dan idea mereka pada RTM.
-
5. Dalam sessi pitching pertama yang lepas, saya telah hadir dalam 16 sessi pitching. Tapi tidak ada satu pun proposal saya yang sangkut. Saya pasrah menerima keadaan itu. Mungkin cerita dan idea penulis skrip lain jauh lebih baik. Rezeki mereka.
-
6. Saya suka pada sessi pitching kerana saya memang suka bercakap mengenai 'idea' dan 'keunikan'. Saya mendapat kepuasan dari situ walaupun tidak ada satu pun proposal saya diterima.

SYARIAT DIUTAMAKAN, KREATIVITI DI RAIKAN

Sunday, August 2, 2009


1. Saya telah terbeli satu vcd filem Iran bertajuk LEILA dari seorang penjual vcd ketika makan malam di Nasi Lemak International Kampung Bharu pada tahun 2000. LEILA ketika itu adalah filem Iran yang ketiga saya tonton selepas CHILDREN OF HEAVEN dan THE FIVE SEASONS.

2. Tema dan story line LEILA arahan Dariush Mehrjui agak biasa-biasa sahaja. Sama seperti story line drama-drama melayu yang biasa kita tonton di tv. Tapi ada satu perkara yang menarik yang saya dapat dan pelajari dari filem Iran ini.

3. Sinopsis - Kisah seorang isteri muda, Leila diminta ibu mertuanya membenarkan suaminya Ali berkahwin lagi apabila Leila gagal melahirkan zuriat walaupun telah beberapa tahun berkahwin. Leila menolak pada awalnya tetapi kerana kebijaksanaan ibu mertuanya memujuk dan merayu secara lembut dan berhikmah, Leila akhirnya 'terpaksa' bersetuju. Ali suaminya juga walaupun menolak awalnya tapi bersetuju untuk berkahwin lagi dengan syarat Leila sendiri bersetuju dengan calon pilihan ibunya. Ali akhirnya berkahwin setelah beberapa pilihan ibunya ditolak oleh Leila. Sudah menjadi adat dan budaya di Iran, suami biasanya akan membawa balik isteri kerumahnya. Pada malam Ali membawa isteri keduanya balik ke rumah, Leila lari balik ke rumah keluarganya. Selepas isteri kedua Ali melahirkan anak, isteri keduanya yang faham akan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh Leila telah menyerahkan anaknya pada Leila dan selepas itu lari meninggalkan Ali. Sudah menjadi signature kepada banyak filem Iran akhiran ceritanya dibiarkan tergantung agar penonton berfikir sendiri apa berlaku selepas itu antara Leila dan isteri kedua Ali.

4. Apa yang menarik pada cerita LEILA ini ialah bagaimana syariat pelakunnya dijaga dan ditegakkan sesuai dengan syarat ketat diberikan para ulamak Iran pada golongan pengkarya mereka. Umum sudah sedia maklum di Iran babak lucah, berpegang tangan dan berpeluk antara pelakun bukan muhrim memang diharam dan dilarang keras oleh para ulamak dan kerajaannya. Ini sesuai dan tepat dengan apa yang dituntut oleh syariat Islam sendiri.

5. Paling menarik perhatian saya dalam LEILA adalah dalam satu babak dipaparkan bagaimana LEILA berbaju tidur dan digambarkan sudah menanggalkan tudungnya ketika berbual dengan Ali dalam bilik tidur. Leila menangis semasa berbincang tentang perkahwinan suaminya. Cuma cara Leila dipaparkan secara visual tidak bertudung agak unik dan kreatif. Wajah Leila yang tidak bertudung disembunyikan disebalik bayang-bayang gelap almari pakaian yang terdapat di bilik tersebut. Hanya suara dan tangisan (voice over - V.O) Leila sahaja yang kedengaran. Ali ketika itu hanya duduk di hujung katil mengadap cermin meja di tepi dinding bilik.

6. Walaupun agak tidak natural dan tidak realistik untuk memaparkan babak isteri berbual dengan suami dalam bilik tidur dalam keadaan bertudung, namun pengarahnya secara kreatif telah menyembunyikan aurat (tidak bertudung) Leila tersembunyi di balik bayang-bayang almari bilik boleh diterima. Saya anggap ini amat kreatif pada pengarahnya yang terpaksa akur dan patuh pada pantang larang syariat. Jelas kekangan dan pantang larang syariat tidak mematikan kreativiti seorang pengkarya atau pengarah (Dariush Mehrjui). Leila berjaya mengangkat emosi seorang perempuan dalam naskahnya.

Akan bersambung.....